28 Ogos 2009

Puasa Dulu-Dulu

Salam,

Terbaca tulisan A Kadir Jasin yang bertajuk "Nostalgia Bulan Puasa Di Desa" telah mengingatkan aku pada masa kecil-kecil dulu. Walaupun antara aku dan A Kadir Jasin berlainan negeri, namun cerita beliau memang dialami oleh aku di Kelantan.

Cerita tentang menuai padi pada waktu malam pada musim puasa, beli air batu ketul adalah lumrah masa aku kecil-kecil dulu. 2-3 jam sebelum berbuka aku dan kawan-kawan dah pergi ke bandar Pasir Puteh untuk membeli air batu ketul. Memang kena pergi awal, kalau tak, kehabisan. Air batu tersebut dipotong menggunakan gergaji yang digunakan untuk menebang pokok yang besar pada masa dulu. Supaya lambat cair, air batu tersebut mesti dibaluti dengan habuk kayu dan dibalut dengan kertas surat khabar Cina. Memang tahan lama.

Di bandar Pasir Puteh pada masa tu hanya ada satu kedai sahaja yang menjual air batu ketul iaitu kedai ISA. Pukul 4 petang kedai ISA telah dikerumuni oleh manusia yang hendak membeli air batu. Ada juga yang datang beli dengan banyak untuk dijual di kampung.

Apabila bulan puasa jatuh pada musim menuai, boleh dikatakan orang kampung akan menuai padi pada waktu malam. Selalunya lampu "goslin" akan digunakan untuk mencerahkan kawasan. Biasanya orang yang berada sahaja yang ada lampu goslin. Bagi mereka yang tak mampu, mereka hanya datang pada bulan cerah sahaja. Sungguh meriah. Biasanya orang kampung akan bawa makanan sebagai bekal. Bekal paling aku suka ialah "timun Cina" atau tembikai. Kadang-kadang kemeriahan menuai pada waktu malam ni sehingga membawa kepada jinjang pelamin pun ada. Memang seronok.

Di kampung dulu jarang berbuka di rumah sebabnya ialah boleh dikatakan setiap hari ada saja orang ajak berbuka. Orang kampung ni seolah-olah sudah berpakat hari ni buka puasa rumah si A, esoknya pula rumah si B, lusa rumah si C dan pada hari terakhir biasanya acara berbuka puasa diadakan di masjid. Tok Imam akan memberitahu orang kampung supaya membawa sedulang makanan bagi setiap keluarga. Beginilah keadaan puasa pada zaman dulu di kampung.

Pada waktu malamnya pula sungguh meriah di masjid. Orang kampung akan berkumpul untuk bersolat terawih. Riuh rendah bunyi suara kanak-kanak macam aku. Bukannya nak solat sangat tapi nak makan kuih yang dibawa. Kadang-kadang tu, solat belum siap lagi, kita orang dah curi-curi makan kuih.

Sekarang ni, semua itu dah tak ada lagi. Sungguh seronok mengenangkan kisah silam yang sudah tentu tak akan berulang lagi.

23 Ogos 2009

Amalan Tak Selari Dengan Perlakuan.


Salam,

Saya ucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam. Bulan ramadan datang lagi dan kita yang mengaku beragama Islam wajiblah berpuasa kerana ini adalah suruhan Allah. Allah mengatakan bahawa,"wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa ke atas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu".

Apabila tiba bulan ramadan boleh dikatakan sebahagian besar umat Islam berpuasa sama ada yang beriman ataupun tidak. Bahkan kanak-kanak yang berumur4-5 tahun pun disuruh berpuasa menahan lapar dari makan dan minum. Kesian kanak-kanak, lembik tak bermaya menunggu masa berbuka. Bukan apa, nak mengajar supaya besar nanti tidak culas untuk berpuasa.

Pada sebelah malamnya pula berduyun-duyun manusia menuju masjid, surau atau madrasah yang berhampiran untuk sama-sama mengerjakan solat terawih berjemaah. Boleh dikatakan sebahagian besar tempat ibadat ini dipenuhi manusia pada bulan ramadan.

Daripada apa yang kita nampak pada bulan ramadan ini seolah-olah umat Islam begitu taat akan ajaran Allah. Menurut segala perintah Allah. Namun dalam pada itu, sekarang ini umat yang kita nampak begitu taat mengerjakan suruhan Allah begitu beria-ia memaki hamun, mengata orang lain, melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya selaku umat yang taat. Kenapakah keadaan ini berlaku?

Bukankah amalan-amalan yang kita lakukan adalah untuk menghindari kita semua dari melakukan kejahatan? Tapi nampaknya semakin banyak amalan yang kita lakukan, semakin laju pula kita melakukan perkara-perkara yang tak sepaptutnya. Di manakah silapnya?

Renungkanlah kembali wahai pembaca budiman sama ada betul atau pun tidak amalan yang kita semua lakukan kini.

15 Ogos 2009

Hebat Sangatkah Pemain Badminton Kita?


Salam,

Indah khabar dari rupa. Itulah ungkapan yang sangat sesuai diungkapkan kepada pasukan badminton negara. Sebelum bermulanya Kejohanan Badminton Dunia, di Hyderabad India, semua jurulatih memukul canang mengatakan pasukan negara telah bersedia dan begitu yakin sekali akan kebolehan pemain-pemain. Apa tidaknya dengan gelaran pemain perseorangan nombor satu dunia, pemain beregu wanita nombor satu dunia, menampakkan kepada kita betapa kuatnya pemain-pemain badminton negara.

Tetapi nampaknya pemain-pemain kita hanya gah pada gelaran sahaja. Pemain bergu wanita kita kalah awal lagi, pemain perseorang lelaki kita juga yang bergelar datuk pun tak dapat ke separuh akhir. Harapan hanya tinggal kepada dua pasangan bergu lelaki yang berjaya ke separuh akhir, namun harapan itu tinggal harapan kerana kedua-dua regu tersebut kalah kepada lawan-lawan masing-masing.

Daripada pemerhatian saya, pemain kita lemah mental. Pemain kita bukan tak kuat, memang kuat tetapi apabila lawan mendahului, pemain kita mula hilang arah. Itu yang terjadi kepada Datuk Lee dan dua beregu lelaki kita.

Datuk Lee Chong Wei tak akan menang apabila berjumpa dengan Lin Dan kerana beliau tidak dapat mengawal tekanan mental disebabkan fobia kekalahan berterusan dengan Lin Dan. Dengan Sony pula, Chong Wei fobia dengan kejohanan lalu yang diadakan di KL yang mana Chong Wei juga tewas kepada Sony.

Harapan tinggi yang diletakkan kepada pemain-pemain juga merupakan salah satu sebab kenapa pemain-pemain kita kalah mental. Dan satu lagi saya rasa pemain-pemain kita terlalu dimanjakan. Mana ada negara yang memberikan pangkat atau pingat kepada ahli-ahli sukan mereka, habuan pun saya rasa tak sehebat kita. Latihan kita tak sekeras latihan yang diamalkan di China dan Indonesia. Walaupun kita mengambil jurulatih dari Indonesia, namun mereka tak dapat menerapkan corak latihan sebagaimana yang diamalkan di negara asal mereka. Kenapa? Jawabnya ialah pemain-pemain kita terlalu manja dan dimanjakan. Inilah akibatnya.

05 Ogos 2009

Ketua SPRM diugut bunuh

Salam,

Begitulah bunyi tajuk utama di akhbar Berita Harian hari ini. Ngeri bunyinya. Inilah yang bakal terjadi apabila perasaan tidak puas hati menghantui seseorang. Mereka sanggup melakukan apa sahaja.

Ugutan bunuh ini diterima oleh Datuk Seri Ahmad Said Hamdan ekoran rasa tidak puas hati atas kematian Teoh Beng Hock. Rasa tidak puas hati ini adalah susulan tersebarnya satu rakaman klip video kejadian seorang lelaki Cina dibelasah sekumpulan lelaki yang dikatakan mempunyai kaitan dengan SPRM menerusi internet. Rakaman video ini boleh dilihat dalam blog advocateviews.blogspot.com.

Aku telah menyaksikannya. Sungguh kejam perlakuan mereka dalam video ini. Tapi aku tak pasti sama ada orang yang kena belasah itu Teoh. Yang aku pasti tindakan sebegini memang zalim dan tak patut berlaku dalam sebuah negara yang sudah merdeka, bertamaddun dan maju dalam semua hal.

Aku harap pihak polis akan mengambil tindakan yang tegas dan cepat terhadap mereka yang terlibat bagi menjaga nama baik pihak polis dan SPRM.

03 Ogos 2009

Rasuah...Rasuah...Rasuah

Salam,

Utusan hari ini melaporkan seorang ADUN di Terengganu telah ditahan oleh SPRM bersama rakannya kerana menerima wang sogokan berjumlah RM20,000 daripada sebuah syarikat pemaju.Siasatan awal mendapati, ahli politik itu meminta 10 hingga 13 peratus nilai kontrak yang diperoleh bagi setiap sebuah syarikat.Juga difahamkan, wang sogokan berkenaan perlu dilangsaikan dalam tempoh 24 bulan dari tarikh mereka mendapat kontrak berkenaan.

Apa yang boleh aku katakan ialah, aku kesian dengan ADUN tersebut kerana tidak bernasib baik. Yang diterimanya taklah sebanyak mana, alih-alih kena tahan pula. Yang lain menerima berganda-ganda banyaknya tak pula berjaya ditahan. Buat pengetahuan SPRM boleh dikatakan semua ADUN tak kira kerajaan ataupun pembangkang mengamalkan rasuah, cuma mereka ni pandai, susah untuk membuktikan yang mereka ni menerima rasuah.

Sebagai orang biasa, aku banyak melihat dan mendengar kes-kes ADUN menerima rasuah tetapi hanya setakat itulah sahaja. Untuk membuat aduan jauh sama sekali kerana tidak ada bukti, setakat lihat, dengar dan tahu tak ada gunanya. Mahkamah tak pakai itu semua.

Cuma apa yang aku harapkan, akan lebih banyak lagi tangkapan yang akan dibuat untuk menyedarkan para ADUN yang memperdagangkan jawatannya.

Artikel ini boleh dibaca di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_01.htm

02 Ogos 2009

ISA TAK BOLEH DIHAPUSKAN

Salam,

ISA memang tak boleh dihapuskan. Walaupun kerajaan rasa tertekan dengan demo yang diadakan oleh puak yang anti ISA, tetapi kerajaan sama sekali tidak boleh mengambil tindakan memansuhkan ISA. ISA adalah satu-satunya cara yang ada untuk melindungi negara daripada menjadi mangsa cucu-cicit komunis.Komunis sudah lama berkubur tetapi cucu-cicitnya masing bebas berkeliaran. Undang-undang negara sekarang ni sudah tidak mampu lagi menegakkan kebenaran dan menentukan siapa sebenarnya yang salah, malah undang-undang negara kita sekarang ni dengan mudah dan sewenang-wenangnya dipermainkan oleh pihak tertentu. Seperti kata Mesin Taip Buruk, undang-undang negara sekarang sedang dipermainkan oleh Anwar Ibrahim dengan melengah-lengahkan kes pembicaraan liwatnya. Betulkah begitu?

Pada aku, aku percaya ISA sangat diperlukan dan tak boleh dihapuskan. Kadang-kadang dalam sesetengah kes patut pun mereka ditangkap. Seperti kata Sanusi Junid, kalau selepas mereka melakukan huru-hara baru nak ditangkap sudak tak ada gunanya lagi, nasi dah jadi bubur. Jadi sebelum tu lagi kita kena ambil tindakan, barulah negara aman.

Lagi pun buat apa kita nak takut kalau kita tak melakukan kesalahan. Orang yang anti ISA ini ialah mereka yang suka melakukan kejahatan.

26 Julai 2009

NASIB MELAYU DI BUMI MELAYU

Salam,

Saya tertarik membaca rencana di Utusan hari ini yang bertajuk “NASIB MELAYU DI BUMI MELAYU”. Tertarik bukan kerana saya anti kepada kaum Cina dan India tetapi tarikan itu datang kerana rencana ini ditulis oleh seorang yang berbangsa Cina. Kalau rencana ini ditulis oleh orang Melayu, mungkin kita merasakan tulisan ini merupakan satu manipulasi untuk kepentingan bangsanya sendiri. Anehnya rencana ini ditulis oleh orang Cina yang cuba menyelami nasib bangsa Melayu di bumi Melayu.

Kesian kepada bangsa Melayu, bangsanya sendiri takut untuk meluahkan bagaimana terhimpitnya, bagaimana tertekannya, bagaimana tidak terbelanya nasib bangsa Melayu sehinggakan ada orang lain daripada bangsa lain yang sanggup dan berani meluahkan nasib bangsa Melayu kini.

Saya bukannya anti kepada bangsa lain. Kawan-kawan saya boleh dikatakan ramai dari kalangan Cina. Saya juga tinggal, bekerja dan bercampur gaul dengan bangsa Cina hampir 10 tahun. Saya dapat merasakan kenikmatan hubungan yang erat antara kaum. Saya dapat merasakannya.Tetapi apakah dengan hubungan yang erat ini, nasib bangsa Melayu di bumi Melayu akan terbela sebagaimana terbelanya nasib bangsa-bangsa lain yang tinggal di bumi yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu. Dalam hal ini saya sependapat dengan penulis rencana “NASIB MELAYU DI BUMI MELAYU”.

Dalam rencananya, beliau menekankan terhadap pembelaan yang keterlaluan daripada bangsa Cina apabila berlaku kematian atau apa sahaja jenayah di kalangan bangsa mereka. Mereka(MCA,DAP,GERAKAN) dengan senang sahaja menuduh pihak kerajaan yang salah dan harus bertanggungjawab, walaupun kes itu masih lagi dalam siasatan. Mereka seolah-olah bertindak seperti Tuhan. Sebagai contoh, apa yang berlaku ke atas Teoh Beng Hock.

Selain itu, beliau juga menyelar tindakan Ketua Wanita MCA mengeluarkan kenyataan lebih ekstrem mendesak Menteri Dalam Negeri supaya meletakkan anak yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock sebagai status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah. Sedangkan kita semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak luar nikah (anak tidak sah taraf). Jika ditakdirkan Gautama Buddha (juga Konfusius dan Lao Tzu) masih hidup, sudah tentu tindakan Ketua Wanita MCA ini akan dicela kerana ajaran Buddha (juga agama lain, terutama agama Islam) mengharamkan sama sekali perbuatan berkesedudukan (zina) tanpa nikah, apatah lagi sehingga melahirkan anak luar nikah.

Kes-kes lain yang dipaparkan oleh penulis rencana ini ialah peristiwa tahanan Cina yang dobogelkan dalam lokap pada November 2005. Belum lagi keputusan siasatan diumumkan, Menteri Dalam Negeri telah pergi ke China untuk memberikan penjelasan tentang peristiwa itu hasil desakan daripada MCA, DAP dan GERAKAN. Tetapi setelah selesai siasatan dan mendapati tahanan yang dobogelkan itu ialah berbangsa Melayu, maka kes itu pun senyap begitu sahaja.

Banyak kes-kes yang melibatkan orang Melayu tetapi kes-kes itu senyap begitu sahaja, contoh pembunuhan gadis model Mustakizah Jaafar pada 14 November 1998. Dan kes-kes yang melibatkan rumah ibadat juga ada disebutkan dalam rencana ini. Apabila sebuah kuil atau tokong dirobohkan, heboh satu Malaysia dicanangkan tetapi apabila ada masjid yang dirobohkan untuk tujuan pembangunan, tidak ada pun suara-suara keadilan ini berkumandang.

Apakah yang akan terjadi kepada bangsa Melayu di Bumi Melayu suatu hari nanti kalau beginilah keadaannya. Sama-samalah kita nantikan.

Rencana ini boleh dibaca di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

14 Julai 2009

Malang Tak Berbau

Salam,

Chukai-13 Julai 2009. Dalam perjalanan pulang ke rumah mentua di Felda Seberang Tayor, kira-kira jam 5.45 petang, aku terserempak dengan satu sekatan jalan yang dilakukan oleh Pihak JPJ. Banyak juga motor yang disuruh berhenti, tetapi ada sebuah kereta wira terus memecut tanpa menghiraukan pihak JPJ. Pegawai JPJ yang lain terus mengejar kereta tersebut. Pada masa tu aku berada agak jauh dibelakang.

Di pertengahan perjalanan, aku terserempak semula dengan kenderaan pacuan empat roda JPJ yang mengejar kereta wira tersebut, berlalu dengan laju sekali. Aku meneruskan perjalanan. Lebih kurang satu kilometer di hadapan aku lihat ramai orang berhenti ditepi jalan.

Daripada cerita orang ramai, kereta wira yang dikejar oleh kereta Peronda JPJ itu tidak dapat mengawal keretanya di selekoh tersebut lalu melanggar sebuah motor yang datang dari arah bertentangan.Keadaan ini menyebabkan pemandu motor cedera parah, kereta wira tersebut terbalik dan keempat-empat tayar berada di atas. Kereta peronda JPJ tersebut terus membuat pusingan U dan memecut dengan lajunya.

Kesian sungguh kepada remaja yang memandu motor tersebut, cedera parah dan malang sungguh nasib pemandu kereta wira tersebut, selain cedera ringan, keretanya rosak teruk. Inilah akibatnya apabila memandu tanpa lesen. Dan nasib baik juga Peronda JPJ tersebut tak berhenti, kalau berhenti mungkin mati pegawai JPJ tersebut dikerjakan oleh orang ramai.

Yang aku musykil di sini ialah apabila abang ipar aku yang melalui jalan yang sama setengah jam kemudian memberitahu bahawa tidak ada lagi sekatan jalan yang dilakukan oleh JPJ tersebut. Mungkin juga sekatan jalan ini bukan mendapat arahan daripada pihak atasan, dengan kata lain pegawai JPJ tersebut saja-saja jer nak cari duit lebih.

Siapa yang bersalah dalam hal ini?

09 Julai 2009

Bahasa Melayu Oh Bahasa Melayu

Salam,

Sebelum ni aku pernah menulis tentang kepentingan bahasa Inggeris. Aku menyokong penuh langkah kerajaan menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar matematik dan sains bahkan lebih daripada itu aku mengharapkan daripada kerajaan iaitu dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Sebab aku tak mahu akan lahir ramai lagi graduan Melayu seperti aku. Lulusan U, tapi tak tahu berbahasa Inggeris.

Namun selepas kerajaan mengumumkan bahawa matematik dan sains akan diajar dalam bahasa Melayu semula, aku teramat sedih, marah dan benci kepada kerajaan. Aku sangat kecewa dengan tindakan kerajaan mungkin sama kecewanya dengan Tun Mahathir. Namun siapalah aku untuk mempertikaikan keputusan kerajaan.Dalam hal ni aku sependapat dengan Tun Mahathir walaupun sebelum ni aku sangat berbulu dengan Tun Mahathir kerana campur tangannya dalam politik UMNO.

Pada aku alasan kerajaan menolak penggunaan bahasa Inggeris kerana merosotnya keputusan peperiksaan mata pelajaran tersebut tak boleh diterima akal. Memanglah pada mulanya akan merosot tapi lama-kelamaan masalah ni akan selesai. Alasan kedua kerajaan adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu. Ini satu lagi alasan yang meloyakan tekak aku.

Kalau betul nak memartabatkan bahasa Melayu, bukan begini caranya. Cara yang betul untuk memartabatkan bahasa Melayu ialah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang wajib digunapakai di semua sektor. Ini tidak, kata nak memartabatkan bahasa Melayu tapi bercakap di pejabat menggunakan bahasa Inggeris,mesyuarat dalam bahasa Inggeris, temuduga dalam bahasa Inggeris, urusan jual beli rumah dalam bahasa Inggeris, bicara di mahkamah menggunakan bahasa Inggeris semuanya bahasa Inggeris tapi bab mengajar di sekolah, bahasa Melayu pulak yang digunakan.

Kalau betul kita nak memartabatkan penggunaan bahasa Melayu kenapa pula di sekolah jenis kebangsaan, mata pelajaran matematik dan sains diajar menggunakan bahasa Ibunda masing-masing. Kalau betul niat kerajaan itu ikhlas, maka disekolah-sekolah jenis kebangsaan pun mesti menggunakan bahasa Melayu dalam pengajaran matematik dan sains.

Aku teramat sedih, benci dan marah dengan keputusan kerajaan kali ini lalah kerana aku tahu, ini satu keputusan yang hipokrit dari pihak tertentu. Mereka beralasan bahawa bahasa Melayu sangat penting, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi, bahasa Melayu adalah segala-galanya. Tetapi orang yang membuat keputusan ini berbahasa Inggeris di rumah mereka, anak-anak mereka dihantar belajar ke luar negeri yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Maka pulanglah anak-anak mereka ini suatu hari nanti ke negara Malaysia dengan bangganya kerana fasih berbahasa Inggeris. Merekalah yang akan mengisi kekosongan pekerjaan di pelbagai sektor. Graduan tempatan yang terdiri daripada anak petani, anak peneroka, anak nelayan terlopong tak dapat kerja.

Kepada pejuang bahasa, berbanggalah kalian kerana kalian telah berjaya memundurkan lagi anak bangsa kalian. Berjuanglah, teruskanlah berjuang untuk memartabatkan bahasa Melayu bukan untuk kepentingan negara tapi untuk kepentingan kalian. Tahniah atas kejayaan ini.

Namun sedikit daripada kekecewaan aku berjaya juga diubati kerana kerajaan telah berjanji akan melipatgandakan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah. Aku harap dengan cara ini, anak-anak nelayan, petani dan peneroka dikampung-kampung akan mendapat manfaatnya.

Banglo Bernilai RM24 Juta

Salam,

Banyak berita panas dalam politik Malaysia sekarang. Pasal PAS dan UMNO nak bincang tentang kerajaan perpaduan, lepas tu tak jadi pulak. Kisah Manoharan tuntut diberikan status bumiputera kepada beliaulah dan yang paling panas ialah kisah 2 Banglo yang melibatkan ketua menteri dan bekas menteri besar.

Di Penang, laporan akhbar menyatakan Lim Guan Eng telah berpindah daripada kediaman rasmi KM ke rumah banglo mewah yang disewa. Aku sebenarnya tak berapa faham sangat dengan perangai dia ni. Dulu masa nak tinggal kat kediaman rasmi KM, kata tak mahulah, rumah tu besar sangat, saya tak perlukan rumah yang besar, saya sudah ada rumah buat apa nak tinggal tempat lain. Akhirnya Lim tinggal juga di rumah kediaman rasmi KM tersebut selepas diubah suai. Tapi sekarang ni dah berpindah pula ke banglo baru yang disewa. Kenapa ni Lim, tak selesa ker tinggal di rumah buruk? Apa pun terserahlah, dia Ketua Menteri, dia berhak melakukan apa sahaja.

Di Selangor pula heboh pasal banglo Khir Toyo, bekas MB Selangor bernilai RM24 juta. Banyak tu duit Khir sampai mampu beli banglo semahal tu. Tetapi Khir menafikannya dan hanya menjelaskan banglo dan tanah tersebut cuma bernilai RM3.5 juta sahaja, itupun melalui pinjaman dengan CIMB bank selama 30 tahun. Pada aku nilai RM3.5 juta tu pun sangat mahal. Tinggi juga gaji sebagai Menteri Besar ni ya, sampai mampu buat pinjaman rm3.5 juta.

Kesimpulannya di sini ialah orang politik ni memang banyak duit. Sebab tu orang ramai berlumba-lumba, berebut-rebut nak jadi ADUN, apatah lagi menteri. Bukannya nak membantu rakyat sangat tapi nak membantu diri sendiri. Kerajaan dan pembangkang sama sahaja, pasal duit semua sapu.

Inilah yang membezakan antara pemimpin dulu-dulu(zaman nabi) dengan pemimpin sekarang. Sahabat-sahabat nabi semua kaya-kaya, tetapi semua harta kekayaannya didermakan kepada baitulmal untuk keperluan negara bagi membantu yang hak. Sekarang pemimpin bukannya menderma kepada baitulmal tetapi mengautnya ke dalam poket sendiri.Inilah realiti dunia sekarang.

03 Julai 2009

Mengapa Yahudi Bijak?

Salam,

Artikel ini saya ambik dalam blog http://nan-naga.blogspot.com. Rasanya tak salah untuk berkongsi perkara yang baik.

Setelah berada 3 tahun di Israel kerana menjalani housemanship dibeberapa hospital disana, ada beberapa perkara yang menarik dapat saya perhatikan untuk dijadikan tesis ini, iaitu "Mengapa Yahudi Bijak?". Memang tidak dapat dinafikan ramai cendikiawan berbangsa Yahudi, dari segala bidang, Engineering, muzik, saintis dan yang paling hebat ialah bidang perniagaan, dimana ia memang paling tersohor. Hampir 70% perniagaan di dunia dikuasai oleh kaum Yahudi, dari kosmetik, pakaian, pemakanan, senjata, perhotelan, perfileman di Hollywood dan sebagainya.


Ketika tahun kedua, akhir bulan December 1980 dan sedang saya menghitung hari untuk pulang ke California saya terfikir apakah sebabnya kaum Yahudi begitu pintar? Kenapa tuhan memberi kelebihan kepada mereka? Apakah ini suatu kebetulan? Atau olah manusia sendiri? Adakah bijak boleh dijana? Seperti kilang pengeluaran?


Maka saya pun tergerak membuat tesis untuk Phd saya, disamping kebaikan untuk umat sejagat dan dapat hidup secara harmoni. Untuk pengetahuan anda tesis yang saya lakukan ini mengambil masa hampir lapan tahun, ini kerana untuk mengumpulkan data-data yang setepat mungkin.
Antara data-data yang saya kumpulkan ialah pemakanan, adat resam, ugama, persiapan awal untuk melahirkan zuriat dan sebagainya dan data data tadi saya cuba bandingkan dengan bangsa dan kaum-kaum lain.


Marilah kita mulakan dengan persiapan awal melahirkan zuriat. Di Israel, setelah mengetahui yang sang ibu sedang mengandung, perkara pertama saya perhatikan ialah, sang ibu akan sering menyanyi dan bermain piano dan si ibu dan bapa akan membeli buku metamatik dan menyelesaikan masalah matematik bersama suami, saya sungguh hairan kerana teman saya yang mengandung sering membawa buku metamatik dan bertanya kepada saya beberapa soalan yang beliau tak dapat menyelesaikanya, oleh kerana saya memang minat tentang matematik, tentu saja dengan senang saya membantu beliau. Saya bertanya kepada beliau, adakah ini untuk anak kamu? Beliau menjawab, "Ya, ini untuk anak saya yang masih didalam kandungan, saya sedang melatih otak beliau, semoga ia menjadi genius apabila dewasa kelak" Perkara ini membuat saya tertarik untuk mengikut perkembangan beliau seterusnya. Berbalik kepada matematik tadi, tanpa merasa jenuh beliau membuat latihan matematik sehingga beliau melahirkan anak.


Seperkara lagi yang saya perhatikan ialah pemakanan beliau, sejak awal mengandung beliau gemar sekali memakan kacang badam dan korma bersama susu , dan untuk tengah hari makan utama beliau ialah roti dan ikan tanpa kepala bersama salad yang digaul dengan badam dan berbagai jenis kekacang, menurut beliau daging ikan sungguh baik untuk perkembangan otak dan kepala ikan mengandungi kimia yang tidak baik yang dapat merosakkan pengembangan dan penumbuhan otak anak didalam kandungan. menurut beliau ini adalah adat orang orang yahudi ketika mengandung dan ianya menjadi semacam kewajipan untuk kaum ibu yang sedang mengandung mengambil pil minyak ikan.


Ketika saya diundang untuk makan malam bersama orang orang Yahudi, perkara pertama yang saya perhatikan ialah menu mereka. Setiap undangan yg sama perhatikan ialah mereka gemar sekali memakan ikan (hanya isi atau fillet) dan biasanya daging tidak akan ada bersama dimeja jika ada ikan, menurut mereka, campuran daging dan ikan tak elok dimakan bersama. Salad dan kacang adalah suatu kemestian, terutama badam.


Seperkara yang pelik ialah mereka akan memakan buah buahan dahulu sebelum memakan hidangan utama. Jangan terperanjat jika anda diundang kerumah Yahudi anda akan dihidangkan buah buahan dahulu. Menurut mereka, dengan memakan hidangan kabohidrat (nasi atau roti) dahulu kemudian buah buahan, ini akan menyebabkan kita merasa ngantuk dan lemah dan payah untuk memahami pelajaran disekolah.


Di Israel, merokok adalah taboo, apabila anda diundang makan dirumah Yahudi, jangan sekali kali merokok, dan tanpa malu mereka akan menyuruh anda keluar dari rumah mereka dam merokok diluar rumah mereka. Menurut saintis di Universiti Israel, siasatan menunjukkan nikotin dapat merosakkan sel utama pada otak manusia dan akan melekat pada genes, ini bermakna keturunan perokok bakal membawa generasi yg cacat otak ( bodoh atau lembab). Ini di anggap suatu penemuan yg dahsyat ditemui oleh saintis yg mendalami bidang genes dan DNA.


Perhatian saya selanjutnya ialah melawati tadika mereka, Pemakanan anak-anak tadi cukup dikawal, makanan awal ialah buah buahan bersama kacang badam, diikuti dengan menelan pil minyak ikan (code oil lever). Didalam pengamatan saya, kanak Yahudi sungguh bijak dan rata rata mereka memahami 3 bahasa iaitu Hebrew, Arab dan Inggeris dan sedari awal lagi mereka telah dilatih bermain piano dan violin, ini adalah suatu kewajipan. Menurut mereka bermain muzik dan memahami nota notanya dapat meningkatkan lagi IQ kanak kanak dan sudah tentu bakal menjadikan budak itu bijak.


Ini menurut saintis Yahudi, gegaran muzik dapat stimulate (semacam senaman untuk otak) maka itu terdapat ramai sekali genius musik terdiri dari kaum Yahudi.


Seterusnya ke darjah 1 hingga 6, anak anak Yahudi akan diajar matematik berkonsepkan perniagaan dan pelajaran sains amatlah diberi keutamaan. Di dalam perhatian peribadi saya, perbandingan dengan anak anak di California, ianya jauh berbeza tentang IQ dan boleh saya katakan 6 tahun kebelakang!!!. Segala pelajaran akan dengan mudah di tangkap oleh anak Yahudi. Selain dari pelajaran tadi sukan juga menjadi kewajipan bagi mereka dan sukan yg diberi keutamaan ialah memanah, menembak dan berlari, menurut teman saya ini, memanah dan menembak dapat melatih otak mem fokus sesuatu perkara disamping mempermudahkan persiapan untuk perhidmatan negara.


Selanjutnya pemerhatian saya menuju ke sekolah tinggi (menengah) disini murid murid ditekan dengan pelajaran mata sains dan mereka digalakkan mencipta produk, segala projek mereka walaupun kadangkala kelihatannya lucu dan mengarut, tetap diteliti dengan serius apatah lagi ianya berupa senjata, perubatan dan engineering, idea itu akan dibawa ke institute tinggi di Politeknik dan Universiti.


Satu lagi yang di beri keutamaan ialah fakulti perniagaan. Saya sungguh terperanjat melihat mereka begitu agresif dan seriusnya mereka tentang perniagaan. Diakhir tahun diuniversiti, para penuntut dibidang niaga dikehendaki melakukan projek dan memperaktikkanya dan anda hanya akan lulus jika kumpulan anda(10 pelajar setiap kumpulan) dapat keuntungan sebanyak $US1juta! Anda terperanjat? Itulah kenyataan, dengan rangkaian seluruh dunia dan ditaja sepenuhnya oleh syarikat milik Yahudi, maka tidak hairanlah mereka dapat menguasai ½ perniagaan didunia! Siapakah yg mencipta design Levis yg terkini? Ianya dicipta di Universiti Israel oleh fakulti bisnes dan fesyen.


Pernahkah anda melihat cara orang Yahudi melakukan ibadah mereka? Salah satu caranya ialah dengan menggoyangkan kepala mereka, menurut mereka ini dapat mengaktifkan otak mereka dan menambahkan oksigen dikepala, banyak agama lain di Timur Tengah, seperti Islam juga ada menyuruh umatnya menunduk atau menggoyangkan kepala, ini guna dapat mensimulasikan otak kita supaya bertambah aktif. Lihat orang orang Jepun, mereka sering menunduk nundukkan kepala dan ianya sebagai adat. Ramai orang orang Jepun yg pandai? Adakah ianya sebagai kebetulan? Kegemaran mereka ialah sushi (ikan mentah). Adakah ini kebetulan? Fikirkanlah!


Berpusat di New York, Dewan perniagaan Yahudi bersedia membantu mereka yg berminat untuk melakukan bisnes (sudah tentu untuk Yahudi sahaja) jika mereka ada idea yg bernas, jawatan kuasa akan memberi pinjaman tanpa faedah dan pentadbir dari jawatan kuasa tadi akan bekerjasama dengan anda untuk memastikan yg perniagaan mereka menurut landasan yg betul. Maka itu lahirlah Starbuck, Dell comptr, Cocacola, DKNY, Oracle, Perfileman di Hollywood, Levis, Dunkin Donut dan ada beratus kedai ternama dibawah naungan dewan perniagaan Yahudi di New York. Graduan Yahudi dari fakulti perubatan New York akan disarankan untuk mendaftar dipersatuan ini dan digalakkan memulakan klinik mereka sendiri dengan bantuan wang tanpa faedah, barulah saya tahu mengapa hospital di New York dan California sentiasa kekurangan doktor pakar.


Kesimpulanya, pada teori saya, melahirkan anak dan keturunan yg bijak boleh dilaksanakan dan tentunya bukan semalaman, ianya memerlukan masa, beberapa generasi mungkin? Persiapan awal adalah ketika si ibu mengandung, galakkanlah si ibu melakukan latihan metamatik yg mudah tetapi konsisten disamping mendengar muzik klasik. Seterusnya ubahlah cara pemakanan, makanlah makanan yg elok dan berhasiat yg baik untuk otak, menghayati musik sejak kecil adalah baik sekali untuk penumbuhan otak kanak kanak, dengan bermain piano dan violin sudah tentu dapat melatih anak anak mencerdaskan otak mereka demikian juga sukan yg memerlukan konsetrasi yg tinggi, seperti memanah, bola keranjang, dart dan menembak.


Merokok menjanjikan generasi yg moron (bodoh) dan sudah tentu genes bodoh akan mengikut ke generasi si perokok. Lawatan saya ke Singapore pada tahun 2005 amat memeranjatkan sekali, disini perokok seperti dianak tirikan dan begitu susah sekali untuk perokok dan anda tahu berapa harga sekotak rokok? US$ 7 !!! ini bersamaan perbelanjaan sehari untuk makan anda!! Saya puji sekali sikap pemerintah Singapore dan menkjubkan sekali!!! dan seperti Israel ianya begitu taboo dan cara pentadbiran dan segi pembelajaran mereka hampir serupa dengan Israel, maka itu saya lihat banyak institusi pelajaran mereka bertaraf dunia walaupon hakikat nya negeri Singapore hanyalah sebuah pulau sebesar Manhattan!!


Anda mungkin muyskil, benarkah merokok dapat melahirkan generasi bodoh, saya telah menemui beberapa bukti menyokong teori ini. Lihat saja Indonesia, jika anda ke Jakarta, dimana saja anda berada, dari restoran, teater, kebun bunga hingga ke muzium hidung anda akan segera terbau asak rokok! Dan harga rokok? Cuma US$ .70cts !!! dan hasilnya? Dengan penduduknya berjumlah jutaan orang berapa banyak kah universiti terdapat disana? Hasil apakah yg dapat dibanggakan? Teknologi? Jauh sekali. Adakah mereka dapat berbahasa selain dari bahasa mereka sendiri? Mengapa mereka begitu sukar sekali menguasai bahasa Inggeris? Ditangga berapakah kedudukan mereka di pertandingan metamatik sedunia? Adakah ini bukan akibat merokok? Anda fikirlah sendiri.


Di tesis saya ini, saya tidak akan menimbulkan soal ugama atau bangsa, adakah Yahudi itu zalim sehingga diusir dari semenjak zaman Firaun hingga ke Hitler, bagi saya itu isu politik dan survival, yang ingin saya ketengahkan ialah, mampu kah kita dapat melahirkan jenerasi yg bijak? Jawapanya ialah mungkin dan tidak mustahil dan ianya memerlukan perubahan, dari segi pemakanan dan cara mendidik anak dan saya kira hanya memerlukan 3 generasi sahaja. Ini dapat saya lihat sendiri tentang cucu saya, ini setelah saya mengajar anak saya melalui program yg telah saya nyatakan diatas tadi, pada umur 9 tahun (cucu saya) dia dapat menulis esay sepanjang 5 mukas urat penuh. Esaynya hanyalah mengenai Mengapa saya gemarkan tomato!


Selamat sejahtera dan semoga kita dapat melahirkan manusia yg bijak dan bersifat mulia untuk kebaikan manusia sejagat tanpa mengenal batasan bangsa.


"Why the jews so smart"
Dr. Stephen Carr LEON.

Sambungan 1 Malaysia: Antara Realiti Dan Fantasi

Salam,

Semasa mengajar di Brunei 13 tahun lepas, saya agak terkejut kerana cikgu yang mengajar subjek jawi di sekolah tersebut adalah berbangsa Cina iaitu Mr Lam. Beliau berasal dari Ipoh Perak. Selepas pencen mengajar di Malaysia, beliau berhijrah ke Brunei untuk mengajar secara kontrak. Saya sempat berbual dan bertanya bagaimana beliau pandai menulis dan membaca jawi. Katanya, dahulu semua pelajar belajar subjek yang sama, apa yang dipelajari oleh orang Melayu, itulah juga yang dipelajari oleh bangsa Cina. Sebab itu dulu orang Cina ke, orang Melayu, India ke, kita sama-sama satu sekolah.Ramai orang Melayu dan India yang pandai berbahasa Mandarin, jelasnya.

Memang saya mengakui kebenaran kata-kata Mr Lam itu, sebab arwah tok saudara saya yang tinggal di Kuala Berang, Terengganu juga pandai berbahasa Mandarin. Mungkin ini boleh dikatakan 1 Malaysia seperti yang dimahukan oleh PM kita sekarang ni.

Hubungan akrab antara kaum di Malaysia juga amat berbeza kalau nak dibandingkan antara dulu dan sekarang. Dulu hubungan antara kaum lebih akrab. Orang Cina dan Melayu boleh tinggal dalam satu kampung, makan sama-sama, main sama-sama bahkan belajar pun sama-sama. Namun sekarang keadaannya cukup berbeza, berbeza sekali.Amat susah kita nak melihat budak-budak Cina dan Melayu main sama-sama, belajar sama-sama, makan sama-sama.

Siapakah yang harus disalahkan dalam hal ini? Saya bukan nak salahkan orang lain dalam hal ini. Sebagai orang Melayu yang beragama Islam, kita seharusnya mencerminkan siapa diri kita sebenarnya. Tanpa kita sedari mungkin hubungan yang tak akrab antara kaum ni berpunca daripada kita sendiri, bangsa Melayu. Terlampau fanatik dengan Islam yang tak betul menyebabkan kita mengelak darpda berkawan dengan orang Cina ataupun India. Apabila berkunjung ke rumah mereka, kita tidak minum atau makan hidangan yang disediakan dengan alasan haram. Sedangkan Islam tidak begitu. Keadaan ini sudah tentu menyinggung perasaan bangsa lain.

Sekarang, kalau betul kita nak menjadikan 1 Malaysia sebagai realiti, maka kita kena baiki kelemahan diri kita dahulu. Selepas tu barulah kita boleh mencari kelemahan orang lain pula. Semoga 1 Malaysia akan menjadi satu realiti.

01 Julai 2009

1 Malaysia: Antara Realiti Dan Fantasi.

Salam,

Sekali air bah, sekali pantai berubah. Begitulah juga dengan setiap kali ada perubahan pucuk pimpinan tertinggi dalam parti/kerajaan atau di institusi-institusi kerajaan/swasta, setiap kali itu jugalah ada moto atau perubahan dasar yang dilakukan. Di sini penulis akan fokuskan kepada kepimpinan negara. Penulis dilahirkan pada zaman Tun Hussien Onn, membesar pada zaman Tun Mahathir, menjadi dewasa di zaman Pak Lah dan sekarang penulis berada pada zaman Datuk Seri Najib.

Penulis tak berapa ingat pada zaman Tun Hussien Onn, tetapi sudah agak dewasa pada zaman Tun Mahathir.Tun M membawa misi bersih cekap dan amanah, Pak lah Pula dengan cemerlang gemilang dan terbilang manakala Datuk Seri Najib dengan 1 Malaysia.

Apa pun moto mereka, apa pun tema perjuangan mereka, misinya cuma satu iaitu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman makmur di mana rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum boleh hidup aman dan damai, bebas melakukan apa sahaja tanpa apa-apa sekatan ataupun halangan yang melampau. Namun begitu, perjuangan ini bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan komitmen dari semua pihak dan memerlukan ketulusan dari pelbagai sudut.

1 Malaysia yang menjadi moto Datuk Seri Najib adalah sesuatu yang baik dan sangat baik. Namun untuk menghasilkan kebaikan terlebih dahulu kejahatan perlu dihapuskan. Bolehkan kejahatan dihapuskan? Rasanya tidak boleh cuma boleh dikurangkan.

1 Malaysia bermaksud semua rakyat daripada pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai budaya yang menetap di Malaysia berkongsi satu negara, berkongsi satu bahasa Kebangsaan(bahasa lain bebas diucapkan), berkongsi satu agama rasmi(agama lain bebas diamalkan), berkongsi satu budaya kebangsaan(tidak bertentangan dengan mana-mana agama), berkongsi satu ekonomi semata-mata untuk membentuk satu negara yang makmur walaupun penghuninya terdiri daripada pelbagai kaum. Bolehkah keadaan ini direalisasikan? Jawapannya boleh kalau kita semua mempunyai hati yang tulus, tidak ada hasad dengki, tidak ada cemburu iri hati dan tidak ada semangat memetingkan diri sendiri. Namun realiti manusia hari ini seolah-olah menolok usaha ke arah kebaikan ini.

23 Jun 2009

Kepentingan Bahasa Inggeris

Salam,

Ada tiga perkara utama yang harus dibincangkan apabila kita menyebut tentang kepentingan Bahasa Inggeris. Pertama, pengajaran matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris. Kedua,Bahasa Inggeris wajib lulus dalam peperiksaan SPM(Sijil Pelajaran Malaysia)dan ketiga ialah Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah.

Tidak dapat tidak, ketiga-tiga perkara di atas mesti dibincang dan seeloknya-eloknya dilaksanakan terus terutama di peringkat sekolah menengah. Saya pasti ramai yang tak setuju, ramai yang marah, ramai yang memberontak memarahi kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran, jika salah satu daripada tiga perkara di atas dilaksanakan di sekolah. Bukan sahaja orang Melayu, malah orang Cina dan India juga tidak setuju dengan pelaksanaan salah satu daripada 3 perkara tersebut.

Orang Cina dan India tak setuju kerana bimbang bahasa Ibunda mereka akan terhakis dan mungkin juga mereka tak mahu bangsa Melayu mahir berbahasa Inggeris. Orang Melayu pula tak setuju kerana bimbang penggunaan bahasa Melayu akan lenyap dan keputusan pelajaran akan merosot, maklumlah orang Melayu paling lemah dalam bahasa Inggeris.

Apa pun secara peribadi, saya setuju jika kementerian ingin melaksanakan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran matematik dan sains, lagi setuju jika mata pelajaran bahasa Inggeris wajib lulus dalam SPM dan sangat setuju jika bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar di peringkat sekolah menengah.

Kenapa saya bersetuju? Inilah saja cara nak meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan orang Melayu terutamanya yang tinggal jauh di pedalaman di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang. Tidak ada cara lain, inilah sahaja caranya. Saya tak nak lagi peristiwa yang menimpa saya akan menimpa anak-anak saya nanti.

Saya berasal dari sebuah kampung yang agak terpencil di Kelantan. Namun begitu pelajaran saya agak baik. Boleh dikatakan semua mata pelajaran, saya memperoleh markah yang tinggi, 80% keatas, kecuali bahasa Inggeris. Bukan sahaja saya, malah kawan-kawan saya mengalami nasib yang sama. Dari darjah 1 hingga tingkatan 6, saya tak pernah lulus bahasa Inggeris kerana menganggap tidak penting dan tak perlu.

Apabila saya memasuki UKM selama 4 tahun, saya masih teragak-agak membaca teks berbahasa Inggeris, memahaminya amat susah sekali. Namun begitu saya berjaya juga lulus dengan cemerlang kerana UKM kurang mementingkan bahasa Inggeris.

Keluar dari UKM, barulah saya sedar betapa pentingnya bahasa Inggeris setelah berkali-kali saya gagal untuk mendapatkan kerja. Akhirnya saya mendapat kerja di Brunei sebagai guru.

Di Brunei saya hanya mengajar subjek bahasa Melayu, jawi dan pendidikan moral(MIB) kerana subjek itu sahaja yang diajar dalam bahasa Melayu. Subjek lain semuanya diajar dalam bahasa Inggeris. Rupanya sekolah di Brunei menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Semasa mesyuarat diadakan, saya seperti orang bisu, langsung tak bercakap, nak cakap apa, bahasa Inggeris tak tahu. Namun begitu selepas 8 tahun di Brunei saya sekarang agak bagus juga berbahasa Inggeris, boleh bercakap walaupun tidak lancar, boleh faham walaupun merangkak. Namun saya bersyukur, kerana saya masih belum terlambat.

Kepada bangsa Melayu, kepada orang kampung, kepada mak bapak di kelantan, kepada pakcik makcik di kampung, janganlah risau jika kementeria ingin menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sekali pun di sekolah. Setujulah, terimalah cadangan ini, kerana inilah saja caranya nak membantu anak-anak kita pada masa depan. Jangan risau, bahasa Melayu tak akan pupus, anak-anak kita tak akan bodoh dalam pelajaran. Percayalah, ini sajalah caranya bagaimana bangsa kita nak menyaingi bangsa Cina dan India dalam lapangan pekerjaan pada masa akan datang.

Orang Cina dan India patut untuk tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan ini kerana mejoriti daripada bangsa mereka pandai berbahasa Inggeris dan inilah saja caranya mereka nak lihat bangsa kita menjadi bangsa yang haprak pada masa depan.

Kepada bangsa Melayu, fikirkanlah kata-kata saya ini. Ia lahir dari hati saya yang tulus ikhlas.

Kemelesetan Ekonomi.

Salam,

Apabila tiba musim kemelesetan ekonomi, kita tak dapat lari dari isu pemberhentian pekerja dan isu pemotongan gaji pekerja. Negara kita juga tidak terlepas dari isu ini. Sebesar mana pun sesebuah syarikat itu dan sekukuh mana pun keewangan syarikatnya, masalah pemberhentian pekerja tak dapat lari.

Ramai juga kawan-kawan penulis yang telah diberhentikan kerja.Mereka bukan dari golongan pekerja biasa, malahan gaji mereka juga hampir mencecah rm10,000 sebulan, namun berhenti tetap berhenti. Ada antara mereka yang telah balik ke kampung, buat kerja yang patut untuk menyara anak bini.

Kalau dulu bukan main lagi berbangga dengan pangkat dan kedudukan. Apa klass bekerja di kampung, gaji kecil, kereta kecil, rumah kecil, dan semua lagi keburukan tinggal di kampung. Sekarang siapa yang untung.

Penulis memang bekerja di kampung, kerja sendiri. Isteri kerja dengan Syarikat Kontraktor Kecil, tak banyak projek, projek pula kecil-kecil maka gaji pun juga kecil dalam rm2000 lebih jer. Namun apa yang perlu dibanggakan ialah tahun ni gaji isteri dinaikkan lagi sebanyak rm300, nak pinjam duit bila-bila masa boleh, bonus tahunan paling sedikit sebulan gaji. Pekerja tak ada seorang pun yang diberhentikan. Kebajikan pekerja boleh dikatakan tip top. So apa lagi yang kita harapkan?

Kemelesetan ekonomi adalah sesuatu yang lumrah. 10 tahun sekali mesti ia akan berlaku. Takkan syarikat besar di bandar-bandar tak boleh kaji dan buat persiapan untuk menghadapi kemelesetan ekonomi 10 tahun sekali ini kalau betul mereka bertanggungjawab. Atau pun mungkin mereka yang menguasai ekonomi ni sengaja nak mengabaikan tanggungjawabnya terhadap pekerja-pekerja mereka. Yang jadi mangsa ialah pekerja. Tuan punya syarikat hidup bergelumang dengan wang, manakala pekerja pula bergelumang dengan hutang.

Oleh itu pk-pkkanlah.

18 Jun 2009

Pasaran Saham: Ramalan atau Realiti Ekonomi Sebenar?

Salam,

Minggu ini indek pasaran saham BSKL jatuh lagi. Menurut ramalan, minggu depan akan bermula kejatuhan tersebut. Tapi nampaknya kejatuhan itu berlaku seminggu lebih awal.

Apa yang aku tak faham ialah adakah pasaran saham kita bergantung pada ramalan dan bukannya kekuatan sumber ekonomi negara kita. Atau adakah kenaikan pasaran saham sebelum ni hanyalah mainan pihak tertentu supaya tidak nampak bahawa ekonomi negara kita sangat teruk.

Pening kepala aku memikirkannya. Dalam berita, negara itu sanggup melabur di negara kita, negara ni akan melabur bulan depan, Syarikat ni dapat projek besar, Syarikat tu dapat projek berbilion ringgit di luar negara. Tetapi keadaan ini semua langsung tak mempengaruhi pasaran saham. Tetapi bila ramalan mengatakan minggu depan akan berlaku kejatuhan, seminggu awal, para pelabur sudah pun menjual saham-saham mereka. Apa sebenarnya masalah ekonomi kita sekarang ni?

Bagi pelabur runcit seperti aku, masalah sebegini begitu mengganggu tidur dan membuatkan aku sentiasa dalam keresahan.

Apa pun, inilah lumrah dunia.

23 Mei 2009

Adakah Islam Kita Di Landasan Yang Betul?

Salamun Alaikum.

Memang diakui bahawa negara kita, negara Malaysia adalah sebuah negara Islam. Mejoriti rakyatnya beragama Islam, agama Islam adalah agama rasmi negara mengikut apa yang termaktub dalam perlembagaan. Namun masih ada sesetengah pihak yang tidak mahu mengiktiraf keadaan ini. Penting sangatkah pengiktirafan tersebut?

UMNO merupakan parti Melayu yang terbesar dan UMNO jugalah yang menerajui pemerintahan negara. UMNO dalam perjuangannya juga ingin memartabat dan mendaulatkan Islam sebagai agama rasmi negara. Walaupun masih terlalu awal untuk mengatakan UMNO juga sama dengan PAS dalam memperjaungkan ISlam, namun usaha-usaha ke arah itu memang tidak dapat dinafikan.

Sebaliknya PAS yang merupakan parti pembangkang Melayu yang terbesar selalu menyalahkan UMNO dalam memartabatkan ISlam. Ada sahaja yang tak kena apabila UMNO cuba menerapkan nilai keislaman dalam pemerintahan negara. Masalahnya PAS sendiri masih dalam dilema dalam membentuk sebuah negara atau negeri ISlam. Di Kelantan imej keislamannya lebih kurang sama sahaja pada masa pemerintahan BN dulu juga. Sekarang masih berleluasa budaya-budaya yang bertentangan dengan Islam di Kelantan.

Islam siapa yang betul dalam soal ini? Islam yang diterapkan oleh UMNOkah atau Islam yang dilaung-laungkan oleh PAS ataupun kedua-duanya berada di landasan yang tak betul? Marilah sama-sama kita fikirkan dan cari penyelesaian yang terbaik dalam soal ini. Marilah kita bertanya kenapa berlaku perpecahan dalam Islam di seluruh dunia, kenapa Islam tak pernah menang bila berlaku peperangan dan kenapa juga negara islam banyak yang menerima musibah daripada Tuhan.

Marilah sama-sama kita fikirkan. Jangan sesekali mudah menyalahkan dan mengatakan orang lain tak betul. Islam itu luas, Islam itu untuk semua, Islam itu patuh, Islam itu taat dan Islam itu percaya. Adakah Islam kita Islam?

10 Mei 2009

Gelora Politik Terengganu

Salam,

Kalau Perak kecoh di dewanya, masing-masing nak tunjuk siapa yang berkuasa. Gelora itu juga menceritakan yang pakatan pembangkang bukanlah satu ikatan yang kukuh. Lain pula di Terengganu yang mana UMNO yang diterajui MB Mat Said telah berpecah kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama yang menyokong Mat Said dan kumpulan satu lagi dikatakan kumpulan yang masih setia kepada bekas MB iaitu Idris Jusuh.

Kenapa perkara ini berlaku di kala UMNO memerlukan sokongan yang padu daripada rakyat, di kala UMNO dalam proses rawatan akibat terhakisnya sokongan dan kepercayaan rakyat. Sepatutnya perkara ini tak harus berlaku. Berlakunya insiden ini telah menghilangkan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan juga telah menyokong tohmahan pembangkang terhadap UMNO yang mengatakan UMNO dipenuhi dengan rasuah, tamak kuasa dan tamak wang.

Sebagai orang yang tinggal di Pantai Timur, saya tak nampak apa-apa kelemahan Mat Said setakat ini dan kalau ada pun kelemahan, sepatutnya perkara ini harus diselesaikan secara aman. Kalau betul Mat Said tak bagus, tunggulah dulu. Sampai pilihan raya seterusnya, tukarlah yang lain. Janganlah nak tunjuk jantan yang tak kena pada tempat.

Harapan saya agar Hisyammudin dapat selesaikan masalah UMNO di Terengganu.

Apa Sebenarnya Pembangkang Mahu?

Salam,

Apa yang berlaku dalam gelora politik Perak menarik minat saya untuk mencoretkan sesuatu di sini. Perak sebelum ini dikuasai PR di mana MBnya dari PAS yang merupakan kerusi yang paling sedikit dalam Pakatan Rakyat.Apakah motif disebalik perlantikan wakil PAS sebagai MB? Hanya PR sahaja yang tahu atau lebih tepat lagi DAP sahaja yang tahu.

Nampak sangat, semasa pentadbiran PR, MBnya lebih mengutamakan masyarakat bukan Melayu walaupun beliau daripada bangsa Melayu. Nampak sangat yang MB Perak hanyalah sebagai boneka yang kuasa sebenarnya terletak di tangan DAP. Nampak sangat yang PAS tidak berkuasa langsung di Perak. Pun begitu sebagai rakyat, saya tak kisah sangat, mungkin ini satu kebetulan.

Tetapi selepas BN berjaya menguasai Kerajaan Perak akibat daripada 3 adun PR yang menjadi ahli bebas dan menyokong BN, nampak sangat yang wakil-wakil rakyat daripada pakatan pembangkang pun sama seperti wakil-wakil rakyat BN. Sifat tamak kuasa, tamak wang juga berleluasa dalam diri wakil-wakil rakyat pembangkang. Kalau mereka tidak tamak kuasa tidak tamak wang, kenapa harus berlaku kecoh dalam dewan, kenapa harus berlaku isu MB tak mahu serahkan kereta, isu MB tak mahu pindah daripada rumah dan isu MB masih mengaku MB walaupun telah tidak mendapat mejoriti dalam dewan. Kejadian atau insiden ini semua mengambarkan siapakah sebenarnya wakil-wakil rakyat pembangkang.

Saya keliru, khalayak juga keliru, apakah sebenarnya yang pembangkang mahu? Nampaknya betul seperti kata pensyarah saya dulu, politik itu ibarat sebutir mutiara yang letaknya di dalam lumpur. Siapa sahaja yang ingin mendapatkan mutiara itu haruslah bergelumang dengan lumpur.

Sikap Orang Melayu

Salam,

Saya berbangsa Melayu. Tetapi saya tidak malu untuk membincangkan sikap negatif segelintir masyarakat Melayu.Kerana sikap negatif ini, kehidupan mereka tak pernah berubah. Kalau bapa mereka petani, petani jugalah kerja mereka anak-beranak, kalau nelayan kerja bapa mereka maka nelayan jugalah yang menjadi amalan mereka anak-beranak. Kenapa keadaan ini berlaku?

Walaupun pendapatan perkapita rakyat Malaysia kini agak tinggi, namun jangan tidak percaya kalau saya katakan rata-rata masyarakat Melayu di kampung masih berpendapatan di bawah paras kemiskinan. Dalam hal ini siapa yang patut disalahkan? Adakah rakyat itu sendiri atau pun kerajaan?

Pada pendapat saya, kerajaan tak boleh dipersalahkan dalam hal ini. Kerajaan telah menyediakan segala-galanya. Keadaan ekonomi negara yang stabil, keadaan politik negara yang aman. Keadaan ini membolehkan rakyat bebas bergerak dan melakukan apa sahaja asalkan tidak melanggar peraturan atau undang-undang negara. Namun kemiskinan masih lagi membelenggu masyarakat kita.

Pada saya, keadaan ini berlaku disebabkan oleh sikap kita sendiri yang tak mahu berubah.Kenapa saya berkata demikian?

Saya ada menyertai perniagaan jualan langsung. Insyaallah dengan berkat kegigihan, saya sudah boleh menjana pendapatan RM5000 ke atas setiap bulan. Dalam kumpulan saya ada daripada golongan profesional seperti pensyarah, doktor, peguam dan ada juga daripada golongan pertengahan seperti guru dan ada juga daripada golongan bawahan seperti suri rumah, driver yang telah berjaya dan hidup dalam kemewahan. Namun apabila saya masuk ke kampung-kampung untuk mempromosikan perniagaan ini, masih ramai daripada masyarakat kita yang berfikiran negatif dan tak mahu berubah mengubah kehidupan mereka.

Apabila saya memberitahu mereka tentang "up line" saya yang bekerja sebagai pensyarah telah berjaya menjana pendapatan melebihi RM500 ribu sebulan. Alasan mereka yang tak mahu berubah mengatakan bahawa mereka ada modal, mereka ada ramai kawan, sebab tu mereka boleh berjaya. Saya mana ada itu semua. Betul juga kata mereka, boleh diterima akal.

Apabila saya memberikan contoh, seorang suri rumah dan suaminya pemandu boleh menjana pendapatan melebihi RM100 ribu sebulan. Alasan mereka yang tak mahu berubah mengatakan mereka boleh berjaya sebab mereka orang miskin dan memerlukan duit, sebab tu mereka buat bersungguh-sungguh. Betul juga alasan mereka tu, boleh diterima akal.

Kalau begitu tak perlu risaulah kalau kita mendapati sebahagian besar daripada masyarakat kita yang miskin. Sebenarnya kita sendiri yang menentukan nasib diri kita bukan orang lain. Allah tak akan mengubah nasib seseorang melainkan mereka sendiri yang mengubahnya. Tepuk dada tanya selera.

07 April 2009

Apa Sudah Jadi?

Salam,

Apa sudah jadi? Apa sudah jadi dengan UMNO? Apa sudah jadi dengan Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Najib, Tan Sri Muhyiddin? Apa sudah jadi sebenarnya dengan pilihan raya kecil kali ini.

Kalau dulu, ramai daripada kita menyalahkan Pak Lah dan Khairi atas kekalahan teruk BN dalam pilihan raya umum lepas. Tak henti-henti golongan yang anti Pak Lah menyuruh Pak Lah meletakkan jawatan. Katanya UMNO akan pulih apabila Pak Lah letak jawatan, UMNO akan berubah apabila Pak Lah letak jawatan, UMNO akan kembali mendapat tempat di hati rakyat apabila Pak Lah meletakkan jawatan.

Sekarang apa sudah jadi? Pak Lah dah letak jawatan. TDM pun dah masuk UMNO, Tan Sri Muhyiddin pun telah diberi kepercayaan mengetuai pilihan raya kecil kali ini. Tetapi UMNO masih juga kalah di kedua-dua tempat iaitu di Bukit Selambau dan Bukit Gantang.

Ini membuktikan kekalahan teruk BN dalam pilihanaya umum yang lalu bukan berpunca daripada Pak Lah tetapi sebenarnya berpunca daripada TDM. TDM sebenarnya yang telah menghilangkan kepercayaan orang Melayu kepada UMNO.

Kepada Datuk Seri Najib, ambillah iktibar daripada kekalahan ini. Buatlah sesuatu untuk kebaikan semua.byeeeeeeeeee

03 April 2009

SAMPAI BILA UMNO MAMPU BERTAHAN?

Salam semua,

Tulisan yang bakal disajikan kali ini berdasarkan pendapat penulis semata-mata, tidak ada sumbangan daripada mana-mana pihak, tidak ada bias kepada mana-mana pihak dan tidak bertujuan memburuk-burukkan mana-mana pihak, sekadar luahan hati daripada seorang yang boleh dianggap daripada golongan akar umbi yang tidak berpihak kepada mana-mana pihak.Namun begitu, jika ada mana-mana pihak yang tersinggung dengan tulisan ini, penulis mohon kemaafan.

Apabila kita menyebut tentang UMNO, semua orang tahu bahawa parti ini merupakan parti orang Melayu yang terbesar. Parti ini bertanggungjawab menjaga kepentingan dan survival orang Melayu.Tanpa UMNO, Melayu akan merempat di tanah air sendiri. Tanpa UMNO, orang Melayu akan menjadi hamba di tanah air sendiri. Tanpa UMNO juga, orang Melayu akan kehilangan semuanya. Betulkah begitu? Inilah anggapan,pegangan dan sentimen yang ada dalam fikiran kita semua dan inilah juga senjata bangsawan-bangsawan UMNO untuk mengekalkan kekuasaan UMNO.

Pada zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir(TDM) semuanya terserlah. Kebaikan terserlah dan keburukan juga terserlah. TDM terkenal dengan pemikiran doktornya. Dalam pentadbiran dan pemerintahannya juga, beliau telah menerapkan pemikiran dan prinsip kedoktorannya. Alhamdulillah, boleh dikatakan semua ideanya berjaya dilaksanakan. Negara Malaysia begitu pesat sekali membangun. Beliau terkenal bukan sahaja di Asia malah dunia mengenali siapa TDM.

Namun begitu, lumrah manusia, apabila nama kita dijulang, negara kita menjadi sebutan, maka ramailah kawan dan lawan cuba mendekati kita. Sebagai kawan, mereka datang untuk untuk berkongsi idea. Sebagai lawan, mereka datang untuk menjatuhkan kita. Begitulah juga dengan TDM, kehebatannya telah mendatangkan rasa cemburu di kalangan kuasa-kuasa besar dunia.

Dalam negara pula, pembangunan yang pesat berlari seiring dengan amalan yang kurang sihat. Amalan mengkayakan diri sendiri dan sedara-mara mengatasi kepentingan kepada bangsa dan negara. Amalan rasuah begitu berleluasa. Parti dijadikan tempat untuk mengaut kekayaan.

Kehebatan TDM tidak dapat mengatasi ini semua. Dicampur dengan sumbangan daripada kuasa-kuasa luar,akhirnya TDM mengalah dan menyerahkan kuasa kepada orang yang dianggap boleh menyelesaikan masalah ini, boleh menyelamatkan UMNO daripada terus berkubur. Sebab itu TDM mencari penggantinya yang bersih dari segala perkara. Pak Lah yang terkenal dengan imej bersih dan anak ulama telah menjadi pilihan TDM untuk menggantikan tempat beliau.

Kehadiran Pak Lah betul-betul boleh merubah keadaan UMNO. Keadaan ini terbukti dengan kemenangan yang luar biasa dalam pilihan raya umum pertama semasa Pak Lah menjadi PM. TDM begitu terkejut dengan prestasi Pak Lah.Ada pendapat di kalangan penganalisis politik mengatakan yang TDM begitu cemburu dengan pencapaian Pak Lah itu.

Ingatkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari. Rakyat merasakan Pak Lah juga tidak mampu menangani masalah yang melanda UMNO. Walaupun ada usaha ke arah itu, namun kejayaannya tidak ada. Tambahan pula kritikan-kritikan pedas daripada TDM yang selalu mengeluarkan kenyataan yang tidak berapa sesuai kepada Pak Lah(mungkin kerana cemburu dengan kejayaan Pak Lah sebelum ini) telah menyebabkan pandangan khalayak kepada Pak Lah semakin diragui. Akhirnya kehendak rakyat telah dijelmakan dalam pilihan raya umum berikutnya. UMNO dan komponen BN yang lain telah mengalami kekalahan yang teruk. Tak pernah berlaku dalam sejarah, enam negeri dimenangi oleh pembangkang.

TDM dan pengikut-pengikutnya mendesak Pak Lah meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO dan PM. Pak Lah akur dengan meletakkan tarikh tertentu untuk peralihan kuasa kepada Datuk Seri Najib(DSN). Namun begitu TDM dan kuncu-kuncunya masih lagi tak berpuas hati dan mendesak Pak Lah mempercepatkan tarikh peralihan kuasa tersebut. Sebagai seorang yang beriman dan penyabar, Pak Lah mempercepatkan tarikh tersebut agar UMNO dapat dipulihkan.

DSN mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Pak Lah dengan harapan UMNO dapat dipulihkan. Adakah rakyat yakin bahawa DSN dapat melakukan ini semua? DSN mempunyai tanggungjawab yang sangat besar. Bukan sahaja keadaan politik negara yang tidak stabil, keadaan ekonomi dunia yang begitu meruncing sekarang telah menyulitkan lagi tugas DSN.

Adakah DSN juga seperti Pak Lah? Dipuja pada mula dan akhirnya dikeji. Beginilah sifat manusia.

Yang pasti UMNO tak bersalah. Yang bersalah ialah pemimpin-pemimpin UMNO yang menjadikan UMNO sebagai mata pencarian untuk mengenyangkan mereka anak-beranak. Mereka lupa pada bangsa mereka, mereka lupa pada orang yang menaikkan mereka, mereka lupa semuanya. Yang mereka ingat ialah wang...wang...wang.

Kepada DSN, kalau ingin melihat UMNO terus bernafas, bersihkanlah UMNO daripada lumpur rasuah yang merosakkan bangsa ini. Jadikanlah bangsawan-bangsawan UMNO mesra rakyat. Berkongsilah kekayaan negara bersama-sama rakyat jelata. Insyaallah UMNO akan terus kekal memerintah negara yang tercinta ini.

26 Mac 2009

UMNO Dan Masa Depan

Salam,

Pemilihan UMNO telah pun selesai. Ada keputusan yang mengejutkan dan ada keputusan seperti yang dijangka. Keputusan yang mengejutkan ramai pihak ialah kemenangan Khairy Jamaluddin. Ramai yang menjangkakan Mukhris yang akan memenangi jawatan Ketua Pemuda. Namun jangkaan itu ternyata meleset bahkan undian Mukhris paling rendah.

Keputusan lain seperti Timbalan Presiden, Ketua Wanita memang kena dengan jangkaan ramai.

Apa sudah jadi dengan pemuda UMNO? Adakah undian itu betul-betul datang daripada kehendak ahli akar umbi atau hanya dari perwakilan yang tidak ada kena-mengena dengan kehendak akar umbi. Apa pun, keputusan adalah muktamad. Apa sahaja keputusannya, perwakilan dan ahli UMNO mesti patuh.

Mungkin ada sebabnya kenapa Mukhris mendapat undian yang paling rendah. Ada yang mengatakan amalan rasuah masih berleluasa dalam pemilihan kali ini. Ada juga pendapat yang mengatakan kekalahan Mukhris adalah disebabkan kelantangan bapanya Tun Mahathir. Apa pun alasan, apa pun pendapat orang, yang pasti perwakilan masih berkehendakkan Khairy menerajui pergerakan pemuda UMNO.

Dari segi ketokohan, penulis nampak Khairy memang ada karisma sebagai seorang ketua. Walaupun pun ramai yang mengaitkan Khairy dengan peribadi yang agak kurang menyenangkan, namun perkara itu ibarat asam garam politik yang lahir daripada golongan yang tidak sukakan Khairy.

Persoalannya ialah adakah calon-calon yang menang daripada pemilihan kali ini boleh membantu Datuk Najib mengubah persepsi masyarakat terhadap UMNO yang telah tercalar.

UMNO sekarang dianggap sebagai lubuk kekayaan. Perlumbaan mengejar jawatan dalam UMNO sebenarnya bukanlah hendak berbakti kepada bangsa dan negara sebaliknya untuk mengaut sebanyak mana kekayaan yang bakal diperoleh. Ini tanggapan masyarakat, ini persepsi khalayak sekarang. Bolehkah Datuk Najib "and the geng" mengubah persepsi tersebut, mengikis tanggapan masyarakat yang mengatakan UMNO adalah lubuk kekayaan.

Kejayaan Datuk Najib akan menghidupkan kembali UMNO, sebaliknya kegagalan Datuk Najib akan menjadikan "TEORI RAHMAN" satu realiti. Sama-samalah kita menyaksikan kesudahan polemik politik negara kita ini yang ramai mengatakan sampai ke penghujungnya.

14 Februari 2009

Adakah BN Sudah Diterima Rakyat.

Salam,

Dalam dua pilihanraya kecil yang diadakan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, ternyata rakyat masih tidak dapat menerima BN. Di Parlimen Permatang Pauh memang ramai menjangkakan bahawa Anwar Ibrahim akan menang mudah memandangkan di situ adalah kawasan Anwar Ibrahim.Tetapi di Parlimen Kuala Terengganu tidak ada siapa yang berani meramal calon mana yang akan menang. Mejoriti berkata 50-50.

Pihak pembangkang meramalkan 50-50, tetapi merasakan calon mereka boleh menang memandangkan situasi pada masa itu yang berpihak kepada pembangkang. Lagipun mereka menang di tiga DUN dan tewas satu sahaja iaitu di DUN bandar yang dikuasai oleh pengundi Cina. Daripada teori, andaian dan cakap-cakap orang kampung, mereka merasakan calon mereka boleh menang.

Pihak kerajaan pula meramalkan juga 50-50, tetapi mersakan calon mereka boleh menang memandangkan kerusi tersebut dimenangi oleh BN sebelum ni. Lagipun mereka mengandaikan rakyat sudah dapat melihat kelemahan pakatan pembangkang. Tetapi ternyata pihak kerajaan tidak peka dengan kehendak dan keinginan penduduk tempatan dalam menetukan calon pilihan mereka bertanding di Parlimen tersebut.

Akhirnya calon PR memenangi pilihanraya Parlimen Kuala Terengganu. BN berputih mata.

Sekarang situasi di Perak telah menggegarkan lagi politik negara. BN telah berjaya merampas kerajaan Perak dengan kemenangan "simple mejoriti"hasil daripada proses lompat parti. 3 ADUN PR telah keluar parti dan 1 bekas ADUN UMNO yang lompat parti menyertai PKR telah kembali melompat ke dalam UMNO.Walaupun proses lompat parti ini tidak demokratik namun kesempatan ini telah dipergunakan oleh BN untuk kembali memerintah Perak. Situasi gelora dan panas ini telah mengundang beberapa kenyataan yang begitu mengejutkan masyarakat. PERTAMA: Karpal Singh telah meminta Anwar Ibrahim melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang kerana beliau tak layak memegang jawatan tersebut. KEDUA: Karpal Singh telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan menyaman Sultan Perak.

Kenyataan pertama Karpal mungkin telah menunjukkan bahawa dalam pakatan pembangkang telah ada bibit-bibit perpecahan walaupun telah lama diwar-warkan oleh UMNO. Kenyataan kedua Karpal telah menaikkan kemarahan orang Melayu walau dalam parti mana pun tak kira yang pro kerajaan ataupun pro pembangkang. Ini mungkin memberi kelebihan kepada BN.

Namun untuk mengukur sejauh mana penerimaan rakyat terhadap BN dan sejauh mana kebencian rakyat kepada pakatan pembangkang hanya akan terlihat melalui pilihanraya kecil yang bakal diadakan di Bukit Gantang dan Bukit Selambau pada 7 April nanti. Jika kemenangan berpihak kepada BN, itu membuktikan bahawa rakyat telah boleh menerima kembali BN yang telah tercalar teruk dalam pilihanraya umum lepas. Namun jika kemenangan berpihak kepada PR, sekali lagi membuktikan bahawa rakyat masih tidak dapat menerima BN.

05 Januari 2009

Kenapa Yang Swasta Menjadi Pilihan?

Salam semua...

Sekarang ni boleh dikatakan semua lapisan rakyat mengeluh tentang kenaikan harga barang. Barang tu naik, barang ni naik, tambang tu naik, tambang ni naik. Semua naik. Akibatnya rakyat kosong poket hasil daripada daripada kenaikan tersebut.

Namun begitu, walaupun poket kosong, yang swasta masih lagi menjadi pilihannya walaupun bayarannya lebih tinggi. Sebagai contoh menghantar anak yang berumur 4,5,dan 6 tahun belajar. Rakyat kini lebih gemar menghantar anak-anak mereka ke taman bimbingan swasta daripada TABIKA atau TADIKA yang di bawah kendalian kerajaan. Kenapa keadaan ini berlaku?

Guru-guru di TABIKA dan TADIKA semuanya bertauliah. Mereka diberi kursus yang berterusan daripada kementerian. Tarafnya menyamai kelulusan diploma pendidikan. Gaji mereka juga mahal menyamai guru-guru sekolah rendah yang berkelulusan diploma(maaf kalau salah). Kalau nak dibandingkan dengan guru-guru yang mengajar di taman-taman asuhan swasta atau sekolah yang boleh dikatakan elit (smart), ternyata guru di TABIKA atau TADIKA lebih segala-galanya.

Saya juga diberi tahu di tempat saya (Kemaman), guru-guru di taman asuhan swasta, gaji mereka dalam rm300-rm400 jer sebulan, kelulusan mereka sampai SPM sahaja. Langsung tak ada kursus mengenai pendidikan. Begitu juga dengan sekolah yang dianggap smart, hebat promosinya dalam media. Tapi guru-guru mereka juga tidak bertauliah. Namun begitu rakyat masih mahu menghantar anak-anak mereka ke taman asuhan swasta walaupun tak ada duit. Kenapa…Kenapa keadaan ini berlaku.?

Mungkin jawapannya akan diketahui tidak lama lagi. Sebulan lagi, dua bulan lagi atau mungkin tiga bulan lagi. Sekarang saya sedang memantau dan membuat kajian dengan menghantar anak saya ke TABIKA yang berhampiran dengan rumah saya.

21 Disember 2008

Masjid Di Bandar Jertih

Salam,

Negeri Terengganu memang terkenal dengan masjidnya. Paling menarik dan menerima ramai kunjungan pelancong ialah masjid Kristal yang terletak di bandar raya Kuala Terengganu. Walaupun menerima banyak pujian daripada ramai pelancong namun ia juga tak lepas daripada kritikan terutama pihak pembangkang yang menganggap pembinaan ini satu pembaziran. Mungkin ada betulnya.

Tapi apa yang aku nak ceritakan ni bukanlah mengenai masjid Kristal tetapi mengenai masjid yang baru siap dibina yang terletak di bandar Jertih dalam daerah Besut. Masjid ini memang cantik, besar, dua tingkat dan ada lif lagi untuk ke tingkat 1. Dengar cerita perbelanjaannya lebih kurang 12 juta, tak tahulah betul ker tidak. Tetapi kalau dilihat daripada senibina dan reka bentuknya, memang memerlukan belanja yang besar. Satu pembaziran atau tidak? Tak tahulah dan bukan itu yang aku nak sentuh di sini.

Apa yang aku nak katakan di sini ialah tentang keselamatan kepada anak-anak kecil yang bermain-main di tingkat satu. Dalam perjalanan pulang dari Penang pada 17.12.2008, aku sempat singgah di masjid tersebut untuk solat asar dan zohor. Aku dapati bahagian dinding yang aku bulatkan dalam gambar sangat berbahaya kepada kanak-kanak yang bermain-main di tingkat satu semasa ibu bapa mereka sedang solat. Lubangnya sangat luas tanpa ada apa-apa halangan. Ini boleh menyebabkan kanak-kanak terjatuh ke bawah kalau tak diawasi dengan betul.


Kepada semua ibu bapa yang singgah untuk solat di sini harap berhati-hati dengan anak-anak mereka. Dan kepada mereka yang bertanggungjawab terhadap masjid ini moga-moga mengambil perhatian yang serius dalam hal ini.
Sekian.

20 Disember 2008

Jeram Pasu

Salam,

Boleh dikatakan setiap kali balik ke Kelantan, aku tidak lepaskan peluang membawa anak-anak mandi di Jeram Pasu. Kedudukannya tak berapa jauh daripada rumah orang tuaku iaitu lebih kurang 7 kilometer sahaja. Jeram ni boleh dikatakan antara jeram yang tercantik di negeri Kelantan. Kedudukannya yang dekat dengan bandar Pasir Puteh (3 kilometer), jalannya yang cantik, airnya yang jernih dan dalam, kawasanya yang luas telah berjaya menarik minat ramai pengunjung untuk datang ke sini.

Sekali fikir baik juga negeri Kelantan diperintah oleh parti pembangkang. Tak banyak pembangunan material dilakukan. Masih kekal dengan alam semulajadi yang cantik, bersih dan menyegarkan. Kalau jeram ni terletak di Selangor atau pun Kuala Lumpur, aku rasa airnya dah pasti tak seperti dalam gambar ni lagi.


Walaupun dikuasai pembangkang, nampaknya kawasan ini masih terjaga dengan baik. Tandas untuk kemudahan awam, tempat menukar pakaian, tempat mandi terjaga dengan baik walaupun tak ada pekerja yang ditugaskan menjaga kawasan ini. Dan satu lagi yang aku respek ialah tandas awam tak ada orang jaga, tapi duit dalam tabung duit tak ada siapa yang curi. Malah tabung tersebut sentiasa terisi walaupun tiada penjaga. Kalau semua rakyat begini, alangkah bertuahnya negeri dan negara ini.

Kepada semua pembaca yang berminat untuk mandi jeram, silalah berkunjung ke negeri Cik Siti Wan Kembang ni. Banyak lagi jeram lain selain Jeram Pasu ini.

09 Disember 2008

Banjir Di Kemaman

Salam,

Boleh dikatakan setiap tahun daerah Kemaman di Terengganu dinaiki air pada musim tengkujuh. Antara laluan atau jalan utama yang selalu ditutup kepada semua kenderaan ialah jalan Chukai- Air Puteh. Tempat yang paling dalam ditenggelami air ialah kawasan pembinaan jambatan Sungai Pinang.


Tempat ini agak rendah dan merupakan laluan utama air ke sungai Kemaman. Sebab itu kawasan tersebut dibina jambatan supaya jalannya tinggi dan air boleh mengalir dengan cepat melalui jambatan tinggi tersebut. Malangnya, projek membina jambatan tersebut telah diberi kepada kontraktor yang tidak bertanggungjawab. Akibatnya sudah tiga tahun jambatan tersebut tergendala pembinaannya. Beginilah akibatnya apabila rasuah berleluasa dalam pemberian kontrak. Kontraktor atau pemaju yang tak sepatutnya mendapat projek tersebut telah berjaya memperoleh projek hasil rasuah.



Yang menghairankan, setelah tiga tahun projek tersebut dihentikan, YB yang baru langsung tidak mengambil apa-apa tindakan. Bukankah ini menyusahkan rakyat. Jalan ini merupakan laluan utama ke Air Puteh. Akibat daripada banjir tersebut penduduk yang menggunakan jalan ini terbatas pergerakannya kerana terpaksa menggunakan jalan alternatif yang sempit dan agak jauh. Inilah padahnya jika YB bukan dari kawasan tersebut.

Kepada penduduk DUN Air Puteh, saya menyarankan supaya pilihlah pemimpin yang betul dalam pilihanraya akan datang. Gunakanlah kuasa yang ada untuk membuat pilihan yang tepat tak semestinya pemimpin dari kalangan pembangkang tetapi pemimpin yang betul-betul prihatin tentang masalah rakyat dan kalau boleh biarlah pemimpin tersebut tinggal di kawasan tersebut. Barulah dia tahu keadaaan sekitarnya.

07 Disember 2008

Sekolah Satu Aliran

Salam,

Negara kita Malaysia memang terkenal dengan keamanan, keharmonian dan kerukunan yang dinikmati oleh masyarakat berbilang kaum atau dengan perkataan lain masyarakat majmuk. Banyak negara luar mengagumi dan menjadikan negara kita sebagai model atau contoh bagaimana sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dapat hidup aman damai. Mungkin ada benarnya dan mungkin ada salahnya. Benar mungkin kerana tidak berlaku rusuhan, peperangan dan saling membunuh antara kaum kecuali 13 Mei. Salah mungkin kerana dalam setiap sanubari rakyat masih terselit perasaan benci, marah, cemburu, iri hati, tak puas hati dan sebagainya antara satu sama lain. Keadaan ini memang tidak dinafikan.

Buktinya, apabila bekas PM Tun Mahathir mencadangkan supaya ditubuhkan sekolah wawasan, kaum Cina dan India banyak yang membantah kerana akan bimbang penggunaan bahasa Ibunda mereka akan terhakis. Di sini nampak bahawa semangat perkauman masih menebal di negara kita. Keadaan menjadi gempar sekali lagi apabila anak bekas PM, Datuk Mukhris Mahathir sekali lagi mencadangkan agar sekolah satu aliran dilaksanakan bagi menyatupadukan masyarakat yang berbilang kaum. Saranan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati terutamanya di kalangan orang Cina dan India dan meminta Datuk Mukhris menarik balik kenyataan tersebut. Sebahagian daripada orang Melayu juga tidak berapa setuju dan menganggap idea Datuk Mukhris tersebut sebagai satu umpan untuk menarik sokongan terhadap beliau dalam pemilihan ketua pemuda UMNO nanti.

Sebagai seorang bekas guru(bersara awal), saya merasakan sekolah satu aliran memang ada kebaikan dan merupakan satu cara yang terbaik untuk merapatkan hubungan antara kaum. Keadaan terbukti apabila kita melihat orang Cina dan India yang lahir dari sekolah jenis kebangsaan dan sekolah kebangsaan. Memang ketara perwatakan, cara hidup, pergaulan dan sebagainya. Orang Cina dan India yang belajar di sekolah kebangsaan tidak kekok untuk bergaul dengan orang Melayu, makan bersama, main bersama, belajar bersama dan sebagainya. Tapi bagi mereka yang belajar di sekolah jenis kebangsaan, kelihatan agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat lain. Keadaan ini memang ketara terutama ketika belajar di universiti. Ini pengalaman yang saya lalui sendiri.

Oleh itu, ketiga-tiga masyarakat utama negara ini iaitu Melayu, Cina dan India harus memandang serius perkara ini. Terus-terang saya rasakan sekolah jenis kebangsaan patut dihapuskan. Mana ada sekolah jenis kebangsaan di Singapura, Indonesia dan Thailand. Bahasa ibunda boleh diajar di sekolah kebangsaan. Kawan Cina saya ada yang menjadi pensyarah bahasa Cina tapi mereka tak belajar di sekolah jenis kebangsaan.

Jadi kalau ada yang mengatakan bahawa bahasa ibunda mereka akan terhakis dengan terhapusnya sekolah jenis kebangsaan, saya rasa pendapat itu tidak tepat. Sama-samalah kita fikirkan demi kebaikan anak cucu kita semua.

06 Disember 2008

Ketuanan Melayu

Salamun alaikum,

Apabila kita bercakap tentang "ketuanan Melayu", boleh dikatakan semua pihak melenting, tak kira Melayu, Cina mahupun India. Kenapa mereka melenting, tak siapa yang tahu. Apabila orang Cina dan India bercakap tentang ketuanan Melayu, Melayu dengan marahnya mengatakan bahawa orang Cina dan India mahu menghapuskan ketuanan Melayu. Apabila orang Melayu bercakap tentang ketuanan Melayu, Cina dan India pula dengan beraninya mengatakan orang Melayu nak menjadi "Tuan". Inilah yang berlaku dulu, kini dan mungkin buat selama-lamanya.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan frasa ketuanan Melayu ini? Betulkah Melayu ingin menjadi tuan atau melayu sudah menjadi tuan? Saya sendiri pun tidak pasti apakah yang dimaksudkan dengan ketuanan Melayu. Kalau nak dikatakan ketuanan Melayu ini membawa maksud tuan dan hamba, saya rasa tidak tepat. Dalam ekonomi, Melayu bukan tuan. Dalam politik, walaupun kuasa pentadbiran dikuasai oleh Melayu namun Melayu tidak berkuasa.

Saya pernah bekerja di sekolah swasta yang dipunyai oleh bangsa Cina. Gaji saya lebih rendah jika dibandingkan dengan gaji kawan saya dari bangsa Cina walaupun mempunyai kelulusan dari universiti yang sama dan dalam jurusan yang sama. Isteri saya bekerja di salah sebuah syarikat yang juga dipunyai oleh orang Cina. Gajinya juga lebih rendah jika dibandingkan dengan kawanya yang berbangsa Cina yang berkelulusan SPM, sedangkan isteri saya berkelulusan Universiti. Seorang kawan saya berbangsa Melayu, mempunyai syarikat sendiri. Beliau membayar gaji kepada pekerja Cina lebih tinggi berbanding dengan pekerja Melayu. Daripada tiga contoh di atas, saya tak pasti siapa tuan, siapa hamba sebenarnya.

Dalam politik, memang kuasa tertinggi dipegang oleh Melayu, tetapi apabila Melayu menimbulkan isu-isu yang berkaitan dengan bangsa lain, ia dianggap telah menimbulkan isu perkauman yang boleh membawa kemarahan rakyat dan orang tersebut disuruh menarik balik kata-kata tersebut atau memohon maaf. Tetapi jika ada orang Cina yang menimbulkan sesuatu isu berkaitan Melayu, ia langsung tidak ada apa-apa tindakan. Siapakah tuan sebenarnya?

02 Disember 2008

Bisnes: Modal Kecil Untung Besar

Salam,

Nak join bisnes tak? Silalah klik di sini http://www.igetworld.com/zukeriy, Modal hanya rm50 sahaja. Silalah, takkan bangkrap punya bermodalkan rm50 tapi keuntungan sudah pasti.

06 November 2008

Bisnes Baru

Salam...

Sekarang saya ada menceburi satu bisnes baru iaitu menjual penaps air BIO-AURA. Airnya mempunyai banyak khasiat dan terbukti boleh merawat dan menyembuhkan beberapa jenis penyakit. Siapa yang berminat untuk menggunakan penapis air tersebut atau menjadi pengedar bolehlah menghubungi saya, tok janggut di talian 019-9582382. Cuba jangan tak cuba...
AMALAN MEMINUM AIR BIO-AURA DAPAT MEMBANTU MENGHINDAR, MERAWAT DAN MEMULIH:
1. DARAH TINGGI
2. DARAH RENDAH
3. STRESS
4. LUMPUH(STROKE)
5. ARTHIRITIS
6. MINDA(KANAK-KANAK)
7. PENUAAN DAN NYANYUK
8. PARKINSON
9. PENYAKIT KULIT
10. ULSER(KULIT) DAN KULAT KAKI
11. MIGRAIN
12. INSOMNIA
13. RAMBUT
14. KESUBURAN DAN MANDUL
15. ASMA
16. JANTUNG
17. GASTRIK
18. BENGKAK USUS
19. GHOUT
20. KENCING MANIS
21. HEPATITIS B DAN C
22. SENGGUGUT, KEPUTIHAN DAN URAT BERSIMPUL
23. SEMBELIT
24. BUASIR DAN BATU KARANG
25. KANSER
26. KELENJAR PROSTAT
27. BUAH PINGGANG

09 Oktober 2008

Akhirnya Pak Lah Akur Kehendak "Akar Umbi"

Salam,

Setelah lama berteka-teki, akhirnya Pak Lah akur dengan kehendak "akar umbi" untuk tidak mengekalkan jawatan presiden parti pada pemilihan Mac depan. Sekarang jawatan presiden parti terbuka kepada sesiapa sahaja yang kemaruk nak jadi presiden. Kalau diikutkan pelan peralihan kuasa, jawatan presiden secara otomatisnya milik Najib. Tapi adakah ini akan berlaku? Adakah "akar umbi" menyukai Najib dan mahu Najib menjadi presiden parti. Atau mahukan jawatan nombor satu itu dipertandingkan agar siapa yang paling disukai "akar umbi" terpilih menjadi presiden.

Siapakah yang dimaksdudkan dengan "akar umbi" sebenarnya? Adakah betul ia terdiri daripada mejoriti ahli parti di peringkat bawahan atau sekadar gimik poltik daripada pihak tertentu. Amat susah untuk kita semua mentakrifkan siapa sebenarnya "akar umbi" yang begitu sinonim dengan politik tanah air sekarang.

Apa pun dan siapa pun "akar umbi" tersebut, yang pasti Pak Lah telah akur dan menerima desakan "akar umbi" tersebut. Yang ditakuti sekarang ialah kalau-kalau pengganti Pak Lah juga tidak disukai oleh mereka yang menggelarkan dirinya "akar umbi". Apa akan jadi untuk episod seterusnya? Apakah dan adakah negara kita juga akan jadi seperti Thailand? Tukar pemimpin seperti tukar baju. Kalau keadaan ini berlaku, sama-samalah kita tunggu kehancuran sebuah negara yang bernama Malaysia. Kalau keadaan ini terus dan terus berlaku, tidak mustahil suatu hari nanti, negara kita akan diperintah oleh orang bukan Melayu. Kenapa? Jawabnya kerana kehendak "akar umbi".

Ingatlah wahai pemimpin-pemimpinku, jangan kita jadikan kisah politik negara kita seperti kisah pak kadok. Menang sorak tapi kampung tergadai.

29 September 2008

Raya Bakal Menjelma Tiba.

Salam,

Mungkin lusa ataupun tulat kita semua umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Kalau lusa raya, maka kita berpuasa 29 hari sahaja, kalau tulat raya, kita puasa 30 hari. Masih terngiang-ngiang kata-kata nenek masa penulis kecil dulu. Dia kata kalau kita puasa 29 hari, tak cukup mesti puasa 30 hari juga baru cukup sebulan. Tak tahulah betul ker tidak. Yang pastinya kini kegembiraan menyambut raya melebihi kegembiraan menunggu tibanya ramadan. Ini yang silapnya amalan umat kini.

Amalan berpuasa di bulan ramadan adalah amalan wajib bagi umat islam sedangkan amalan raya tidak. Sepatutnya kita gembira apabila tibanya ramadan. Kerana selain dapat berpuasa, kita juga dapat melakukan amalan yang lain. Tetapi sekarang, umat amat menunggu ketibaan 1 Syawal. 1 Syawal merupakan hari yang paling istimewa walaupun bagi mereka yang tak berpuasa. Untuk menyambut hari itu, umat sanggup berhabisan membeli apa yang patut seperti sofa baru, kereta baru, baju baru, dan pelbagai jenis juadah(maklumlah sebulan berpuasa). Perbuatan ini sebenarnya satu perbuatan yang membazir. Dan Allah telah kata "orang yang membazir ialah kawan syaitan". Jadi apakah hukumnya menyambut hari raya dengan cara begini?

Amalan lain yang begitu sinonim dengan hari raya ialah amalan memberi duit raya. Kalau dulu masa penulis kecil amalan memberi duit raya biasa saja, main hulur jer 10 sen, 20 sen seorang. Sekarang lain. Kerajaan telah menyediakan sampul khas sempena hari raya untuk memasukkan duit raya untuk diagih-agihkan kepada kanak-kanak yang datang beraya. Sesetengah pendapat mengatakan amalan ini salah kerana menyamai perayaan agama lain seperti pemberian "angpow" masa tahun baru Cina. Pendapat lain pula mengatakan sebaliknya. Pada penulis amalan ini tak salah. Ini juga merupakan salah satu cara kita bersedekah sebagaimana yang banyak diperkatakan dalam quran. Bagaimana kita nak bersedekah, terserah kepada kita selagi kita mampu. Dan bagi mereka yang tak mampu janganlah pula sampai berhutang hanya semata-mata nak bagi bagi duit raya pada kanak-kanak. Kalau tak buat macam tu nanti malu pada jiran-jiran. Ini salah.

Akhir sekali, janganlah menyambut hari raya dengan cara yang melampau, takut-takut ianya bertentangan dengan ajaran agama. Bersederhanalah dalam semua hal.

23 September 2008

Pemberian Subsidi Kepada Petani

Salam,

Hari Jumaat lepas, saya, isteri dan dua orang anak balik ke kampung di Kelantan. Bukan ada apa-apa, saja balik kerana nak berbuka dengan keluarga. Bukannya jauh sangat, dalam empat jam sahaja sampai. Jarak yang sebegini bukan alasan untuk seorang anak malas balik menziarahi orang tua, tambah-tambah lagi pada bulan puasa. Seronok mereka dapat berbuka dengan anak cucu.

Biasalah apabila balik ke kampung ada sahaja yang dirungutkan oleh ayah. Kali ini beliau merungut tentang pemberian subsidi kepada para petani. Pemberian subsidi bukan tak bagus, bagus, tapi masih banyak yang perlu dikaji tentang cara pemberian subsidi tersebut. Pemberian subsidi sekarang menurut ayah telah membolehkan individu tertentu dan pegawai-pegawai yang terbabit mengaut keuntungan. Apa tidaknya, melalui pemberian subsidi baja padi, ada antara mereka yang tak mengusahakan sawah tapi telah mendaftar berpuluh-puluh ekar untuk mendapatkan baja. Baja-baja yang diperoleh akan dijual kepada mereka yang memerlukan.

Sebaliknya, penanam-penanam padi yang mengusahakan dalam jumlah yang banyak tak dibenarkan mendaftar dengan jumlah yang betul. Dengan kata lain kalau mereka menanam padi seluas 10 ekar, mereka hanya dibenarkan mendaftar 8 ekar sahaja. Tak tahu di mana silapnya. Banyak petani yang mengeluh. Tapi keluhan mereka tak sampai kepada pihak atasan.

Bagi mereka yang menanam tembikai pula, subsidi diberikan berdasarkan jumlah berat buah yang berjaya dijual. Masalahnya, ada petani(kawan, waris dan lain-lain) dengan pegawai telah berpakat untuk mendaftar dalam jumlah yang banyak. Maka banyaklah jumlah subsidi yang diperoleh. Bagi petani yang tak ada apa-apa hubungan dengan pegawai, masalah lain pula yang timbul. Apabila mereka mendaftar sebanyak 10 tan hasilnya. Pegawai terbabit bukan main susah untuk mempercayainya dan meminta untuk dikurangkan. Petani tersebut terpaksa akur. Kalau tidak mereka tak akan dapat apa-apa.

Inilah masalah yang dihadapi oleh petani. Bukan kita nak kata kerajaan tak perihatin terhadap masalah petani, kerajaan memang perihatin tapi kerajaan mesti memantau dan mengkaji cara pemberian subsidi tersebut supaya ia berjalan seperti yang dirancang.

05 September 2008

Apakah Hubungan Antara Kaum di Negara Ini Semakin Gawat?

Salam semua,

Apabila tajuk di atas ditanya kepada semua, pasti mereka akan menjawab ya. Memang keadaan ini diakui sendiri oleh Prof Khoo Kay Kim, seorang profesor Cina yang begitu prihatin tentang hubungan bangsa di negara kita. Saya menghormati Prof. Khoo kerana beliau seorang yang tidak hipokrit dalam memberi kenyataan walaupun ia amat berat diterima oleh kepimpinan negara. Mungkin atas kesedaran inilah juga, kerajaan ingin mewujudkan sekolah wawasan yang bertujuan merapatkan kembali hubungan antara kaum di negara kita yang tercinta ini.

Teruk sangatkah hubungan antara kaum di negara kita ini? Prof. Khoo menyatakan bahawa zaman beliau belajar dahulu, pelajar Melayu dan bukan Melayu tidak kisah jika diletakkan dengan pasangan yang berbeza bangsa dalam satu bilik. Beliau sendiri tinggal dengan seorang yang berbangsa Melayu dalam satu bilik. Tak pernah ada masalah. Tapi sekarang kepimpinan Universiti mahu mengasingkan penempatan antara kaum. Alasannya jika ditempatkan dalam satu bilik yang sama akan timbul masalah jika pelajar tersebut mahu melakukan upacara keagamaan. Bolehkah diterima alasan itu?

Saya bernasib baik kerana dilahirkan di negeri yang pada sesetengah pihak menganggap negeri yang mundur, negeri yang miskin, negeri yang kotor dan sebagainya iaitu negeri Kelantan. Tetapi mungkin tak ramai yang tahu bahawa negeri Kelantan adalah sebuah negeri yang unik. Unik dari segi nilai-nilai ketimuran yang masih segar, unik kerana masih mengekalkan nilai-nilai tradisi yang membentuk budaya bangsa dan unik dari segi hubungan antara kaum yang begitu erat sekali.

Mana ada negeri dimana masyarakat Cina bertutur dalam bahasa Melayu di rumahnya, mana ada negeri, masyarakat Cina menggunakan nama panggilan Melayu, mana ada negeri dimana hubungan antara Melayu dan Cina berkawan macam adik beradik, macam sedara mara. Jawabnya hanya di Kelantan. Kelantanlah satu-satunya negeri yang ada ciri-ciri di atas. Di Kelantan kalau nama Cinanya Ah San, orang Melayu memanggilnya dengan nama Hasan, kalau nama Cina Eh lee, orang Melayu akan memanggilnya dengan nama Ali. Hanya orang-orang Cina dari negeri Kelantan sahaja yang mejoritinya masih fasih berbahasa Melayu. Cina di Kelantan tak pernah lupa menghulurkan kuih bulan, buah limau mandrin, kuih bakul kepada kawan Melayu(walaupun jauh jaraknya) atau jiran Melayu mereka. Dan orang Melayu pula tak pernah tak ingat untuk menghulurkan ketupat tiga bucu, tapai dan nasi impit kepada jiran Cinanya atau kawan Cina mereka walaupun pada jarak yang jauh.

Paling saya tak boleh lupa ialah pada musim menuai, ramailah kawan-kawan Cina ayah datang ke rumah untuk mandapatkan beras baru. Orang Cina kata beras yang dihasilkan daripada padi yang baru dituai sangat sedap dimakan dan harum baunya. Sebab itu mereka tak akan lepaskan peluang itu setiap kali musim menuai.

Dan yang paling menyentuh hati saya ialah hutang ayah dengan seorang tauke ayam(Cina) sebanyak RM5000 sampai hari ini belum berbayar. Hutang tersebut disebabkan ayah ada buat projek pelihara ayam, ayah mengambil anak ayam di kedainya sebanyak 5000 ekor dengan harga RM5000(masa tu). Sekarang mungkin lebih. Tapi malang tak siapa yang tahu. Anak-anak ayam tersebut mati kerana penyakit. Bila ayah nak bayar hutang secara ansur-ansur, tauke Cina tu cakap,
"tak payah bayarlah, aku tahu mu tak dok pitih".
Terkedu hati saya apabila ayah menceritakan kisah itu kepada kami adik-beradik. Mengapa hubungan antara kaum di Kelantan begitu rapat sekali. Mengapa keadaan yang sama tak berlaku di negeri-negeri yang lain? Aadakah ini disebabkan oleh faktor kemajuan, bertambah majunya sesebuah negeri maka semakin longgarlah hubungan antara kaum?

Kalau semua kaum di Malaysia mempunyai hubungan seperti di Kelantan, alangkah baiknya, alangkah bertuahnya, alangkah amannya negara.

04 September 2008

Antara Khairy, Mukhris dan Adnan...

Salam kepada semua pembaca,






Membaca surat khabar Utusan Malaysia hari ini, saya tertarik dengan artikel mengenai Adnan Yaakob yang mempertimbangkan hasratnya untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda. Tertarik bukan kerana saya menyokong Adnan, tertarik kerana sekurang-kurangnya ada orang lain yang sanggup berhadapan dengan Khairy dan Mukhris. Bukan saya benci dan tak suka pada Mukhris dan Khairy tapi masanya tak berapa sesuai pada pandangan saya.

Antara Khairy, Mukhris dan Adnan, sudah tentu saya memilih Adnan. Kenapa? Khairy seorang bijak tapi saya bimbang masyarakat akan memandang serong kepada beliau selaku menantu PM. Mukhris seorang yang lantang tapi kelantangannya dikatakan datang dari bapanya Tun. Oleh itu, untuk mengelakkan daripada sesuatu yan tak diingini, lebih baik kita pilih yang tidak ada apa-apa kaitan dengan PM dan bekas PM.

Mungkin pandangan saya silap pada sesetengah orang. Namun itu adalah lumrah, setiap orang ada pandangan dan pilihannya sendiri. Saya akan tetap dengan pandangan saya, Khairy masih muda. Masa untuk Khairy naik masih panjang. Kalau kita betul-betul berkualiti, disayangi rakyat, kitak tak perlu takut. Masanya akan tiba nanti. Kelantangan Mukhris dalam membuat kritikan terbuka terhadap kerajaan membuatkan ramai yang berpandangan bahawa Mukhris telah menongkah arus. Bukan tak boleh kritik, bukan tak boleh menegur tapi ada caranya. Ikutlah cara yang betul. Jangan suka mengambil kesempatan ketika keadaan terdesak.

Jadilah pemimpin yang berjiwa rakyat. Tak ada rakyat, tak akan ada pemimpin.

Krisis Keyakinan Dalam UMNO.

Salam semua,


Selepas membaca kritikan Demag Lebar Daun dalam blog saya dan pengakuan Khairy Jamaludin(KJ) dalam agendadaily, saya merasakan kebenaran(apa yang dikatakan oleh Demamg Lebar Daun dan KJ) ini sudah meresapi ke seluruh jiwa rakyat jelata. Rakyat sekarang mengalami krisis keyakinan sama ada dalam kepimpinan pemuda mahu pun kepimpinan tertinggi parti.

Saya tak nak sentuh soal kepimpinan tertinggi parti, sebab saya merasakan kepimpinan tertinggi telah melakukan apa yang sewajarnya dilakukan. Sama ada ia diterima oleh rakyat atau tidak, terserahlah kepada rakyat semua. Pemikiran rakyat sekarang susah dibaca.

Cuma apa yang saya nak katakan di sini ialah adakah kepimpinan parti di peringkat bawahan telah melakukan yang sewajarnya untuk menarik semula keyakinan rakyat terhadap UMNO? Daripada pemerhatian saya sekarang, nampaknya pemimpin atasan sahaja yang beria-ia mahu menarik semula keyakinan rakyat terhadap UMNO, namun kepimpinan di peringkat negeri atau bawahan masih lena diulik mimpi, lena dengan kereta besar dan mewah, lena dengan beberapa orang pengawal apabila bergerak ke mana-mana. Langsung tidak ada apa-apa aktiviti bersama rakyat, langsung tak nampak muka wakil rakyat(YB).

Sempena bulan yang mulia ini, saya berseru kepada semua kepimpinan UMNO terutama di peringkat bawahan, buatlah sesuatu untuk menarik perhatian rakyat kepada anda semua. Ubatilah hati rakyat yang terluka sebelum ini. Tolonglah Pak Lah, bantulah Pak Lah dalam merealisasikan impiannya. Janganlah bebankan beliau dengan desakan dan tohmahan yang tak betul.