29 Julai 2008

Perjumpaan Antara UMNO&PAS

Salam semua,

Dalam kekalutan yang amat kalut ini, para pemimipin tertinggi UMNO dan para pemimpin tertinggi PAS telah bersetuju untuk bertemu, bersemuka, berjumpa atau berbincang mengenai masa depan bangsa Melayu. Saya tidak pasti pertemuan ini untuk membincangkan masa depan orang Melayu dari aspek yang mana. Cuma apa yang kita semua nampak sekarang kedudukan Melayu yang diterajui oleh UMNO nampaknya begitu tergugat. Dan kedudukan Melayu yang dikuasai PAS juga nampaknya kurang diyakini oleh kawan dalam pakatan. Mungkin atas dasar inikah pertemuan ini diadakan.

MB Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz mengatakan kalau kedua-dua parti melayu terbesar ini ikhlas dalam perjuangan, ikhlas dalam melihat penyatuan Melayu yang berpaksikan kepada Islam, apa salahnya kedua-dua parti tersebut dibubarkan seterusnya dibentuk parti baru bagi mewakili golongan Melayu. Cadangan ini ada pro dan kontranya. Ada yang bersetuju dan ada yang tidak. Ada yang melihat bahawa cadangan ini berbentuk peribadi dan bukannya dari pucuk kepimpinan PAS.

Secara peribadi saya tidak bersetuju jika UMNO dan PAS dibubarkan untuk membentuk parti baru bagi kaum Melayu. Pertama kerana, nama UMNO dan PAS sudah sebati dalam jiwa rakyat Malaysia. Kedua-dua nama tersebut mempunyai sejarah yang tersendiri. Jika dibubarkan, ia akan menghapuskan satu sejarah yang selama ini begitu dibanggakan oleh bangsa Melayu sama ada di pihak UMNO mahupun PAS. Kedua, jika satu parti baru dibentuk untuk mewakili bangsa Melayu, ianya akan menimbulkan rasa kurang percaya bangsa lain kepada bangsa Melayu, terutama rakan-rakan UMNO dalam BN iaitu MCA dan MIC. Keadaan ini akan menyebabkan hubungan antara kaum semakin susah untuk dieratkan.

Jadi untuk meneutralkan keadaan, cara yang terbaik saya rasakan sistem dua parti dominan seperti sekarang adalah yang terbaik iaitu Barisan Nasional(BN) dan Pakatan Rakyat(PR). Cuma apa yang harus diperbaiki lagi ialah keahlian dalam PR mestilah seperti apa yang dilakukan dalam BN. Barulah keahliannya dalam PR kuat dan tak mudah digoyah oleh mana-mana pihak. Jadi, jika ada mana-mana parti yang tak bersetuju dengan komponen tersebut, mereka boleh keluar dan masuk komponen yang satu lagi. Dalam hal ini, jika PAS merasakan DAP dan PKR telah dan cuba menganaktirikan mereka, maka kepimpinan PAS boleh membuat keputusan untuk keluar daripada PR dan masuk ke dalam BN. Pada saya ini cara terbaik.

Dengan gabungan dua parti dominan ini sudah tentu hubunagn antara kaum akan lebih erat kerana kedua-dua parti tersebut terdiri daripada pelbagai kaum. Cuma apa yang penting ialah keikhlasan. Tapi saya tak rasa ada pemimpin yang ingin melihat bangsa dan negara mereka porak peranda. Semua pemimpin, kerajaan atau pembangkang mahukan yang terbaik untuk bangsa dan negara cuma kaedah dan caranya sahaja yang berbeza.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Aku tak nampak perjumpaan antara UMNO dan PAS bertujuan untuk menyatukan Melayu. Sebagaimana yang dikatakan oleh Ibrahim Ali dalam hujah di tv9, beliau mengatakan melayu tak berpecah cuma berbeza fahaman politik sahaja. Jadi buat apa nak sibuk nak menyatukan melayu.

Tak payah buat sesuatu yang sia-sia, banyak lagi kerja lain yang harus dibuat oleh pemimpin semua.