Salam,
Terbaca tulisan A Kadir Jasin yang bertajuk "Nostalgia Bulan Puasa Di Desa" telah mengingatkan aku pada masa kecil-kecil dulu. Walaupun antara aku dan A Kadir Jasin berlainan negeri, namun cerita beliau memang dialami oleh aku di Kelantan.
Cerita tentang menuai padi pada waktu malam pada musim puasa, beli air batu ketul adalah lumrah masa aku kecil-kecil dulu. 2-3 jam sebelum berbuka aku dan kawan-kawan dah pergi ke bandar Pasir Puteh untuk membeli air batu ketul. Memang kena pergi awal, kalau tak, kehabisan. Air batu tersebut dipotong menggunakan gergaji yang digunakan untuk menebang pokok yang besar pada masa dulu. Supaya lambat cair, air batu tersebut mesti dibaluti dengan habuk kayu dan dibalut dengan kertas surat khabar Cina. Memang tahan lama.
Di bandar Pasir Puteh pada masa tu hanya ada satu kedai sahaja yang menjual air batu ketul iaitu kedai ISA. Pukul 4 petang kedai ISA telah dikerumuni oleh manusia yang hendak membeli air batu. Ada juga yang datang beli dengan banyak untuk dijual di kampung.
Apabila bulan puasa jatuh pada musim menuai, boleh dikatakan orang kampung akan menuai padi pada waktu malam. Selalunya lampu "goslin" akan digunakan untuk mencerahkan kawasan. Biasanya orang yang berada sahaja yang ada lampu goslin. Bagi mereka yang tak mampu, mereka hanya datang pada bulan cerah sahaja. Sungguh meriah. Biasanya orang kampung akan bawa makanan sebagai bekal. Bekal paling aku suka ialah "timun Cina" atau tembikai. Kadang-kadang kemeriahan menuai pada waktu malam ni sehingga membawa kepada jinjang pelamin pun ada. Memang seronok.
Di kampung dulu jarang berbuka di rumah sebabnya ialah boleh dikatakan setiap hari ada saja orang ajak berbuka. Orang kampung ni seolah-olah sudah berpakat hari ni buka puasa rumah si A, esoknya pula rumah si B, lusa rumah si C dan pada hari terakhir biasanya acara berbuka puasa diadakan di masjid. Tok Imam akan memberitahu orang kampung supaya membawa sedulang makanan bagi setiap keluarga. Beginilah keadaan puasa pada zaman dulu di kampung.
Pada waktu malamnya pula sungguh meriah di masjid. Orang kampung akan berkumpul untuk bersolat terawih. Riuh rendah bunyi suara kanak-kanak macam aku. Bukannya nak solat sangat tapi nak makan kuih yang dibawa. Kadang-kadang tu, solat belum siap lagi, kita orang dah curi-curi makan kuih.
Sekarang ni, semua itu dah tak ada lagi. Sungguh seronok mengenangkan kisah silam yang sudah tentu tak akan berulang lagi.
1 ulasan:
slam.sya sedang menjejaki keluarga atau cucu cicit tok janggut.blh x bg no tel sape2 yang blh saya hubungi u berhubung dgn waris tok janngut?kami dr universiti malaya nak buat ceramah kemerdekaan ttg tok janggut n kami nak jemput cucu cicit tok janggut u dtg ke pgram tersebut.blh email pd saya di mukhlisah_05@yahoo.com.trima kasih..harap respon sgera.tq
Catat Ulasan