Salam,
Lama benar dah rasanya tak menulis di laman ni. Nak kata sibuk tak juga, nak kata malas tak juga. Sebenarnya aku banyak melayari blog-blog yang bercambah macam cendawan tumbuh selepas hujan. Seronok juga membaca pandangan dan pendapat mereka dalam sesuatu isu. Persoalan yang timbul di kepala aku ialah kenapa wujudnya keadaan yang sebegini, masing-masing nak memberi pendapat yang terbaik, masing-masing nak membetulkan keadaan yang dirasakan tak betul. Adakah sistem yang kita ada sekarang terlalu teruk, sudah tidak dapat membendung permasalahan yang timbul.
Kalau nak diikutkan, kita sudah ada agama yang betul iaitu ISLAM, kita sudah ada sistem pentadbiran yang terbaik iaitu sistem yang ditentukan oleh rakyat melalui proses demokrasi, kita sudah ada sistem perundangan yang telus dalam memutuskan siapa salah dan siapa betul, kita sudah ada pasukan polis yang boleh dianggap bertaraf dunia dalam membenteras kejadian jenayah dan kita juga sudah memiliki sistem ekonomi yang betul di mana semua orang boleh melakukan urusan ekonomi dengan baik asalkan ianya tidak bertentangan dengan undang-undang yang ditetapkan.
Apakah ini semua tidak cukup untuk membentuk kita semua menjadi insan yang terbaik?
Beberapa minggu lepas, aku ada pergi menziarahi kawan-kawan di Kuala Lumpur. Sempat juga berjumpa dengan bekas pensyarah aku dulu. Sekarang ni, beliau banyak memberikan motivasi kepada orang-orang politik. Terkejut juga melihatkan susuk tubuhnya yang agak kurus, cengkung... seperti orang yang tak makan. Tapi rokok tak lepas dari mulut.
Aku sempat juga bertanya tentang politik negara sekarang. Nak tahu apa jawapanya? "Letih...meletihkan, saya dah penat sekarang, tak tahu apa lagi nak buat. Minggu depan nak ke Terengganu... nak jumpa pemimpin-pemimpin UMNO Terengganu... Huuuu tak tahulah," Itulah yang dikeluhkan oleh kawan aku tu.
Aku boleh agak, politik kita sekarang memang tenat. Dan aku juga boleh mengagak kenapa kawan aku tu begitu cengkung seperti orang yang tidak terurus.
Inilah politik kita sekarang...
Dalam bidang keagamaan pula, semua pihak mendakwa merekalah yang betul. Islam mengatakan dia yang betul, Kristian pula kata mereka juga agama Tuhan, sudah tentu mereka juga betul. Tak tahulah apa kata Budha dan Hindu, sudah tentu mereka juga betul. Kalau semua betul kenapa kita masih lagi huru-hara dalam menjalani kehidupan seharian?
Aku tidak mahu menyentuh tentang agama lain. Apa yang aku nak katakan di sini ialah perpecahan dalam agama Islam. Sebenarnya sudah lama perkara ni berlaku. Kita lakukan apa yang disuruh tetapi dalam masa yang sama kita melakukan juga perkara yang dilarang. Kita solat tapi kita juga makan rasuah, kita solat tapi kita buat itu dan ini yang bertentangan dengan ajaran agama, sedangkan Tuhan kata solat itu dapat menghindari kita daripada melakukan kejahatan. Adakah Tuhan tersalah cakap dalam hal ni? Sudah tentu tidak... sebenarnya kita yang salah... kita yang silap.
Dalam saya mencari jawapan kepada permasalahan ini, banyak pula terjumpa dengan blog-blog yang menganjurkan agama yang berpandukan al kitab iaitu QURAN. Ternyata pandangan mereka, pendapat mereka, hujah mereka agak berbeda dengan pandangan ulama-ulama masa kini. Terasa semacam ada keindahan, kemurnian, keluhuran dan segala kebaikan dalam penghujahan mereka.
Aku harap segala yang baik nanti akan dapat menghapuskan segala yang tidak baik. Kita boleh menilainya kerana kita diberikan akal yang terbaik oleh Tuhan.