26 Julai 2009

NASIB MELAYU DI BUMI MELAYU

Salam,

Saya tertarik membaca rencana di Utusan hari ini yang bertajuk “NASIB MELAYU DI BUMI MELAYU”. Tertarik bukan kerana saya anti kepada kaum Cina dan India tetapi tarikan itu datang kerana rencana ini ditulis oleh seorang yang berbangsa Cina. Kalau rencana ini ditulis oleh orang Melayu, mungkin kita merasakan tulisan ini merupakan satu manipulasi untuk kepentingan bangsanya sendiri. Anehnya rencana ini ditulis oleh orang Cina yang cuba menyelami nasib bangsa Melayu di bumi Melayu.

Kesian kepada bangsa Melayu, bangsanya sendiri takut untuk meluahkan bagaimana terhimpitnya, bagaimana tertekannya, bagaimana tidak terbelanya nasib bangsa Melayu sehinggakan ada orang lain daripada bangsa lain yang sanggup dan berani meluahkan nasib bangsa Melayu kini.

Saya bukannya anti kepada bangsa lain. Kawan-kawan saya boleh dikatakan ramai dari kalangan Cina. Saya juga tinggal, bekerja dan bercampur gaul dengan bangsa Cina hampir 10 tahun. Saya dapat merasakan kenikmatan hubungan yang erat antara kaum. Saya dapat merasakannya.Tetapi apakah dengan hubungan yang erat ini, nasib bangsa Melayu di bumi Melayu akan terbela sebagaimana terbelanya nasib bangsa-bangsa lain yang tinggal di bumi yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu. Dalam hal ini saya sependapat dengan penulis rencana “NASIB MELAYU DI BUMI MELAYU”.

Dalam rencananya, beliau menekankan terhadap pembelaan yang keterlaluan daripada bangsa Cina apabila berlaku kematian atau apa sahaja jenayah di kalangan bangsa mereka. Mereka(MCA,DAP,GERAKAN) dengan senang sahaja menuduh pihak kerajaan yang salah dan harus bertanggungjawab, walaupun kes itu masih lagi dalam siasatan. Mereka seolah-olah bertindak seperti Tuhan. Sebagai contoh, apa yang berlaku ke atas Teoh Beng Hock.

Selain itu, beliau juga menyelar tindakan Ketua Wanita MCA mengeluarkan kenyataan lebih ekstrem mendesak Menteri Dalam Negeri supaya meletakkan anak yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock sebagai status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah. Sedangkan kita semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak luar nikah (anak tidak sah taraf). Jika ditakdirkan Gautama Buddha (juga Konfusius dan Lao Tzu) masih hidup, sudah tentu tindakan Ketua Wanita MCA ini akan dicela kerana ajaran Buddha (juga agama lain, terutama agama Islam) mengharamkan sama sekali perbuatan berkesedudukan (zina) tanpa nikah, apatah lagi sehingga melahirkan anak luar nikah.

Kes-kes lain yang dipaparkan oleh penulis rencana ini ialah peristiwa tahanan Cina yang dobogelkan dalam lokap pada November 2005. Belum lagi keputusan siasatan diumumkan, Menteri Dalam Negeri telah pergi ke China untuk memberikan penjelasan tentang peristiwa itu hasil desakan daripada MCA, DAP dan GERAKAN. Tetapi setelah selesai siasatan dan mendapati tahanan yang dobogelkan itu ialah berbangsa Melayu, maka kes itu pun senyap begitu sahaja.

Banyak kes-kes yang melibatkan orang Melayu tetapi kes-kes itu senyap begitu sahaja, contoh pembunuhan gadis model Mustakizah Jaafar pada 14 November 1998. Dan kes-kes yang melibatkan rumah ibadat juga ada disebutkan dalam rencana ini. Apabila sebuah kuil atau tokong dirobohkan, heboh satu Malaysia dicanangkan tetapi apabila ada masjid yang dirobohkan untuk tujuan pembangunan, tidak ada pun suara-suara keadilan ini berkumandang.

Apakah yang akan terjadi kepada bangsa Melayu di Bumi Melayu suatu hari nanti kalau beginilah keadaannya. Sama-samalah kita nantikan.

Rencana ini boleh dibaca di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam,

Sy dah baca artikel tuh di Utusan, memang menarik...