22 Ogos 2008

SUMPAH LIWAT, ULAMA PERLU TERIMA PERBEZAAN PANDANGAN

Oleh Astora Jabat :http://www.tematajdid.com/

Kerana kepentingan politik atau kurang membuat penyelidikan menyebabkan sesetengah ulama dan mufti mengeluarkan pandangan berhubung hukum-hukum tertentu secara tidak tepat atau sekuran-kurangnya kurang tepat. Contoh kerana kepentingan politik dan kurang membuat penyelidikan sekali gus, kita boleh meneliti pandangan ulama politik Pas berhubung isu sumpah. Saya di sini hanya membawa contoh pandangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyihd Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.Abdul Hadi berkata, bersumpah dengan al-Quran dengan cara memegang mushafnya tidak sah. Manakala Nik Aziz pula turut berkongsi pandangan yang sama, tetapi dengan sedikit perbezaan, iaitu al-Quran tidak boleh pegang ketika di atas pangkuan, sebaliknya jika di junjung di atas kepala dianggap boleh.


Sepatutnya jika tidak boleh pegang al-Quran bila bersumpah, mesti dalam semua keadaan. Kenapa di atas riba tak boleh dan dibolehkan di atas kepala? Hujah meniru Kristian tidak boleh diterima kerana mereka bersumpah dengan meletak tangan di atas Injil dalam keadaan berdiri dan bukan dalam keadaan bersila.Saya anggap kecelaruan seperti ini mungkin terjadi kerana Abdul Hadi dan Nik Aziz memikirkan tentang kepentingan politik dalam konteks untuk melawan sumpah Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Masjid Wilayah Persekutuan pada 15 Ogos lalu yang juga didakwa bermotif politik kerana mensasarkan pilihan raya kecil di Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.


Bagaimanapun, mungkin juga mereka mengeluarkanpandangan begitu kerana cakap ikut ingatan yang sudah tentu ada kekurangan dan kelemahan kerana semua manusia pelupa. Justeru bila terserampak dengan permasalahan yang kurang pendedahan dibangkit oleh wartawan atau mana-mana orang yang mahukan penjelasan, mereka terpaksa bermain-main dalam ilmu kerana tidak mahu menunjuk tidak tahu. Saya sudah lama membuat cadangan kepada ulama yang berlibat dalam politik supaya membentukkan barisan penasihat agama yang bertaraf pengkaji seperti dilakukan oleh menteri-menteri . Dengan cara itu mereka boleh bersila dengan cara lebih sempurna di atas takhta keulamaan mereka.


Asalnya ulama berbeza pandangan mengenai sumpah dengan al-Quran. Sesetengah ulama menganggap haram bersumpah dengan al-Quran dan inilah yang menjadi pegangan puak Salafi (berdasarkan pandangan Ibn Hanbal dan lain-lain ulama), Abdul Hadi dan Mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Sesetengah ulama lain pula menganggap bersumpah al-Quran harus termasuk dengan cara memegang mushafnya dan inilah yang dipegang Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Datuk Wan Zahidi Wan Teh.


Wan Zahidi berkata, hukum bersumpah dengan memegang al-Quran seperti Mohd. Saiful adalah harus dan pandangan seperti itu boleh dilihat melalui pendapat ulama seperti Al-Allamah Abu Bakar Othman Muhammad Syatta al-Dimyati al-Bakri dalam kitabnya, Hasyiah l’anah al-Talibin.Menurut Wan Zahidi, Abu Bakar dalam kitab itu menjelaskan bahawa sumpah atau ‘yamin’ terbahagi kepada dua iaitu dalam perbicaraan di mahkamah dan kedua, di luar perbicaraan.
“Dalam bahagian kedua ini, sumpah sah dilakukan oleh seseorang yang mukalaf dengan pilihan sendiri.
“Perkara yang menjadi objek sumpah pula ialah perkara yang lalu atau yang akan datang, manakala perkara yang digunakan untuk bersumpah ialah nama Allah dan sifat-sifatnya dengan didahului oleh huruf qasam iaitu ‘waw’, ‘ba’ dan ‘ta’.
“Sumpah seperti ini harus dilakukan jika difikirkan perlu, seperti untuk menguatkan percakapan atau kenyataan,” katanya seperti dilapor Utusan hari ini.
Beliau berkata, ulama berpendapat bahawa sumpah dapat diperkuat atau diberatkan jika dilakukan selepas sembahyang asar hari Jumaat, dalam masjid di sisi mimbar, meriba mushaf (al-Quran) dan meletak tangan di atasnya atau dibacakan kepadanya ayat 77 daripada surah al-Imran.


Mengenai hukum meletak tangan atas mushaf, Wan Zahidi turut memberikan beberapa contoh fatwa tambahan selain daripada kandungan dalam kitab Hasyiah l’anah al-Talibin.Katanya, Mufti Mesir, Al-Sheikh Hasanin Muhammad Makhluf (1945-1950) dalam kitabnya, Fatwa Syariyyah ketika menjawab soalan mengenai hukum bersumpah dengan mushaf memetik pendapat Al-Imam Al-Aini iaitu:“Jika seseorang bersumpah dengan mushaf atau meletakkan tangan ke atasnya, atau berkata; Demi Quran ini - maka ia adalah sumpah yang sah mengikut pendapat Imam Syafie, Hanafi dan Hambali.’’ Tambah beliau, Shaikh Muhammad Abu Zuhra dalam bukunya Fatawa al-Sheikh Muhammad Abu Zuhra dalam jawapannya kepada soalan tentang hukum bersumpah dengan nama Allah dengan meletakkan tangan atas mushaf menyatakan; “Bersumpah dengan nama Allah dengan meletakkan tangan ke atas mushaf adalah sumpah yang sah.”


Justeru kata beliau, huraian yang diberikan dapat memperlihatkan dengan jelas bahawa sumpah yang dibuat Mohd. Saiful adalah menepati ajaran Islam dan tidak meniru Kristian.Tambahnya, persamaan zahir terhadap apa yang dilakukan oleh Mohd. Saiful tidak boleh dijadikan asas untuk menyamakan tindakan beliau itu sebagai meniru cara agama Kristian.“Misalnya paderi Kristian menyebut kalimah ‘amin’ ketika melakukan upacara doa di gereja, namun umat Islam tidak boleh dianggap meniru Kristian dengan menyebut kalimah ‘amin’ dalam sembahyang dan ketika berdoa,” katanya.Sepatutnya bila ada perbezaan pandangan seperti ini, ulama perlu membawa semua pandangan dan jangan menuduh orang yang mahu berpegang dengan mana-mana pandangan salah dan haram. Kerana dalam masalah khilafiah, semua berhak membawa yang difikirkan wajar pada pertimbangan masing-masing. Tidak ada yang betul secara mutlak dan tidak ada yang salah secara mutlak.

Kenapa Anwar Disayangi Amerika

Artikel ini saya petik dalam http://cekka.wordpress.com/page/2/. Banyak artikel menarik di sana. Silalah...
Al Gore Sayang Anwar Ibrahim?

(Gambar: Poster mereka berdua ini ada di pajero PKR. Mengapa?)
Al Gore atau nama penuhnya Albert Arnold Al Gore adalah bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (1993-2001). Al Gore adalah berbangsa Yahudi. Al Gore adalah rakan sekutu Bill Clinton daripada parti Demokrat.
Ketika Al Gore berkuasa di dalam kerajaan Amerika, Anwar merupakan ‘Orang No 2′ terpenting di Malaysia sebagai Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia (TPM). Waktu itu, Al Gore juga adalah orang no. 2 di Amerika Syarikat.
Pada tahun 1998, Anwar sudah memasang impian untuk kerusi no. 1 iaitu Perdana Menteri Malaysia. Beliau mahu menjadi PM yang teragung di rantau Asia. Untuk mencapati matlamat tersebut, Anwar perlu bersahabat dengan kuasa no. 1 dunia iaitu Amerika Syarikat.
Anwar percaya bahawa hanya dengan restu Amerika sahaja seseorang pemimpin itu mampu dinobatkan menjadi pemimpin agung Asia. Maka tidak menghairankan semua, mengapa ada gambar Bush dan Al Gore ada di sebuah pajero ketika Anwar sedang berkempen di Permatang Pauh.
Jika berjaya menjadi Perdana Menteri seperti yang diidamkannya pada 16 September ini, maka akan tercatat dalam buku sejarah Asia nama Anwar dibaca oleh generasi seterusnya sebaris dengan nama Mahatma Gandhi atau Jose Rizal.

(Gambar: Anwar bersama dengan Mary Robinson dalam satu program Datamatix Group di Dubai. Al Gore adalah penaung kepada Datamatix Group)
Dari tirai pejabat White House, Al Gore sering diceritakan tentang kehebatan Anwar dari Malaysia melalui wakil-wakil Amerika yang dihantar khusus menemui Anwar. Dua orang wakil Al Gore yang sering berjumpa Anwar di Malaysia ialah Wiliam Cohen (Setiausaha Pertahanan Amerika) dan Madeline AlBright (Setiausaha Negara). Cohen yang juga berbangsa Yahudi ialah sahabat karib Anwar sejak 1973 lagi.
Mereka berkenalan di Cairo, Mesir ketika Anwar menjadi Presiden WAMY (World Assembly of Muslim Youth). Cohen ialah orang yang bertanggungjawab memberikan hamparan karpet merah kepada Anwar ketika Anwar datang ke Amerika Syarikat. Serta disambut dengan 21 das tembakan meriam. Apakah maksud 21 das tembakan meriam? Bukankah itu simbolik sambutan seorang Ketua Negara? Apakah Anwar Ketua Negara Malaysia?
Pada 1998, ketika Anwar dipecat, Al Gore panik dan turun sendiri ke Kuala Lumpur untuk menyatakan sokongan kepada Anwar. Al Gore menyokong reformasi jalanan. Perkara yang sama berulang pada 2008, White House panik dan mengarahkan Tom Casey dan Sean Mc Cormack, kedua dua adalah Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat untuk membela Anwar daripada ditangkap. Malah Condoleeza Rice sendiri mengeluarkan kenyataan membela Anwar selepas itu. Mengapa Amerika sayang benar pada Anwar?

Ketika reformasi 1998, Al Gore mengecam kerajaan Malaysia dan memuji-muji keberanian rakyat Malaysia yang menyokong REFORMASI ke atas Anwar. Sokongan terbuka ke atas Anwar itu diucapkan dalam Majlis Makan Malam Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Kuala Lumpur pada 16 November 1998.
Barangkali ketika itu Al Gore berpendapat dengan menunjukkan sokongan terbuka Amerika kepada Reformasi, ianya akan lebih menyemarakkan lagi gelombang reformasi rakyat untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Dr Mahathir.
Mungkin Al Gore mengharapkan dengan kebangkitan rakyat itu, Dr Mahathir akan segera tumbang dan Kerajaan Rakyat kembali berkuasa dan segera membebaskan Anwar untuk dinobatkan semula menjadi PM. Dr Mahathir tidak tumbang dan impian Anwar tidak tercapai untuk menduduki kerusi no. 1 Malaysia.

(Gambar: Al Gore, bekas Naib Presiden Amerika Syarikat sedang berkata sesuatu kepada Anwar Ibrahim sambil diperhatikan oleh Ali Al Kamali (Pengarah Urusan Datamatix) dan Mary Robinson, bekas Perdana Menteri Ireland 1990-1997). Gambar di atas dirakam pada 18 Nov 2006 di Bustan Al-Arab Hotel Dubai, ketika Al Gore merasmikan majlis penyampaian Anugerah Middle East “3rd Banking Excellent Award” anjuran Datamatix).
Kini, sepuluh tahun selepas itu, Anwar kembali lagi mempetaruhkan nasibnya untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi. Anwar berjanji dengan harapan dan impian untuk menurunkan harga minyak kepada rakyat.
Anwar sedaya upaya menangkis sumpah Saiful Bukhari dengan seribu satu alasan. Menyalahkan kerajaan yang sedia ada sebagai korup, tidak pandai mentadbir dan sebagainya. Isu-isu ini dijadikan alat untuk Anwar mencapai cita citanya yang terkandas dahulu.
Selepas Anwar bebas pada 2004, Al Gore membina semula imej Anwar di mata dunia. Al Gore telah melantiknya pada 23 Februari 2005, sebagai Lembaga Penasihat Generation Investment Management Group yang berpengkalan di London dan Washington.
Badan tersebut adalah badan pemikir kem Demokrat yang dipengerusikan oleh Al Gore. Badan itu juga dianggap sebagai tempat berhimpunnya wakil-wakil negara yang pro Amerika beraliran Demokrat. Dua orang anak buah Al Gore yang disayangi adalah Anwar Ibrahim dari Malaysia dan Mary Robinson dari Ireland.
Pada 16 Ogos, hari penamaan calon, Bush dan Al Gore membenarkan gambar mereka menjadi hiasan kenderaan PKR di Permatang Pauh. Biarpun mereka tidak hadir secara nyata, gambar tersebut bererti sokongan moral Al Gore dan Bush terhadap Anwar Ibrahim amat tinggi. Memang jelas Amerika Syarikat amat berharap Anwar menjadi PM Malaysia. Mengapa mereka minat sangat dengan Malaysia?
Apakah kerana kita ada Petronas atau kerana kerajaan kita dikuasai dan ditadbir oleh pemimpin pemimpin Melayu Islam? Atau kerana sistem mahkamah syariah kita? Bila Amerika bersungguh sungguh benar menyokong Anwar, apakah ini membawa erti penjajahan bentuk baru akan berulang kembali selepas 51 tahun kita merdeka? Sanggupkah kita melihat Malaysia berada di payung kuasa besar seperti Amerika Syarikat?
AZRINIZAM IBRAHIMPresiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

21 Ogos 2008

Antara Anwar,PAS dan UMNO:Apakah ada pilihan?

Dua tiga hari lepas saya ada terbaca satu artikel dalam http://cekka.wordpress.com/. Pada saya artikel ini sungguh menarik. Lalau saya ambil dan pastekan dalam blog saya. Harap penulis artikel ini tidak marah dengan tindakan saya ini.


Antara Anwar,PAS dan UMNO : Apakah ada pilihan?
August 20, 2008

Saya rakyat biasa Malaysia, yang tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam politik, yang tidak mempunyai apa-apa pengaruh dalam masyarakat.

Seperti rakyat kebanyakkan.. kami bangun awal pagi, berkemas dan bergegas untuk pergi bekerja dan menghantar anak kesekolah. Kami balik lewat petang.. kalau tubuh masih berasa segar, kami keluar bersosial dan memikirkan apa yang patut kami buat esok hari agar taraf hidup kami meningkat.

Cukup bulan, kami dapat gaji.. Sampai tengah bulan kami kena berjimat-cermat semula.
Kerana itulah, kos sara hidup amat penting bagi kami. Kalau minyak naik, kami gelisah.. bukan gelisah harga minyak, kami gelisah sebab harga barang-barang akan naik. Harga beras naik, harga susu naik dan sebagainya lagi berlumba-lumba mahu naik. Puncanya dari minyak..
Tetapi, adakah kerajaan peduli rantaian ekonomi ini? Adakah kerajaan peduli keadaan kami?

Kegagalan BN dan UMNO

Kami tidak sepatutnya marah kepada kerajaan dan para menteri kalau mereka mahu berbelanja sakan di Paris atau Singapura..

Kami tidak boleh marah kalau para menteri memakai kereta Mercedes atau BMW. Atau ahli korporat mempunyai sederet kereta Ferrari, Lamborgini mahupun Rolls-Royce. Itu hak mereka kerana mereka mampu.

Tapi kami marah kepada para menteri kerana tidak ambil kisah keperitan kami, luahan hati kami cuma diatas meja dalam bentuk data dan statistik.. kekadang luahan hati kami berada dalam bakul sampah dalam pejabat para menteri.Yang para menteri dengar ialah keluhan peniaga-peniaga besar dan syarikat korporat.

Hanya sekali dalam 5 tahun, bila tiba musim pilihanraya, kami menjadi buruan para menteri untuk bertanya khabar. Dapatlah duit poket sikit RM 50 dan sehelai kain pelikat..
Kami dijanjikan projek mega dan pembangunan.. apa ertinya buat kami? Kami tak mampu nak beli rumah kedai, kalau terlibat sebagai kontraktor sekalipun.. belum tentu kami dapat tender. Itu semua halwa untuk mata kami sahaja sedangkan tiada apa-apa faedah untuk kehidupan kami secara langsung.

Apa yang kami mahu ialah ruang ekonomi agar kami dapat menambahkan pendapatan, mengurangkan kos sara hidup kami dan menambahkan tabungan kami. Bukannya menghakis pendapatan dan simpanan kami.Kami semua.. Melayu, Cina, India dan lain-lain.. berusaha untuk kehidupan kami.

Kemudian para menteri mahu menjadi juara kaum. Masing-masing mahu mendabik dada demi mengekalkan kekuasaan. Para menteri melaga-lagakan sesama kami agar menaruh rasa curiga dan prejudis, hasilnya kami jadi berburuk sangka kepada Cina, Melayu dan India.
Kami mula berasa sangsi kepada kawan-kawan kami..

Apa yang kami dengar dari orang-orang UMNO ialah tender itu-ini, berebut projek sana-sini, ampu-mengampu ketua masing-masing, cakap-cakap tidak puas hati kepada sipolan dan sipolan kerana tidak dapat jawatan dan projek. Kemana pergi cerita tuntutan dan keperluan kami?
Kehidupan kami mula tidak ceria.. demi mengejar tuntutan ekonomi, kami bekerja lebih. Masa kami sudah mula berkurang, jiran sebelah rumah sakit pun kami tidak tahu. Apatah lagi jika bukan sebangsa dengan kami.. hasil benih kesangsian dan kebencian yang ditabur oleh para menteri.

Kehidupan kami mula terasa kelam..Kami hanyut dengan hal-hal kehidupan dunia kami. Segala janji-janji para menteri kepada kami hanya tinggal janji.. Kami sudah TIDAK PERCAYA kepada para menteri dan kami jadi MUAK dan BENCI dengan kerakusan orang BN dan UMNO.

PAS sebagai pilihan

Kami lihat orang PAS selalu ke masjid dan ceramah-ceramah agama. Kami lihat orang PAS sentiasa memakai kopiah dan berlilit serban. Anggapan kami, PAS mesti orang baik-baik..
Kami lihat orang PAS sentiasa bercakap tentang Islam, hukum-hakam, istilah-istilah Arab dan nilai-nilai Islam. Anggapan kami, orang PAS mesti tinggi ilmunya dan mestilah akhlaknya juga baik..Tiba pilihanraya.. undi kami kepada PAS.Kami mula berjinak-jinak mendengar ceramah, apa yang kami dengar ialah kritikan yang berapi-api kepada kerajaan BN dan UMNO.. diselang-selikan kutukan serta kata nista yang beremosi. Tetapi, kami suka mendengarnya kerana kami sudah muak dan benci kepada BN dan UMNO.

Di kedai-kopi kopi, kami lihat orang PAS yang fanatik sanggup bercekak pinggang dan bertegang leher mempertahankan prinsip perjuangan PAS. Orang-orang UMNO dipulau dari majlis-majlis dan tiada tali persaudaraan dengan mereka lagi. Sudah putus.. sebab mereka orang UMNO.
Orang UMNO sudah dianggap kafir kerana tidak bersama PAS.. Padahal kami lihat orang UMNO itu bersolat juga dan mengaku Allah itu tuhan mereka, Muhammad nabi mereka.. Barangkali kita kena memaksa orang lain mengikut jalan kita.. Kalau kita tak berkopiah putih, ilmu agama kita belum cukup, kena belajar lagi..

Kami lihat orang PAS hebat bercerita hal ekonomi negara dan dunia, tapi esoknya meminta sedekah sana-sini juga.. Keluar berdakwah berbulan-bulan, tapi anak isteri di rumah meminjam beras dengan jiran-jiran sebelah rumah.Barangkali inilah Islam yang PAS maksudkan..
Kami kagum dengan ketaksuban orang PAS kepada pemimpin, ‘hitam’ kata pemimpin..hitamlah ia, ‘putih’ kata pemimpin.. putihlah ia. Tak pernah menyanggah sikit pun, seolah-olah ketaatan anak terhadap ibunya. Anak-anak kami pun pandai komen kalau susu dia tak sedap, pertikai kalau dapat duit saku sikit dari kebiasaan..

Apa yang kami lihat, orang UMNO gigih memperbaiki taraf kehidupan mereka tetapi orang PAS selalu pasrah dan berserah kepada takdir. Tetapi orang PAS tak lekang dengan masjid juga walau susah, orang UMNO hanya seminggu sekali pada hari Jumaat.
Kami sentiasa pergi ceramah, dan kami pasti tidak lupa menghulurkan wang untuk bersedekah kepada PAS. Tetapi, kami tidak tahu kemana derma kami pergi dan tiada siapa yang memberitahu kami. Apatah lagi dengan laporan audit.. tetapi kami tidak kisah pun..
Kami percaya orang PAS mesti hebat ilmu agamanya dan akhlaknya baik, tetapi kami KURANG YAKIN orang PAS boleh mengajar kami bagaimana mencari duit..

Kemunculan Anwar Ibrahim

Saat berita Anwar Ibrahim dibebaskan dicanangkan keseluruh negara.. hati kami mula berbunga harapan. Bibit-bibit harapan kepada keadilan ekonomi dan kemajuan insaniah timbul kembali..Anwar mengajar kami tentang keadilan dan hak-hak individu. Kami mula berbaik-baik semula dengan kawan-kawan lama, sikap prejudis masih ada tetapi sudah berkurangan.. satu keadaan dan perasaan aneh berbaur kegembiraan yang tiada semasa Anwar berada dalam penjara.

Apatah lagi, PAS dan DAP juga bersama Anwar.. PAS orang-orangnya baik dan tidak tamak harta, DAP pula orang-orangnya rasional dan konsisten membangkang ketidak-adilan ajaran ekonomi para menteri BN.

Sebagai bekas Menteri Kewangan dan Timbalan PM, Anwar mesti pandai mentadbir dan bijak dalam hal ekonomi. Dengan kata lain, Anwar bijak.. Lagipun, isteri dan anak-anaknya nampak macam orang baik-baik dan bersopan, tidak seperti isteri para menteri UMNO dan BN yang nampak bergaya, angkuh dan boros.

Tahun 2008.. sekali lagi kami disogok dengan kes liwat Anwar. Kes tahun 1998 mula terbayang kembali.. tapi, kami tidak percaya kepada BN.. Anwar juga kata begitu. Kami TIDAK PERCAYA kepada BN.

Tetapi.. kami berasa hairan kerana Anwar lari bersembunyi ke Kedutaan Turki, di mana Anwar tahun 1998 dulu yang TIDAK TAKUT bicara tentang perjuangan, tetapi Anwar tahun 2008 ini seolah-olah TAKUT bicara tentang perjuangan.

Kami mula rasa ragu-ragu apabila Anwar enggan bersumpah, fikiran kami mula celaru dengan kenyataan berbelit-belit Anwar.. seolah-olah terjerut dengan belitan ular sawa. Padahal si pendakwa sentiasa konsisten dengan tuduhannya dan sanggup berbuat apa sahaja agar tuduhannya diambil berat. Di suruh bersumpah.. dia bersumpah, disuruh ke mahkamah.. dia sanggup ke mahkamah, ..mahkamah syariah pun dia pergi juga.

Tetapi Anwar pula sanggup berbuat apa sahaja, asalkan dia tidak perlu bersumpah.. Tapi, kami masih percaya kepada Anwar dan ini mesti politik UMNO. Tapi jauh disudut hati.. kami mula berasa SANGSI. Kami tetap tidak mahu percaya kepada UMNO, tetapi akal kami mahu hidup juga.. memikirkan fakta-fakta.

Kami berasa pelik kerana Amerika dan kroni-kroninya bersungguh-sungguh menyokong Anwar. Padahal kami tahu sejarah.. Amerika “tidak menolong dengan percuma”. Apa sudah jadi Saddam yang ditolong Amerika ketika dahulu, apa dah jadi kepada Pervez Musharraf sekarang, apa dah jadi kepada Iraq, Georgia, Pakistan, Korea Selatan dan Indonesia?

Amerika cuma menolong orang yang menentang musuh-musuhnya, kita lihat Amerika tolong India vs Pakistan, Korea Selatan vs Korea Utara, Iraq vs Iran, Taiwan vs China, Georgia vs Rusia. Seperkara lagi, Amerika mahu jaga bekalan minyaknya.. adakah Amerika juga berminat dengan minyak di rantau ASEAN ini. Mungkin juga Amerika melihat Anwar sebagai proksi yang berguna suatu hari nanti..

Tetapi adakah kami ada pilihan untuk melemahkan UMNO? Kami tidak mampu..
Walaupun kami SANGSI dan RAGU-RAGU kepada Anwar, kami tiada pilihan.. Kami berharap Anwar dapat membantu kami melemahkan UMNO yang kami BENCI dan TIDAK PERCAYA. Kami TIDAK YAKIN dengan PAS 100% boleh melemahkan UMNO. Kami cuma rakyat biasa..

12 Ogos 2008

Politik Wang

Salam,

Setiap kali tiba pilihanraya tak kira besar atau pun kecil, setiap kali tiba musim pemilihan di peringkat cawangan, bahagian, dan pusat, setiap kali itu jugalah berkumandangnya kata-kata "politik wang", "rasuah" dan sebagainya. Sampai bila perkara ini akan berakhir? Kenapa perkara ini tak boleh dihapuskan? Kenapa keadaan ini berlaku? Banyak persoalan yang bermain di benak fikiran kita.

Dua minggu lepas, seorang kawan baik saya menelefon saya. Katanya, dia nak masuk pemilihan ketua pemuda UMNO. Saya tanya, kenapa nak ceburkan diri dalam politik pula? Katanya, ada pihak di peringkat akar umbi nakkan perubahan. Saya kata, masuklah. Tapi sebenarnya dalam hati saya, saya tak galakkan beliau libatkan diri dalam pemilihan tersebut. Untuk apa? Kalau untuk dapatkan duit, saya rasa tak sepatutnya, sebab beliau dah ada kereta Mercedes, dia dah ada rumah banglo besar, dia dah ada jawatan yang besar(pengarah di sebuah syarikat yang besar dan terkenal). Tapi demi menjaga hatinya, saya diamkan diri.

Minggu lepas, dia telefon lagi saya. Katanya, tak dapatlah, mungkin pencalonan aku tak lepas, demo main jahat, banyak dia bagi.

Tak nak percaya, dia kawan baik. Mengeluh juga mendengar rintihan kawan. Tapi inilah realiti politik kini tak kira mana-mana pihak. Walaupun pihak atasan melarang itu dan ini, namun hakikat yang terpaksa ditelan ialah barah ini amat susah nak diubatkan.

Pernah saya mendengar satu rancangan di TV. Antara ahli panelnya ialah Prof Khoo Kay Kim. Pengerusi bertanyakan pendapat beliau tentang politik wang dulu dan kini. Prof Khoo menjawab, dulu lain, kalau ada seorang YB atau menteri yang letak jawatan ker, mati ker, bukan main susah nak cari pengganti kerana mereka tak mahu memikul tanggungjawab yang besar, mereka takut tak boleh jadi wakil rakyat yang baik, tapi kini kalau seorang pergi, seribu menanti, sambil gelak kecil.

Lagi pun dulu, mereka yang terlibat dalam politik terdiri daripada golongan pendidik atau guru. Mereka ini mempunyai jiwa dan semangat untuk membela dan memajukan rakyat. Mereka tidak mementingkan wang ringgit kerana pada masa itu faktor sosial yang dipentingkan. Kini, mereka yang terlibat dalam politik terdiri daripada kontraktor-kontraktor, bisnesmen. Jiwa dan semangat mereka lain.

Itu yang dijelaskan oleh Prof. Khoo. Ada benarnya kata-kata beliau dan kita kena terima hakikat inilah realitinya politik kita. Tidak ada cara lain untuk mengubatinya. Satu cara sahaja, kembalilah kepada agama. Boleh dikatakan semua manusia mempunyai agama. Semua agama menyuruh melakukan kebaikan. Maka kembalilah kepada yang satu itu. Moga hati kita akan bertukar kepada kebaikan. Sekiannnnnnnnn....

06 Ogos 2008

Permatang Pauh Dan Pilihanraya Kecil.

Hari ini Pengerusi SPR , Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman telah mengumumkan bahawa tarikh pilihanraya kecil Permatang pauh akan diadakan pada 26 Ogos 2008 jika ada pertandingan. Manakala hari penamaan calon pula ialah pada 16 Ogos 2008( tak ada tarikh lain ker yang sesuai)

Saya percaya pada 16 Ogos nanti, pasti Pulau Pinang akan dipenuhi dengan manusia. Pulau Pinang akan didatangi manusia dari segenap pelusok negara. Pulau Pinang akan menjadi pesta pada hari tersebut. Tumpuan manusia ke Pulau Pinang pada hari itu kerana ingin menyaksikan proses penamaan calon pilihanraya kecil Permatang Pauh dan kerana ingin melihat anak-anak mereka menerima segulong ijazah sebagai bukti tamatnya pembelajaran mereka di Universiti Sains Malaysia.

Pada mulanya,saya juga berniat untuk ke Pulau Pinang pada hari itu kerana ingin menyaksikan salah seorang ahli keluarga menerima segulong ijazah. Tetapi setelah SPR mengumumkan tarikh penamaan calon juga pada hari yang sama, saya terpaksa berfikir dua, tiga kali untuk ke sana. Ini kerana sudah tentu jalan raya akan sesak gila. Entahlah, mungkin ini kebetulan yang disengajakan untuk menarik pelancong ke Pulau Pinang.

03 Ogos 2008

Luahan Mukhriz dan Politik Wang.

Salam kepada semua pembaca,

Saya tak tahu sama ada semua rakyat Malaysia sedar atau tidur, tahu atau tidak bahawa politik wang telah lama menular dalam politik kita. Setiap kali ada pemilihan ketua di peringkat bahagian, cawangan dan pusat mesti ada perwakilan yang membicarakan tentang politik wang. Mesti ada yang tak berpuas hati, ada yang kecewa dan ada yang merasakan gejala tersebut akan merosakkan parti.Pada saya parti tak rosak, yang rosak adalah orangnya.

Terbaru, Datuk Mukhriz Mahathir telah meluahkan rasa kecewanya tentang gejala politik wang yang berlaku dalam proses pemilihan di peringkat cawangan. Beliau dengan nada yang kecewa telah mengatakan bahawa peluang beliau untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO bulan Disember nanti adalah tipis kerana tidak cukup pencalonan akibat amalan politik wang dan penyelewengan yang telah berlaku di peringkat cawangan. Kalau betul seperti apa yang dikatakan oleh Datuk Mukhriz, nampaknya kita akan kehilangan pemimpin yang berwibawa pada pandangan sesetengah pihak. Atau mungkin juga luahan Datuk Mukhriz ini sebagai satu langkah untuk menarik sokongan ramai di peringkat cawangan. Semua boleh berlaku dalam politik.

Dalam situasi yang sama, Rafidah Aziz juga meluahkan isu yang sama iaitu politik wang. Soalnya adakah mereka ni baru menyedari tentang barah politik wang ini atau setelah kedudukan mereka tergugat, baru mereka menyedari yang politik hari ini diselubungi dengan politik wang.

Sebagai orang awam yang banyak bergaul, bercampur dan berkawan dengan orang poltik di peringkat bawahan, saya tidak merasakan ini sesuatu yang baru. Benda ni telah beranak pinak, bercucu malah bercicit ciut dalam politik kita. Kenapa keadaan ini berlaku? Kalau nak tahu tengoklah filem Melayu zaman dulu. Lihatlah siapa Sultan, siapa anak buahnya, apakah tugas anak buanya? Bagaimana pembesar-pembesar di setiap daerah mengekalkan kuasa mereka, siapakah di sekeliling pembesar-pembesar tersebut dan apakah tugas mereka ini?

Keadaan dalam filem melayu dulu sama, sebiji dengan politik kita sekarang. Bezanya dulu Sultan, sekarang PM atau MB.

Keadaan politik wang ini tak boleh dihapuskan lagi, mungkin boleh dikurangkan. Kenapa saya berkata demikian? Sebabnya ialah, jawatan dalam parti merupakan jawatan yang berprofil tinggi. Di situlah letaknya lombong kekayaan. Untuk mendapatkan lombong tersebut, mereka akan melakukan apa sahaja. Tak payah lama, empat tahun sudah cukup. Lepas tu mereka boleh bersara dan makan duit pencen.

Jadi kepada pemimpin atau bakal pemimpin, sediakanlah wang yang cukup untuk mendapatkan wang yang lebih cukup lagi. Sekiannnnnnn...