Salam,
Negara kita Malaysia memang terkenal dengan keamanan, keharmonian dan kerukunan yang dinikmati oleh masyarakat berbilang kaum atau dengan perkataan lain masyarakat majmuk. Banyak negara luar mengagumi dan menjadikan negara kita sebagai model atau contoh bagaimana sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dapat hidup aman damai. Mungkin ada benarnya dan mungkin ada salahnya. Benar mungkin kerana tidak berlaku rusuhan, peperangan dan saling membunuh antara kaum kecuali 13 Mei. Salah mungkin kerana dalam setiap sanubari rakyat masih terselit perasaan benci, marah, cemburu, iri hati, tak puas hati dan sebagainya antara satu sama lain. Keadaan ini memang tidak dinafikan.
Buktinya, apabila bekas PM Tun Mahathir mencadangkan supaya ditubuhkan sekolah wawasan, kaum Cina dan India banyak yang membantah kerana akan bimbang penggunaan bahasa Ibunda mereka akan terhakis. Di sini nampak bahawa semangat perkauman masih menebal di negara kita. Keadaan menjadi gempar sekali lagi apabila anak bekas PM, Datuk Mukhris Mahathir sekali lagi mencadangkan agar sekolah satu aliran dilaksanakan bagi menyatupadukan masyarakat yang berbilang kaum. Saranan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati terutamanya di kalangan orang Cina dan India dan meminta Datuk Mukhris menarik balik kenyataan tersebut. Sebahagian daripada orang Melayu juga tidak berapa setuju dan menganggap idea Datuk Mukhris tersebut sebagai satu umpan untuk menarik sokongan terhadap beliau dalam pemilihan ketua pemuda UMNO nanti.
Sebagai seorang bekas guru(bersara awal), saya merasakan sekolah satu aliran memang ada kebaikan dan merupakan satu cara yang terbaik untuk merapatkan hubungan antara kaum. Keadaan terbukti apabila kita melihat orang Cina dan India yang lahir dari sekolah jenis kebangsaan dan sekolah kebangsaan. Memang ketara perwatakan, cara hidup, pergaulan dan sebagainya. Orang Cina dan India yang belajar di sekolah kebangsaan tidak kekok untuk bergaul dengan orang Melayu, makan bersama, main bersama, belajar bersama dan sebagainya. Tapi bagi mereka yang belajar di sekolah jenis kebangsaan, kelihatan agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat lain. Keadaan ini memang ketara terutama ketika belajar di universiti. Ini pengalaman yang saya lalui sendiri.
Oleh itu, ketiga-tiga masyarakat utama negara ini iaitu Melayu, Cina dan India harus memandang serius perkara ini. Terus-terang saya rasakan sekolah jenis kebangsaan patut dihapuskan. Mana ada sekolah jenis kebangsaan di Singapura, Indonesia dan Thailand. Bahasa ibunda boleh diajar di sekolah kebangsaan. Kawan Cina saya ada yang menjadi pensyarah bahasa Cina tapi mereka tak belajar di sekolah jenis kebangsaan.
Jadi kalau ada yang mengatakan bahawa bahasa ibunda mereka akan terhakis dengan terhapusnya sekolah jenis kebangsaan, saya rasa pendapat itu tidak tepat. Sama-samalah kita fikirkan demi kebaikan anak cucu kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan