09 Julai 2009

Bahasa Melayu Oh Bahasa Melayu

Salam,

Sebelum ni aku pernah menulis tentang kepentingan bahasa Inggeris. Aku menyokong penuh langkah kerajaan menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar matematik dan sains bahkan lebih daripada itu aku mengharapkan daripada kerajaan iaitu dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Sebab aku tak mahu akan lahir ramai lagi graduan Melayu seperti aku. Lulusan U, tapi tak tahu berbahasa Inggeris.

Namun selepas kerajaan mengumumkan bahawa matematik dan sains akan diajar dalam bahasa Melayu semula, aku teramat sedih, marah dan benci kepada kerajaan. Aku sangat kecewa dengan tindakan kerajaan mungkin sama kecewanya dengan Tun Mahathir. Namun siapalah aku untuk mempertikaikan keputusan kerajaan.Dalam hal ni aku sependapat dengan Tun Mahathir walaupun sebelum ni aku sangat berbulu dengan Tun Mahathir kerana campur tangannya dalam politik UMNO.

Pada aku alasan kerajaan menolak penggunaan bahasa Inggeris kerana merosotnya keputusan peperiksaan mata pelajaran tersebut tak boleh diterima akal. Memanglah pada mulanya akan merosot tapi lama-kelamaan masalah ni akan selesai. Alasan kedua kerajaan adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu. Ini satu lagi alasan yang meloyakan tekak aku.

Kalau betul nak memartabatkan bahasa Melayu, bukan begini caranya. Cara yang betul untuk memartabatkan bahasa Melayu ialah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang wajib digunapakai di semua sektor. Ini tidak, kata nak memartabatkan bahasa Melayu tapi bercakap di pejabat menggunakan bahasa Inggeris,mesyuarat dalam bahasa Inggeris, temuduga dalam bahasa Inggeris, urusan jual beli rumah dalam bahasa Inggeris, bicara di mahkamah menggunakan bahasa Inggeris semuanya bahasa Inggeris tapi bab mengajar di sekolah, bahasa Melayu pulak yang digunakan.

Kalau betul kita nak memartabatkan penggunaan bahasa Melayu kenapa pula di sekolah jenis kebangsaan, mata pelajaran matematik dan sains diajar menggunakan bahasa Ibunda masing-masing. Kalau betul niat kerajaan itu ikhlas, maka disekolah-sekolah jenis kebangsaan pun mesti menggunakan bahasa Melayu dalam pengajaran matematik dan sains.

Aku teramat sedih, benci dan marah dengan keputusan kerajaan kali ini lalah kerana aku tahu, ini satu keputusan yang hipokrit dari pihak tertentu. Mereka beralasan bahawa bahasa Melayu sangat penting, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi, bahasa Melayu adalah segala-galanya. Tetapi orang yang membuat keputusan ini berbahasa Inggeris di rumah mereka, anak-anak mereka dihantar belajar ke luar negeri yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Maka pulanglah anak-anak mereka ini suatu hari nanti ke negara Malaysia dengan bangganya kerana fasih berbahasa Inggeris. Merekalah yang akan mengisi kekosongan pekerjaan di pelbagai sektor. Graduan tempatan yang terdiri daripada anak petani, anak peneroka, anak nelayan terlopong tak dapat kerja.

Kepada pejuang bahasa, berbanggalah kalian kerana kalian telah berjaya memundurkan lagi anak bangsa kalian. Berjuanglah, teruskanlah berjuang untuk memartabatkan bahasa Melayu bukan untuk kepentingan negara tapi untuk kepentingan kalian. Tahniah atas kejayaan ini.

Namun sedikit daripada kekecewaan aku berjaya juga diubati kerana kerajaan telah berjanji akan melipatgandakan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah. Aku harap dengan cara ini, anak-anak nelayan, petani dan peneroka dikampung-kampung akan mendapat manfaatnya.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

BODOHLAH KAU NI...TAK BANGGA PADA BAHASA SENDIRI!

tok janggut berkata...

Biar aku bodoh tak mengapa, asalkan anak cucu aku tak akan diperbodohkan lagi.

Tanpa Nama berkata...

bercakap mengunakan otak lain kali awak bukan sahaja graduan u yang tak pandai berbahasa inggeris tapi juga fail dalam sejarah negara sendiri... belajar la pasal sejarah baru boleh nak komen

tok janggut berkata...

Untuk pengetahuan tanpa nama, saya ialah graduan UKM dalam bidang sejarah. Boleh dikatakan semua kertas sejarah saya dapat A. Dan saya rasa saya lebih bijak daripada awak pasal sejarah.

Selamat berpuasa.

Tanpa Nama berkata...

Tok,
Saya sokong benar pendapat tok tentang perkara ini. Saya mula bersekolah di sekolah rendah melayu. Kemudian berjaya ke sekolah berasrama penuh yg menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Kami dberi satu tahun " remove class", tahun intesif pengajaran bahasa inggeris di dalam semua mata pelajaran waktu itu kecuali Bahasa Melayu dan Agama Islam.
Hasil dari sistem ini kami semua memahami inggeris dgn baik walau pun tak berapa nak pandai bercakap. Tapi ramai gak yang fasih bercakap dalam bahasa inggeris.
Tahun berikutnya diteruskan sistem ini hinggalah ke tingkatan 6. Saya rasa , masa tu tak de siapa pun komplen. Tidak sama sekali kami yg yang berkenaan nie..
Ini baru je 2 mata pelajaran, dah macam2 hal, kan Tok ?
Leceh betul laa...
Pelajar Cina dan India terus maju di dalam bahasa ibundanya dan bahasa inggeris. Kita ni sat kedepan sat kebelakang.. susah tul....
ish ishh..geramnyerrrrr..
Kemudian ke RMC/MTD.. hmm di sini semua kena bertutur dalam bahasa Inggeris hari hari 24 jam.
Jadi tak hairanlah produk dari sini terus fasih dalam lingua franca ini dan memanfaatkanya di dalam kehidupan masing2.