12 November 2009

Bertindak Adillah Wahai FAM

Salam,

Pasukan Bola Sepak Kelantan(KAFA) telah pun dikenakan hukuman sebanyak rm50,000 atas apa yang dilakukan oleh penyokong fanatiknya.Saya tidak mempertikaikan hukuman yang dikenakan ke atas KAFA atas tingkah laku penyokongnya yang keterlaluan tetapi saya agak terkilan sebab tindakan yang sama tidak dikenakan ke atas negeri-negeri lain ketika mereka juga melakukan kesalahan yang sama seperti membaling mercun, memecahkan cermin kenderaan penyokong lawan dan sebagainya.

Kalau dikatakan penyokong Kelantan tidak dapat menerima kekalahan, bagaimana pula dengan penyokong Perlis ketika kalah kepada Kelantan dalam perlawanan separuh akhir kedua. Penyokong Perlis telah membaling mercun ke dalam padang dan hampir mencederakan salah seorang pemain Kelantan. Di luar stadium pula, banyak cermin kenderaan penyokong Kelantan yang pecah akibat tindakan liar penyokong Perlis. Bas-bas telah dicalarkan, cermin dipecahkan dan kami penyokong-penyokong Kelantan telah diejek dengan mengeluarkan kata-kata yang tak sepatutnya keluar dari mulut mereka yang mengakui boleh menerima kekalahan tersebut. Betulkah mereka boleh menerima kekalahan tersebut? Kalau betul, mereka tak akan melakukan perkara-perkara "terkutuk" tersebut. Ini bermakna mereka iaitu penyokong perlis juga tidak dapat menerima kekalahan tersebut. APA TINDAKAN FAM KE ATAS MEREKA.

Saya diberitahu di Terengganu juga berlaku kes yang sama ketika menentang Negeri Sembilan pada perlawanan separuh akhir. TETAPI APA TINDAKAN FAM KE ATAS MEREKA.

Bertindak adillah wahai FAM. Sebagai penyokong Kelantan, saya merayu agar FAM juga akan mengenakan hukuman kepada negeri-negeri lain yang melakukan kesalahan yang sama.

Buat pengetahuan FAM, salah satu sebab kenapa para penyokong Kelantan bertindak liar adalah juga disebabkan oleh tindak tanduk FAM yang bertindak "bias" dalam mengenakan hukuman terhadap negeri-negeri yang terlibat.

Ingatlah juga wahai FAM... Kelantan telah banyak menyerikan industri bola sepak negara. Pasukan Kelantan telah menjadikan bola sepak negara kembali ke landasan asal dimana stadium telah dipenuhi penonton, bola sepak negara telah menjadi buah mulut semua rakyat tak kira negeri mana sekalipun. Di kedai-kedai kopi, di mana-mana tempat sahaja orang bercakap pasal bola sepak negara. Tidakkah ini menjadi kebanggaan kepada FAM.

Kalau tak nak buka luas-luas, bukalah sempit-sempit mata kalian. Lihatlah dalam semua aspek. Bertindaklah dengan adil tanpa mengira negeri.

Kepada penyokong Kelantan, semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh kalian amat disanjung tinggi, rela berkorban apa sahaja demi sebuah perlawanan akhir. Penuh stadium dek penyokong merah "Red Warriors". Namun disebalik sanjungan itu sedikit pengertian dari kalian amat-amat dituntut, belajarlah jadi orang yang baik walau dalam keadaan apa sekalipun.

Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan: