11 November 2011

Cikgu Oh Cikgu...

Salam...

Selepas semua anak cucu balik ke tempat kerja masing-masing, Tok rasa sunyi sangat. Ada anak bongsu, menantu dan dua orang cucu tapi tak sama rasanya apabila semua berkumpul seperti hari Raya Haji lepas.

Tok tak tahu nak buat apa. Tok lihat dua orang cucu Tok sedang membelek-belek kertas peperiksaan akhir tahun yang baru diberi oleh cikgu mereka. Tergerak hati nak lihat sama. Bila Tok belek-belek kertas peperiksaan tersebut, adalah beberapa kesalahan yang dilakukan oleh cikgu. Mungkin cikgu tak perasan barangkali, maklumlah berapa banyak kertas yang nak disemak. Salah satu kesalahan yang dilakukan oleh cikgu itu ialah pengiraan markah. Sebanyak 10 markah cucu Tok tak dicampur. Macam mana boleh berlaku ni...? Tok ada bagi tau kepada anak bongu Tok dan juga bininya supaya pergi ke sekolah berjumpa dengan cikgu terbabit untuk membetulkan keadaan. Tapi mereka malas, alasannya sibuk dengan kerja.

Tok kesiankan pada cucu, nak suruh dia beri tahu cikgunya sendiri takut tak pandai, maklumlah baru darjah satu. Lalu Tok ambil keputusan pergi ke sekolah untuk berjumpa dengan cikgu itu. Sampai di sekolah, Tok ketuk pintu kelas cucu Tok itu dan masuk menemui cikgu kelas cucu Tok tersebut. Tok menceritakan tujuan Tok datang ke sekolah ni kepada cikgu tersebut. Sedang Tok bercerita tu, loceng rehat berbunyi. Murid-murid dalam kelas 1A tersebut berlari lintang pukang untuk ke kantin, ada yang melalui pintu depan dan ada yang melalui pintu belakang. Terkejut Tok melihat gelagat murid-murid 1A tersebut termasuk cucu Tok sendiri. Macam ni rupanya cikgu sekarang mendidik anak-anak murid, rungut hati kecil Tok. Berbeza zaman Tok jadi cikgu dulu. Dulu, bunyi jer loceng, semua murid akan berdiri dan mengucapkan salam atau terima kasih kepada cikgu.

Selepas habis menceritakan tujuan Tok ke sekolah kepada cikgu kelas tersebut, beliau terus mengambil kertas peperiksaan tersebut dan melihat kesalahan tersebut sambil membetulkan kesalahan tersebut. "Biasalah Pak Cik, banyak sangat kertas yang perlu disemak, nasib baik Pak Cik datang, kalau tak, rugi ni, banyak 10 markah ni".

Terkebil-kebil mata Tok, cikgu tersebut langsung tak minta maaf atas kesalahannya itu dan langsung tak rasa bersalah atas apa yang berlaku. Tok tak nak kata apa-apa. Pembaca nilailah sendiri cikgu hari ini. Ini bukan rekaan semata, ini adalah kisah benar yang benar-benar berlaku pada diri Tok.

Raya Korban 2011

Salam,

Raya Haji atau Raya Korban baru saja berlalu. Ramai juga anak cucu balik beraya bersama Tok. Tak lama, dua hari jer. Lepas tu semua pakat balik ke tempat kerja masing-masing. Tinggallah Tok dengan anak bongsu dan dua orang cucu kesayangan.

Mengimbau Raya Korban dulu dengan Raya Korban sekarang dah jauh beza. Dulu, apabila ada upacara korban dilakukan, riuh satu kampung berkumpul. Semua dijemput hadir, yang perempuan sibuk dengan urusan di dapur, kupas bawang, kukur kelapa dan sebagainya. Yang lelaki pula sibuk dengan melapah daging untuk dimasak. Apabila semua dah selesai, daging korban itu dimasak untuk dimakan oleh seisi kampung. Meriah tak terkira. Kalau ada yang tak dapat datang kerana tak berapa sihat, gulai daging akan dihantar sebagai tanda permuafakatan.

Keesokannya pula upacara korban akan dilakukan dirumah orang lain pula. Begitulah seterusnya sehingga hari raya yang ketiga.

Sekarang tidak lagi, tidak ada lagi acara masak memasak. Daging korban akan dibagi terus kepada penduduk kampung. Terserahlah kepada mereka nak masak apa. Kemeriahan berkumpul di kalangan masyarakat sudah tidak ada lagi. Sifat mu mu dan aku aku begitu menyerlah. Kadang-kadang kita tak tahupun ada orang melakukan upacara korban. Adakah faktor masa yang menjadikan demikian atau inikah cara korban yang betul? Tak tahulah Tok...

Selepas semua anak cucu pulang, kesunyian begitu terasa. Buka peti sejuk penuh dengan daging korban. Tak tahu nak masak apa. Rasa mual pun ada.