31 Julai 2008

Anwar Bertanding Di Permatang Pauh

Salam,

Tak perlu berteka-teki lagi, Datuk Seri Anwar Ibrahim(DSAI) sah bertanding di Permatang Pauh. Hari ini 31/7/08, Wan Azizah dengan rasminya telah meletakkan jawatannya sebagai ahli parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya DSAI.

Saya dari awal-awal lagi telah mengagak bahawa kalau DSAI akan bertanding, beliau akan bertanding di Permatang Pauh. Desas-desus, angin kencang yang mengatakan beliau akan bertanding di Bandar Baru Kulim la, Bandar Tun Razak la, itu semua politik kedai kopi. Kenapa saya kata politik kedai kopi? Kerana:

-Pertama, beliau tidak yakin akan menang kalau bertanding di tempat lain. Beliau tak tahu sejauh mana pengundi di kawasan tersebut. Setakat datang dengar ceramah belum tentu "confirm" nak undi beliau.

-Kedua, hanya Wan Azizah sahaja yang sanggup melepaskan jawatan ahli parlimen. Orang lain mana sanggup, dah kerja keras bertahun-tahun. Takkan nak lepas begitu sahaja. Duit beb...duit. Lagipun Wan Azizah tak ada kredibiliti dan ketokohan nak memimpin satu-satu pertubuhan yang besar seperti PKR. Ia lebih kepada sokongan simpati sahaja(pandangan peribadi)

-Ketiga, PKR tak perlu kerja keras kalau bertanding di Permatang Pauh. Letaklah apa pun asalkan calon PKR mesti menang.Itu andaian PKR mungkin.

Tentang siapa yang akan melawan DSAI, saya rasa Ezam orang yang paling layak. Bukan nak merendahkan Firdaus, tapi Ezam dilihat lebih berpotensi untuk menang walaupun peratusnya agak kecil. Dalam hal ini, kita jangan lihat kepada berapa lama seseorang itu menyertai UMNO, atau semangat jati diri yang kurang, atau ingin menjaga hati mereka yang telah lama berjasa kepada parti(UMNO). Sekarang kita kena lihat siapa yang lebih berpengaruh, siapa yang lebih dipercayai, siapa ada kekuatan dan siapa yang disukai oleh pengundi. Kalau orang luar yang terpilih, saya harap janganlah ada ahli UMNO di Permatang Pauh berpaling tadah. Banyak kemungkinan akan berlaku, terutama ketika UMNO sibuk mengadakan perjumpaan untuk pemilihan ketua di peringkat cawangan dan bahagian.

Harap semua berjalan dengan lancar.

29 Julai 2008

Perjumpaan Antara UMNO&PAS

Salam semua,

Dalam kekalutan yang amat kalut ini, para pemimipin tertinggi UMNO dan para pemimpin tertinggi PAS telah bersetuju untuk bertemu, bersemuka, berjumpa atau berbincang mengenai masa depan bangsa Melayu. Saya tidak pasti pertemuan ini untuk membincangkan masa depan orang Melayu dari aspek yang mana. Cuma apa yang kita semua nampak sekarang kedudukan Melayu yang diterajui oleh UMNO nampaknya begitu tergugat. Dan kedudukan Melayu yang dikuasai PAS juga nampaknya kurang diyakini oleh kawan dalam pakatan. Mungkin atas dasar inikah pertemuan ini diadakan.

MB Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz mengatakan kalau kedua-dua parti melayu terbesar ini ikhlas dalam perjuangan, ikhlas dalam melihat penyatuan Melayu yang berpaksikan kepada Islam, apa salahnya kedua-dua parti tersebut dibubarkan seterusnya dibentuk parti baru bagi mewakili golongan Melayu. Cadangan ini ada pro dan kontranya. Ada yang bersetuju dan ada yang tidak. Ada yang melihat bahawa cadangan ini berbentuk peribadi dan bukannya dari pucuk kepimpinan PAS.

Secara peribadi saya tidak bersetuju jika UMNO dan PAS dibubarkan untuk membentuk parti baru bagi kaum Melayu. Pertama kerana, nama UMNO dan PAS sudah sebati dalam jiwa rakyat Malaysia. Kedua-dua nama tersebut mempunyai sejarah yang tersendiri. Jika dibubarkan, ia akan menghapuskan satu sejarah yang selama ini begitu dibanggakan oleh bangsa Melayu sama ada di pihak UMNO mahupun PAS. Kedua, jika satu parti baru dibentuk untuk mewakili bangsa Melayu, ianya akan menimbulkan rasa kurang percaya bangsa lain kepada bangsa Melayu, terutama rakan-rakan UMNO dalam BN iaitu MCA dan MIC. Keadaan ini akan menyebabkan hubungan antara kaum semakin susah untuk dieratkan.

Jadi untuk meneutralkan keadaan, cara yang terbaik saya rasakan sistem dua parti dominan seperti sekarang adalah yang terbaik iaitu Barisan Nasional(BN) dan Pakatan Rakyat(PR). Cuma apa yang harus diperbaiki lagi ialah keahlian dalam PR mestilah seperti apa yang dilakukan dalam BN. Barulah keahliannya dalam PR kuat dan tak mudah digoyah oleh mana-mana pihak. Jadi, jika ada mana-mana parti yang tak bersetuju dengan komponen tersebut, mereka boleh keluar dan masuk komponen yang satu lagi. Dalam hal ini, jika PAS merasakan DAP dan PKR telah dan cuba menganaktirikan mereka, maka kepimpinan PAS boleh membuat keputusan untuk keluar daripada PR dan masuk ke dalam BN. Pada saya ini cara terbaik.

Dengan gabungan dua parti dominan ini sudah tentu hubunagn antara kaum akan lebih erat kerana kedua-dua parti tersebut terdiri daripada pelbagai kaum. Cuma apa yang penting ialah keikhlasan. Tapi saya tak rasa ada pemimpin yang ingin melihat bangsa dan negara mereka porak peranda. Semua pemimpin, kerajaan atau pembangkang mahukan yang terbaik untuk bangsa dan negara cuma kaedah dan caranya sahaja yang berbeza.

Sambungan Perdana VS Mercedes

Salam semua,

Polemik penggunaan kereta Perdana bagi exco Terengganu belum lagi selesai. Exco Terengganu masih menggunakan Mercedes buat sementara waktu. Ini jelas kepada rakyat bahawa suara PM sudah tidak ada maknanya lagi. PM sudah tak ada taring. Betullah kalau ada yang mengatakan Kepimpinan PM sekarang memang lemah, tidak seperti Tun M dahulu. Sekali Tun M bersuara, semua menikus.

PM sudah memberi arahan supaya semua exco negeri mesti menggunakan kereta Perdana, tapi apa yang berlaku di Terengganu sebaliknya. Nampaknya MB Terengganu betul-betul cuba menongkah arus.

Selain itu, tindakan dua pembesar UMNO Terengganu yang mengatakan wartawan kita sekarang tak ada kelas, jelas telah memercikkan ludah ke muka sendiri. Kenapa tidaknya, sebelum ni asyik pembangkang sahaja yang mengatakan sedemikian, tetapi pemimpin kerajaan menafikannya. Tapi kini segalanya dah berubah apabila perkara yang sama terkena atas batang hidung sendiri, maka melentinglah dua pembesar UMNO Terengganu ini. Yang anehnya Menteri Penerangan tak komen apa-apa pulak pasal wartawan. Adakah sudah wujud Team A dan Team B di Terengganu?

Lagi satu, pembesar-pembesar UMNO Terengganu mengatakan duit yang bernilai RM3.43 juta untuk membeli 14 buah Mercedes terlalu kecil nilainya, jadi buat apa nak diperbesar-besarkan. Memang betul apa yang dikatakan oleh pembesar UMNO Terengganu itu, nilai RM3.43 juta memang terlalu kecil pada pembesar UMNO tapi nilai tersebut terlalu besar bagi rakyat Terengganu yang rata-ratanya miskin. Kalau tak caya pergilah buat soal-selidik, tanya semua rakyat Terengganu, adakah nilai RM 3.43 juta tu kecil nilainya.

Saya rasa pembesar UMNO Terengganu tu berseloroh tak kena masa. Sekarang ni zaman kalut, jangan pula kerana pulut santan binasa.

24 Julai 2008

Perdana VS Mercedes

Salam,

Belum sampai setahun memegang jawatan Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said telah membuat beberapa kejutan. Antaranya, beliau meminta royalti minyak dikembalikan kepada kerajaan negeri dan yang terbaru beliau telah membeli 14 buah mercedes untuk kegunaan exco negeri menggantikan kereta perdana. Alasannya kereta mercedes lebih jimat kosnya dalam jangka masa panjang. Kereta perdana selalu rosak dan kos penyelenggaraannya sangat tinggi, melebihi RM100,000 dalam masa empat tahun.

Daripada apa yang berlaku ini, saya boleh membuat beberapa andaian baik dan buruk. Dengan pembelian kereta mercedes ini, kerajaan negeri yang diterajui oleh Dato' Ahmad Said telah melanggar ketetapan yang dibuat supaya semua exco negeri, menteri, TPM dan PM sendiri dikehendaki menggunakan kereta perdana sebagai kenderaan rasmi. Kerajaan negeri seolah-olah telah mendedahkan keburukan kereta nasional yang menjadi kebanggan rakyat selama ini. Kos penyelenggaraan yang dinyatakan bagi saya terlalu tinggi, mungkin ada yang tak kena berlaku antara mekanik dan tuan punya kenderaan tersebut. Keadaan ini telah disahkan oleh pegawai BPR, dan siasatan lanjut akan dijalankan.

Di sini, kita nampak apa-apa yang dikatakan oleh Dato' Ahmad Said tidak boleh diterima oleh akal dan melampau. Namun kenyataan ini telah disokong oleh beberapa orang menteri besar iaitu Menteri Besar Pahang dan Menteri Besar Kelantan. Jadi, apakah sepatutnya yang harus dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini.