20 Disember 2008

Jeram Pasu

Salam,

Boleh dikatakan setiap kali balik ke Kelantan, aku tidak lepaskan peluang membawa anak-anak mandi di Jeram Pasu. Kedudukannya tak berapa jauh daripada rumah orang tuaku iaitu lebih kurang 7 kilometer sahaja. Jeram ni boleh dikatakan antara jeram yang tercantik di negeri Kelantan. Kedudukannya yang dekat dengan bandar Pasir Puteh (3 kilometer), jalannya yang cantik, airnya yang jernih dan dalam, kawasanya yang luas telah berjaya menarik minat ramai pengunjung untuk datang ke sini.

Sekali fikir baik juga negeri Kelantan diperintah oleh parti pembangkang. Tak banyak pembangunan material dilakukan. Masih kekal dengan alam semulajadi yang cantik, bersih dan menyegarkan. Kalau jeram ni terletak di Selangor atau pun Kuala Lumpur, aku rasa airnya dah pasti tak seperti dalam gambar ni lagi.


Walaupun dikuasai pembangkang, nampaknya kawasan ini masih terjaga dengan baik. Tandas untuk kemudahan awam, tempat menukar pakaian, tempat mandi terjaga dengan baik walaupun tak ada pekerja yang ditugaskan menjaga kawasan ini. Dan satu lagi yang aku respek ialah tandas awam tak ada orang jaga, tapi duit dalam tabung duit tak ada siapa yang curi. Malah tabung tersebut sentiasa terisi walaupun tiada penjaga. Kalau semua rakyat begini, alangkah bertuahnya negeri dan negara ini.

Kepada semua pembaca yang berminat untuk mandi jeram, silalah berkunjung ke negeri Cik Siti Wan Kembang ni. Banyak lagi jeram lain selain Jeram Pasu ini.

Tiada ulasan: