28 Ogos 2009

Puasa Dulu-Dulu

Salam,

Terbaca tulisan A Kadir Jasin yang bertajuk "Nostalgia Bulan Puasa Di Desa" telah mengingatkan aku pada masa kecil-kecil dulu. Walaupun antara aku dan A Kadir Jasin berlainan negeri, namun cerita beliau memang dialami oleh aku di Kelantan.

Cerita tentang menuai padi pada waktu malam pada musim puasa, beli air batu ketul adalah lumrah masa aku kecil-kecil dulu. 2-3 jam sebelum berbuka aku dan kawan-kawan dah pergi ke bandar Pasir Puteh untuk membeli air batu ketul. Memang kena pergi awal, kalau tak, kehabisan. Air batu tersebut dipotong menggunakan gergaji yang digunakan untuk menebang pokok yang besar pada masa dulu. Supaya lambat cair, air batu tersebut mesti dibaluti dengan habuk kayu dan dibalut dengan kertas surat khabar Cina. Memang tahan lama.

Di bandar Pasir Puteh pada masa tu hanya ada satu kedai sahaja yang menjual air batu ketul iaitu kedai ISA. Pukul 4 petang kedai ISA telah dikerumuni oleh manusia yang hendak membeli air batu. Ada juga yang datang beli dengan banyak untuk dijual di kampung.

Apabila bulan puasa jatuh pada musim menuai, boleh dikatakan orang kampung akan menuai padi pada waktu malam. Selalunya lampu "goslin" akan digunakan untuk mencerahkan kawasan. Biasanya orang yang berada sahaja yang ada lampu goslin. Bagi mereka yang tak mampu, mereka hanya datang pada bulan cerah sahaja. Sungguh meriah. Biasanya orang kampung akan bawa makanan sebagai bekal. Bekal paling aku suka ialah "timun Cina" atau tembikai. Kadang-kadang kemeriahan menuai pada waktu malam ni sehingga membawa kepada jinjang pelamin pun ada. Memang seronok.

Di kampung dulu jarang berbuka di rumah sebabnya ialah boleh dikatakan setiap hari ada saja orang ajak berbuka. Orang kampung ni seolah-olah sudah berpakat hari ni buka puasa rumah si A, esoknya pula rumah si B, lusa rumah si C dan pada hari terakhir biasanya acara berbuka puasa diadakan di masjid. Tok Imam akan memberitahu orang kampung supaya membawa sedulang makanan bagi setiap keluarga. Beginilah keadaan puasa pada zaman dulu di kampung.

Pada waktu malamnya pula sungguh meriah di masjid. Orang kampung akan berkumpul untuk bersolat terawih. Riuh rendah bunyi suara kanak-kanak macam aku. Bukannya nak solat sangat tapi nak makan kuih yang dibawa. Kadang-kadang tu, solat belum siap lagi, kita orang dah curi-curi makan kuih.

Sekarang ni, semua itu dah tak ada lagi. Sungguh seronok mengenangkan kisah silam yang sudah tentu tak akan berulang lagi.

23 Ogos 2009

Amalan Tak Selari Dengan Perlakuan.


Salam,

Saya ucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam. Bulan ramadan datang lagi dan kita yang mengaku beragama Islam wajiblah berpuasa kerana ini adalah suruhan Allah. Allah mengatakan bahawa,"wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa ke atas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu".

Apabila tiba bulan ramadan boleh dikatakan sebahagian besar umat Islam berpuasa sama ada yang beriman ataupun tidak. Bahkan kanak-kanak yang berumur4-5 tahun pun disuruh berpuasa menahan lapar dari makan dan minum. Kesian kanak-kanak, lembik tak bermaya menunggu masa berbuka. Bukan apa, nak mengajar supaya besar nanti tidak culas untuk berpuasa.

Pada sebelah malamnya pula berduyun-duyun manusia menuju masjid, surau atau madrasah yang berhampiran untuk sama-sama mengerjakan solat terawih berjemaah. Boleh dikatakan sebahagian besar tempat ibadat ini dipenuhi manusia pada bulan ramadan.

Daripada apa yang kita nampak pada bulan ramadan ini seolah-olah umat Islam begitu taat akan ajaran Allah. Menurut segala perintah Allah. Namun dalam pada itu, sekarang ini umat yang kita nampak begitu taat mengerjakan suruhan Allah begitu beria-ia memaki hamun, mengata orang lain, melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya selaku umat yang taat. Kenapakah keadaan ini berlaku?

Bukankah amalan-amalan yang kita lakukan adalah untuk menghindari kita semua dari melakukan kejahatan? Tapi nampaknya semakin banyak amalan yang kita lakukan, semakin laju pula kita melakukan perkara-perkara yang tak sepaptutnya. Di manakah silapnya?

Renungkanlah kembali wahai pembaca budiman sama ada betul atau pun tidak amalan yang kita semua lakukan kini.

15 Ogos 2009

Hebat Sangatkah Pemain Badminton Kita?


Salam,

Indah khabar dari rupa. Itulah ungkapan yang sangat sesuai diungkapkan kepada pasukan badminton negara. Sebelum bermulanya Kejohanan Badminton Dunia, di Hyderabad India, semua jurulatih memukul canang mengatakan pasukan negara telah bersedia dan begitu yakin sekali akan kebolehan pemain-pemain. Apa tidaknya dengan gelaran pemain perseorangan nombor satu dunia, pemain beregu wanita nombor satu dunia, menampakkan kepada kita betapa kuatnya pemain-pemain badminton negara.

Tetapi nampaknya pemain-pemain kita hanya gah pada gelaran sahaja. Pemain bergu wanita kita kalah awal lagi, pemain perseorang lelaki kita juga yang bergelar datuk pun tak dapat ke separuh akhir. Harapan hanya tinggal kepada dua pasangan bergu lelaki yang berjaya ke separuh akhir, namun harapan itu tinggal harapan kerana kedua-dua regu tersebut kalah kepada lawan-lawan masing-masing.

Daripada pemerhatian saya, pemain kita lemah mental. Pemain kita bukan tak kuat, memang kuat tetapi apabila lawan mendahului, pemain kita mula hilang arah. Itu yang terjadi kepada Datuk Lee dan dua beregu lelaki kita.

Datuk Lee Chong Wei tak akan menang apabila berjumpa dengan Lin Dan kerana beliau tidak dapat mengawal tekanan mental disebabkan fobia kekalahan berterusan dengan Lin Dan. Dengan Sony pula, Chong Wei fobia dengan kejohanan lalu yang diadakan di KL yang mana Chong Wei juga tewas kepada Sony.

Harapan tinggi yang diletakkan kepada pemain-pemain juga merupakan salah satu sebab kenapa pemain-pemain kita kalah mental. Dan satu lagi saya rasa pemain-pemain kita terlalu dimanjakan. Mana ada negara yang memberikan pangkat atau pingat kepada ahli-ahli sukan mereka, habuan pun saya rasa tak sehebat kita. Latihan kita tak sekeras latihan yang diamalkan di China dan Indonesia. Walaupun kita mengambil jurulatih dari Indonesia, namun mereka tak dapat menerapkan corak latihan sebagaimana yang diamalkan di negara asal mereka. Kenapa? Jawabnya ialah pemain-pemain kita terlalu manja dan dimanjakan. Inilah akibatnya.

05 Ogos 2009

Ketua SPRM diugut bunuh

Salam,

Begitulah bunyi tajuk utama di akhbar Berita Harian hari ini. Ngeri bunyinya. Inilah yang bakal terjadi apabila perasaan tidak puas hati menghantui seseorang. Mereka sanggup melakukan apa sahaja.

Ugutan bunuh ini diterima oleh Datuk Seri Ahmad Said Hamdan ekoran rasa tidak puas hati atas kematian Teoh Beng Hock. Rasa tidak puas hati ini adalah susulan tersebarnya satu rakaman klip video kejadian seorang lelaki Cina dibelasah sekumpulan lelaki yang dikatakan mempunyai kaitan dengan SPRM menerusi internet. Rakaman video ini boleh dilihat dalam blog advocateviews.blogspot.com.

Aku telah menyaksikannya. Sungguh kejam perlakuan mereka dalam video ini. Tapi aku tak pasti sama ada orang yang kena belasah itu Teoh. Yang aku pasti tindakan sebegini memang zalim dan tak patut berlaku dalam sebuah negara yang sudah merdeka, bertamaddun dan maju dalam semua hal.

Aku harap pihak polis akan mengambil tindakan yang tegas dan cepat terhadap mereka yang terlibat bagi menjaga nama baik pihak polis dan SPRM.

03 Ogos 2009

Rasuah...Rasuah...Rasuah

Salam,

Utusan hari ini melaporkan seorang ADUN di Terengganu telah ditahan oleh SPRM bersama rakannya kerana menerima wang sogokan berjumlah RM20,000 daripada sebuah syarikat pemaju.Siasatan awal mendapati, ahli politik itu meminta 10 hingga 13 peratus nilai kontrak yang diperoleh bagi setiap sebuah syarikat.Juga difahamkan, wang sogokan berkenaan perlu dilangsaikan dalam tempoh 24 bulan dari tarikh mereka mendapat kontrak berkenaan.

Apa yang boleh aku katakan ialah, aku kesian dengan ADUN tersebut kerana tidak bernasib baik. Yang diterimanya taklah sebanyak mana, alih-alih kena tahan pula. Yang lain menerima berganda-ganda banyaknya tak pula berjaya ditahan. Buat pengetahuan SPRM boleh dikatakan semua ADUN tak kira kerajaan ataupun pembangkang mengamalkan rasuah, cuma mereka ni pandai, susah untuk membuktikan yang mereka ni menerima rasuah.

Sebagai orang biasa, aku banyak melihat dan mendengar kes-kes ADUN menerima rasuah tetapi hanya setakat itulah sahaja. Untuk membuat aduan jauh sama sekali kerana tidak ada bukti, setakat lihat, dengar dan tahu tak ada gunanya. Mahkamah tak pakai itu semua.

Cuma apa yang aku harapkan, akan lebih banyak lagi tangkapan yang akan dibuat untuk menyedarkan para ADUN yang memperdagangkan jawatannya.

Artikel ini boleh dibaca di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_01.htm

02 Ogos 2009

ISA TAK BOLEH DIHAPUSKAN

Salam,

ISA memang tak boleh dihapuskan. Walaupun kerajaan rasa tertekan dengan demo yang diadakan oleh puak yang anti ISA, tetapi kerajaan sama sekali tidak boleh mengambil tindakan memansuhkan ISA. ISA adalah satu-satunya cara yang ada untuk melindungi negara daripada menjadi mangsa cucu-cicit komunis.Komunis sudah lama berkubur tetapi cucu-cicitnya masing bebas berkeliaran. Undang-undang negara sekarang ni sudah tidak mampu lagi menegakkan kebenaran dan menentukan siapa sebenarnya yang salah, malah undang-undang negara kita sekarang ni dengan mudah dan sewenang-wenangnya dipermainkan oleh pihak tertentu. Seperti kata Mesin Taip Buruk, undang-undang negara sekarang sedang dipermainkan oleh Anwar Ibrahim dengan melengah-lengahkan kes pembicaraan liwatnya. Betulkah begitu?

Pada aku, aku percaya ISA sangat diperlukan dan tak boleh dihapuskan. Kadang-kadang dalam sesetengah kes patut pun mereka ditangkap. Seperti kata Sanusi Junid, kalau selepas mereka melakukan huru-hara baru nak ditangkap sudak tak ada gunanya lagi, nasi dah jadi bubur. Jadi sebelum tu lagi kita kena ambil tindakan, barulah negara aman.

Lagi pun buat apa kita nak takut kalau kita tak melakukan kesalahan. Orang yang anti ISA ini ialah mereka yang suka melakukan kejahatan.