23 September 2008

Pemberian Subsidi Kepada Petani

Salam,

Hari Jumaat lepas, saya, isteri dan dua orang anak balik ke kampung di Kelantan. Bukan ada apa-apa, saja balik kerana nak berbuka dengan keluarga. Bukannya jauh sangat, dalam empat jam sahaja sampai. Jarak yang sebegini bukan alasan untuk seorang anak malas balik menziarahi orang tua, tambah-tambah lagi pada bulan puasa. Seronok mereka dapat berbuka dengan anak cucu.

Biasalah apabila balik ke kampung ada sahaja yang dirungutkan oleh ayah. Kali ini beliau merungut tentang pemberian subsidi kepada para petani. Pemberian subsidi bukan tak bagus, bagus, tapi masih banyak yang perlu dikaji tentang cara pemberian subsidi tersebut. Pemberian subsidi sekarang menurut ayah telah membolehkan individu tertentu dan pegawai-pegawai yang terbabit mengaut keuntungan. Apa tidaknya, melalui pemberian subsidi baja padi, ada antara mereka yang tak mengusahakan sawah tapi telah mendaftar berpuluh-puluh ekar untuk mendapatkan baja. Baja-baja yang diperoleh akan dijual kepada mereka yang memerlukan.

Sebaliknya, penanam-penanam padi yang mengusahakan dalam jumlah yang banyak tak dibenarkan mendaftar dengan jumlah yang betul. Dengan kata lain kalau mereka menanam padi seluas 10 ekar, mereka hanya dibenarkan mendaftar 8 ekar sahaja. Tak tahu di mana silapnya. Banyak petani yang mengeluh. Tapi keluhan mereka tak sampai kepada pihak atasan.

Bagi mereka yang menanam tembikai pula, subsidi diberikan berdasarkan jumlah berat buah yang berjaya dijual. Masalahnya, ada petani(kawan, waris dan lain-lain) dengan pegawai telah berpakat untuk mendaftar dalam jumlah yang banyak. Maka banyaklah jumlah subsidi yang diperoleh. Bagi petani yang tak ada apa-apa hubungan dengan pegawai, masalah lain pula yang timbul. Apabila mereka mendaftar sebanyak 10 tan hasilnya. Pegawai terbabit bukan main susah untuk mempercayainya dan meminta untuk dikurangkan. Petani tersebut terpaksa akur. Kalau tidak mereka tak akan dapat apa-apa.

Inilah masalah yang dihadapi oleh petani. Bukan kita nak kata kerajaan tak perihatin terhadap masalah petani, kerajaan memang perihatin tapi kerajaan mesti memantau dan mengkaji cara pemberian subsidi tersebut supaya ia berjalan seperti yang dirancang.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sudah begitu lumrah manusia sekarang..biarkan lah mereka dengan dunia mereka,jangan halalkan saja rompakan mereka itu..rasenya xdapat subsidi pun boleh kenyangkan perut sekeluarga