30 November 2009

'Doa' Nik Aziz dikecam

Salam,

Membaca surat khabar Berita Harian hari ini yang bertajuk "Doa Nik Aziz dikecam" membuatkan aku tersenyum kambing sendirian. Kelakar pun ada malu pun ada. Kelakar sebabnya ialah kerana kenyataannya macam budak-budak yang baru belajar dan malu pula kerana ia keluar dari mulut seorang yang telah dianggap ulama oleh ramai orang tetapi tidak termasuk aku.

Aku kesian pada Nik Aziz kerana beliau telah dipergunakan oleh banyak pihak demi kepentingan politik. Sayang sekali, orang sebaik dan sebijak beliau telah dieksploitasi oleh mereka yang berkepentingan sehinggakan kredibiliti beliau sebagai TOK GURU telah hilang serinya. Aku sedih dengan politik kita sekarang dan aku lagi sedih dengan mereka yang memperalatkan agama demi survival politik mereka.

Semoga Allah membuka pintu hati mereka semua. Doa Nik Aziz Dikecam boleh dibaca di
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/BeritaUtama/20091128230204/Article/index_html

24 November 2009

Banjir Datang Lagi

Salam,

Setiap kali tibanya bulan November dan Disember, penduduk di Pantai Timur berada dalam keadaan berjaga-jaga dan ketakutan. Apa tidaknya, setiap kali tiba saja musim cuti sekolah, banjir akan melanda. Walaupun setiap kali banjir melanda dan ada nyawa yang terkorban, namun masih ada yang bergembira dengan kehadiran banjir tersebut.

Pihak-pihak tertentu selalu menyalahkan sistem perparitan yang tak teratur dan pembangunan yang tak bersistemetik adalah punca berlakunya banjir. Kemungkinan ada benarnya, sebab ada kawasan yang tak pernah dilanda banjir sebelum ini telah dinaiki air akhir-akhir ini.

Pihak Kerajaan(ADUN) dan pihak lain yang terbabit dalam hal ini selalu memberikan alasan sistem perparitan yang tak betul adalah punca berlakunya banjir apabila disoal oleh para wartawan. Namun mereka ni sebenarnya tidak sedar bahawa jawapan itu sebenarnya telah membongkar kelemahan mereka dalam menjaga dan mentadbir kawasan tersebut. Mana perginya slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Banjir sentiasa berlaku malahan bertambah teruk dari setahun ke setahun, sistem perparitan begitu juga, tak ada pun perubahan. Tapi yang hairannya banjir ni selalunya berlaku di kawasan yang mejoriti penduduknya miskin. Di kawasan orang-orang kaya atau berada, tak pula dilanda banjir.

Inilah nasib rakyat yang miskin, sentiasa tak terbela sampai bebila pun.

21 November 2009

Undang-Undang Primitif Di Malaysia

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mahukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan pada waktu pejabat dari jam 8.30 pagi sehingga 5.00 petang. Idea berkenaan bagus untuk dilaksanakan namun tidak relavan kerana beberapa faktor. Kita tidak boleh salahkan hakim dalam hal ini kerana keputusan mahkamah dalam sesuatu kes bergantung kepada kehebatan peguam masing-masing.

Bacaan lanjut di sini
http://pkrpasdap.blogspot.com/2009/11/undang-undang-primitif-di-malaysia.html

14 November 2009

Antara Lupa Atau Pura-Pura Lupa Dan Tak Ingat atau Pura-Pura Tak Ingat

Salam,

Dalam jangka masa 15 atau 16 tahun tak berjumpa, adakah kita boleh melupai orang yang begitu rapat dengan kita suatu waktu dahulu seperti guru-guru yang mengajar kita, murid-murid yang kita sayangi(kalau kita seorang guru), atau kawan-kawan seperjuangan(satu sekolah, satu Kolej ataupun satu universiti)? Mungkin ada antara kita yang terlupa dan mungkin juga ada yang tidak.

Pada aku, alhamdulillah, setakat ini aku tak pernah lupa atau pun tak ingat akan orang-orang yang begitu rapat dengan aku suatu waktu dahulu. Tapi apa yang aku sedih ialah ada antara mereka yang sudah tidak mengenali aku. Mereka sudah tidak mengenali atau mengingati kawan mereka yang bernama ......

Aku cuba berfikir, merenung, menganalisis untuk mencari jawapan disebalik tragedi ini. Kenapa ada antara mereka yang ingat pada kawan-kawan mereka dan ada yang tak ingat? Banyak jawapan yang aku ada. Namun tak semua jawapan yang aku ada ni boleh diterima oleh semua orang. Mungkin sebahagiannya boleh diterima dan sebahagiannya adalah imaginasi aku semata-mata. Alasan atau jawapan pertama ialah terlampau ramai sangat kawan. Semasa alam persekolahan katakan kita mempunyai 50 orang kawan, masuk alam kolej atau universiti pula kita tambah lagi 50 orang dan apabila kita masuk alam pekerjaan maka bertambah ramailah lagi kawan-kawan kita. Tambah-tambah bagi mereka yang suka bertukar kerja, lagi ramailah kawan-kawan mereka. Terlalu ramai kawan inilah puncanya yang menyebabkan kita terlupa atau tak mengingati lagi kawan satu sekolah.

Jawapan lain yang aku fikirkan ialah sikap sesetengah daripada kita yang kurang menitikberatkan soal persahabatan. Kita cuma berkawan pada masa dan waktu itu sahaja. Lepas pada waktu dan masa itu, kita sudah melupakan kawan-kawan tersebut. Ada juga antara kita yang bersikap begitu. Tapi tak ramai.

Kadang-kadang sifat ego dalam diri kita juga amat susah untuk dibuang. Apabila kita sudah berpangkat, sudah mempunyai rumah besar, kereta besar dan isteri pun besar maka mulalah kita melupai kawan-kawan atau orang-orang di bawah kita. Mungkin kita menganggap mereka itu sudah tidak setaraf dengan kita lagi. Nostalgia-nostalgia di rumah sewa, makan maggi sepinggan berkongsi, rokok sebatang juga kongsi bahkan tidur pun berkongsi katil dilupakan begitu sahaja. Sedih bukan... Tapi hakikat itulah yang terjadi.

Namun ada juga antara kita apabila berumah tangga, sudah mempunyai anak bini maka kawan-kawan mula diabaikan. Pada mereka kawan-kawan ni sudah tak penting lagi apatah lagi kawan-kawan zaman persekolahan dulu. Yang penting sekarang bagaimana nak mencari harta sebanyak mungkin untuk menjaga keharmonian keluarga iaitu anak bini.

Itu antara beberapa jawapan yang aku ada. Mungkin orang lain mempunyai jawapan yang lain pula.

Sebenarnya, mengapakah aku menulis tentang perkara ini? Sebabnya ialah selepas hampir 16 tahun terpisah dengan kawan sekolah dahulu, aku telah sedaya upaya mencari jalan untuk menghubungi mereka. Daripada beberapa orang kawan yang aku hubungi tersebut, ada antara mereka yang mengenali aku dan ada yang tak mengenali aku. Kadang-kadang sedih pun ada mendengar jawapan daripada mereka.

Kata orang tua-tua, lain hulu lain parangnya, lain dulu maka lainlah pula sekarangnya.

12 November 2009

Bertindak Adillah Wahai FAM

Salam,

Pasukan Bola Sepak Kelantan(KAFA) telah pun dikenakan hukuman sebanyak rm50,000 atas apa yang dilakukan oleh penyokong fanatiknya.Saya tidak mempertikaikan hukuman yang dikenakan ke atas KAFA atas tingkah laku penyokongnya yang keterlaluan tetapi saya agak terkilan sebab tindakan yang sama tidak dikenakan ke atas negeri-negeri lain ketika mereka juga melakukan kesalahan yang sama seperti membaling mercun, memecahkan cermin kenderaan penyokong lawan dan sebagainya.

Kalau dikatakan penyokong Kelantan tidak dapat menerima kekalahan, bagaimana pula dengan penyokong Perlis ketika kalah kepada Kelantan dalam perlawanan separuh akhir kedua. Penyokong Perlis telah membaling mercun ke dalam padang dan hampir mencederakan salah seorang pemain Kelantan. Di luar stadium pula, banyak cermin kenderaan penyokong Kelantan yang pecah akibat tindakan liar penyokong Perlis. Bas-bas telah dicalarkan, cermin dipecahkan dan kami penyokong-penyokong Kelantan telah diejek dengan mengeluarkan kata-kata yang tak sepatutnya keluar dari mulut mereka yang mengakui boleh menerima kekalahan tersebut. Betulkah mereka boleh menerima kekalahan tersebut? Kalau betul, mereka tak akan melakukan perkara-perkara "terkutuk" tersebut. Ini bermakna mereka iaitu penyokong perlis juga tidak dapat menerima kekalahan tersebut. APA TINDAKAN FAM KE ATAS MEREKA.

Saya diberitahu di Terengganu juga berlaku kes yang sama ketika menentang Negeri Sembilan pada perlawanan separuh akhir. TETAPI APA TINDAKAN FAM KE ATAS MEREKA.

Bertindak adillah wahai FAM. Sebagai penyokong Kelantan, saya merayu agar FAM juga akan mengenakan hukuman kepada negeri-negeri lain yang melakukan kesalahan yang sama.

Buat pengetahuan FAM, salah satu sebab kenapa para penyokong Kelantan bertindak liar adalah juga disebabkan oleh tindak tanduk FAM yang bertindak "bias" dalam mengenakan hukuman terhadap negeri-negeri yang terlibat.

Ingatlah juga wahai FAM... Kelantan telah banyak menyerikan industri bola sepak negara. Pasukan Kelantan telah menjadikan bola sepak negara kembali ke landasan asal dimana stadium telah dipenuhi penonton, bola sepak negara telah menjadi buah mulut semua rakyat tak kira negeri mana sekalipun. Di kedai-kedai kopi, di mana-mana tempat sahaja orang bercakap pasal bola sepak negara. Tidakkah ini menjadi kebanggaan kepada FAM.

Kalau tak nak buka luas-luas, bukalah sempit-sempit mata kalian. Lihatlah dalam semua aspek. Bertindaklah dengan adil tanpa mengira negeri.

Kepada penyokong Kelantan, semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh kalian amat disanjung tinggi, rela berkorban apa sahaja demi sebuah perlawanan akhir. Penuh stadium dek penyokong merah "Red Warriors". Namun disebalik sanjungan itu sedikit pengertian dari kalian amat-amat dituntut, belajarlah jadi orang yang baik walau dalam keadaan apa sekalipun.

Sekian, terima kasih.

10 November 2009

Final Piala Malaysia 2009:Lihat pelbagai aspek dahulu sebelum bertindak

Salam,

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm

SAYA merasakan amat perlu menyuarakan luahan ini berhubung insiden final Piala Malaysia 2009. Kita akur dengan kekalahan kerana sememangnya Negeri Sembilan bermain dengan baik.

Saya atas nama rakyat Malaysia berasal dari Kelantan, terkilan bilamana kontroversi melibatkan pasukan dan penyokong Kelantan, pihak media terus melabelkan sebagai negatif dan ganas serta dihebahkan oleh semua media yang ada, tetapi bilamana perkara positif yang wujud hanya disiarkan dalam ruangan yang kecil (berita bola luar negara lebih diberi perhatian-macam mana nak maju bola negara?).

Sepatutnya FAM khususnya perlu berterima kasih kepada Red Warriors dan penyokong kerana dalam suasana suram Liga Malaysia tercetus suasana yang meriah dengan kehadiran penyokong yang ramai dan Liga Malaysia kembali menjadi perhatian ini memberikan win win situation kepada peminat bola sepak dan semua yang terlibat khususnya.

Saya mengikuti beberapa perlawanan yang berlangsung di beberapa venue ibu kota dan Pahang, secara faktanya, kehadiran penyokong amat kecil tak sampai 10 peratus daripada jumlah penyokong bila perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu.

Apa jadi dengan nasib penyokong Kelantan di Kangar, separuh akhir kedua, penyokong kami di Pulau Pinang, penyokong kami di Shah Alam dan penyokong kami di Bukit Jalil?

Kereta penyokong Kelantan dirosakkan, bas dipecah dan penyokong Kelantan dikepung... tiada tindakan ke atas penyokong dan persatuan negeri terlibat.

Apa tindakan ke atas Terengganu di separuh akhir kedua? Apa yang FAM buat? Tetapi sedikit sahaja salah laku yang dilakukan oleh segelintir mungkin 3-4 orang atau bilangan yang kecil di kalangan 80,000 penyokong terus diberi perhatian yang meluas.

Di mana profesionalisme FAM dan media?

Mana mungkin kita melihat di negeri mana bila adanya perlawanan walaupun perlawanan liga, stadium penuh dan padat dan sokongan padu diberikan?

Bayangkan di final Piala Malaysia 2009 tempat duduk yang dikhususkan untuk Negeri Sembilan masih kosong walaupun difahamkan terdapat tiket diberi secara percuma dan jarak dari negeri tersebut ke Bukit Jalil hanya kurang tiga jam.

Walaupun jarak ke Bukit Jalil memakan masa kurang lapan jam, tapi penyokong Kelantan tetap bersemangat memenuhi stadium, keluarga ditinggalkan, kerja ditinggalkan, bencana banjir dilupakan seketika, semata-mata memberi sokongan kepada pasukan kesayangan.

Jangan kerana nila setitik, susu sebelanga dibuang.

Tahniah buat FAM atas tindakan segera yang di ambil ke atas Kelantan sebaik sahaja sesuatu insiden berlaku. Tindakan yang pantas dan cekap namun mohon lebih adil dan saksama.

Semasa memasuki stadium pukul 6 petang, sungguh mendukacitakan, mana pasukan keselamatan yang menjaga ketenteraman?

Peminat dilihat memanjat pagar tanpa seliaan pasukan keselamatan, mana peranan mereka atau hanya berperanan bila perlawanan bermula.

Inilah kelemahan kita, menyalahkan orang lain tapi tidak diri sendiri. Kononnya 1st class facility tetapi kenapa tidak mengguna pakai standard keselamatan di stadium seperti di Jerman. Penyokong diperiksa semasa memasuki stadium dan dirakam wajah, dicop tangan dan seterusnya kamera litar tertutup memainkan peranan dan jika wujud sebarang perbuatan negatif terus diambil tindakan oleh pasukan keselamatan yang telah memantau CCTV tersebut.

Jangan benarkan sebarang bentuk jualan makanan atau minuman jika dikhuatiri akan digunakan sebagai objek untuk dibaling.

Kadang-kadang kita melihat keuntungan lebih dari aspek keselamatan. Saya yakin pasukan keselamatan kita memiliki peralatan canggih dalam mengesan sebarang objek berbahaya untuk digunakan pada masa yang akan datang bagi memastikan lebih selamat keadaan perlawanan.

Ambil langkah pencegahan bukannya 99 peratus penyokong yang tak bersalah teraniaya.

FAM khasnya dan peminat bolasepak Malaysia khususnya perlu lebih mantap dalam membuat penilaian bukan hanya melihat dari satu sudut, kenal pasti kelemahan.

Kita sememangnya perlukan sokongan padu penyokong agar bola sepak Malaysia terus gemilang, cemerlang dan terbilang.

Terima kasih.

DACASCOS @ KADIRPOKYA

Penyokong Red Warrior

dan Liga Malaysia

Anti Mercun dan Anti Keganasan

09 November 2009

Final Piala Malaysia 2009


Salam,

Walaupun aku dari Kelantan, tapi aku menulis di pihak yang bebas. Memang tepat seperti yang dijangka perlawanan akhir tahun ini merupakan perlawanan yang paling hebat. Hebat dalam semua aspek.

Ramalan pihak keselamatan juga tepat, tapi sayang pihak kawalan keselamatan tak mengotakan apa yang dikata. Penonton bebas membawa apa sahaja barang terlarang semasa masuk ke stadium walaupun sebelum tu pihak keselamatan telah memberi amaran tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana penonton yang membawa masuk bahan terlarang. Yang anehnya juga mercun ada dijual disekitar stadium.

Dari aspek suasana pada malam itu memang hebat. Tiga perempat daripada stadium dipenuhi oleh penyokong Kelantan yang memakai baju tradisi mereka yang berwarna merah, hanya satu perempat stadium sahaja dipenuhi oleh penyokong Negeri Sembilan. Pukul tujuh malam stadium telah penuh dengan penonton. Bukan sahaja setakat dipenuhi penonton, stadium juga dipenuhi dengan asap mercun yang dipasang oleh penyokong Kelantan yang fanatik dan tak bertanggungjawab. Pada malam tu seolah-olah berada di medan perang dan bukannya stadium. Bunyi dentuman mercun sungguh menggamatkan suasana.

Sorakan penonton dari kedua-dua pihak tidak henti-henti terutama dari kalangan penyokong Kelantan. Penyokong Kelantan hanya berhenti bersorak apabila Negeri Sembilan berjaya menjaringkan gol.

Dari aspek permainan pula, Negeri Sembilan bermain jauh lebih baik dari Kelantan dalam semua keadaan dan semua posisi. Pemain Kelantan kelihatan agak gugup, mungkin disebabkan tak ada pengalaman bermain di peringkat akhir. Kawalan bola yang agak longgar, hantaran yang tak tepat, stamina yang agak lemah membolehkan Negeri Sembilan menguasai permainan di semua posisi. Percaturan jurulatih juga agak kurang memuaskan hati penonton terutama dari segi pemilihan dan kedudukan pemain. Akibatnya Kelantan di belasah Negeri Sembilan dalam padang dengan 3 gol berbalas satu.

Kekecewaan penyokong ditunjukkan dengan cara membakar kain-kain rentang yang digantung, membakar mercun dan dilemparkan ke tengah padang, membakar tempat duduk dan bertindak keluar awal dari stadium untuk membuat persiapan lain pula.

Di luar stadium lain pula jadinya. Kalau di padang kelantan dibelasah oleh Negeri Sembilan, di luar penyokong Negeri Sembilan pula telah dibelasah oleh penyokong Kelantan yang kecewa dengan kekakalahan tersebut. Penyokong Negeri Sembilan yang tidak membuka bajunya akan dibelasah dengan hebatnya. Mujurlah pihak polis cepat bertindak. Kalau tak, tak tahulah apa yang terjadi. Penyokong perempuan dan kanak-kanak Negeri Sembilan ada yang menangis kerana takut dengan gelagat penyokong Kelantan. Penyokong Kelantan juga ada yang dibelasah oleh polis.

Itulah antara drama-drama menarik yang berlaku pada malam perlawanan akhir tersebut. Pukul satu pagi, aku bertolak balik ke rumah adik aku di Subang. Bangga pun ada, malu pun ada jadi penyokong Kelantan. Bangga kerana melihat keberanian orang Kelantan. Malu pula kerana tindakan mereka yang melampau.