03 Julai 2009

Sambungan 1 Malaysia: Antara Realiti Dan Fantasi

Salam,

Semasa mengajar di Brunei 13 tahun lepas, saya agak terkejut kerana cikgu yang mengajar subjek jawi di sekolah tersebut adalah berbangsa Cina iaitu Mr Lam. Beliau berasal dari Ipoh Perak. Selepas pencen mengajar di Malaysia, beliau berhijrah ke Brunei untuk mengajar secara kontrak. Saya sempat berbual dan bertanya bagaimana beliau pandai menulis dan membaca jawi. Katanya, dahulu semua pelajar belajar subjek yang sama, apa yang dipelajari oleh orang Melayu, itulah juga yang dipelajari oleh bangsa Cina. Sebab itu dulu orang Cina ke, orang Melayu, India ke, kita sama-sama satu sekolah.Ramai orang Melayu dan India yang pandai berbahasa Mandarin, jelasnya.

Memang saya mengakui kebenaran kata-kata Mr Lam itu, sebab arwah tok saudara saya yang tinggal di Kuala Berang, Terengganu juga pandai berbahasa Mandarin. Mungkin ini boleh dikatakan 1 Malaysia seperti yang dimahukan oleh PM kita sekarang ni.

Hubungan akrab antara kaum di Malaysia juga amat berbeza kalau nak dibandingkan antara dulu dan sekarang. Dulu hubungan antara kaum lebih akrab. Orang Cina dan Melayu boleh tinggal dalam satu kampung, makan sama-sama, main sama-sama bahkan belajar pun sama-sama. Namun sekarang keadaannya cukup berbeza, berbeza sekali.Amat susah kita nak melihat budak-budak Cina dan Melayu main sama-sama, belajar sama-sama, makan sama-sama.

Siapakah yang harus disalahkan dalam hal ini? Saya bukan nak salahkan orang lain dalam hal ini. Sebagai orang Melayu yang beragama Islam, kita seharusnya mencerminkan siapa diri kita sebenarnya. Tanpa kita sedari mungkin hubungan yang tak akrab antara kaum ni berpunca daripada kita sendiri, bangsa Melayu. Terlampau fanatik dengan Islam yang tak betul menyebabkan kita mengelak darpda berkawan dengan orang Cina ataupun India. Apabila berkunjung ke rumah mereka, kita tidak minum atau makan hidangan yang disediakan dengan alasan haram. Sedangkan Islam tidak begitu. Keadaan ini sudah tentu menyinggung perasaan bangsa lain.

Sekarang, kalau betul kita nak menjadikan 1 Malaysia sebagai realiti, maka kita kena baiki kelemahan diri kita dahulu. Selepas tu barulah kita boleh mencari kelemahan orang lain pula. Semoga 1 Malaysia akan menjadi satu realiti.

Tiada ulasan: