07 April 2009

Apa Sudah Jadi?

Salam,

Apa sudah jadi? Apa sudah jadi dengan UMNO? Apa sudah jadi dengan Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Najib, Tan Sri Muhyiddin? Apa sudah jadi sebenarnya dengan pilihan raya kecil kali ini.

Kalau dulu, ramai daripada kita menyalahkan Pak Lah dan Khairi atas kekalahan teruk BN dalam pilihan raya umum lepas. Tak henti-henti golongan yang anti Pak Lah menyuruh Pak Lah meletakkan jawatan. Katanya UMNO akan pulih apabila Pak Lah letak jawatan, UMNO akan berubah apabila Pak Lah letak jawatan, UMNO akan kembali mendapat tempat di hati rakyat apabila Pak Lah meletakkan jawatan.

Sekarang apa sudah jadi? Pak Lah dah letak jawatan. TDM pun dah masuk UMNO, Tan Sri Muhyiddin pun telah diberi kepercayaan mengetuai pilihan raya kecil kali ini. Tetapi UMNO masih juga kalah di kedua-dua tempat iaitu di Bukit Selambau dan Bukit Gantang.

Ini membuktikan kekalahan teruk BN dalam pilihanaya umum yang lalu bukan berpunca daripada Pak Lah tetapi sebenarnya berpunca daripada TDM. TDM sebenarnya yang telah menghilangkan kepercayaan orang Melayu kepada UMNO.

Kepada Datuk Seri Najib, ambillah iktibar daripada kekalahan ini. Buatlah sesuatu untuk kebaikan semua.byeeeeeeeeee

03 April 2009

SAMPAI BILA UMNO MAMPU BERTAHAN?

Salam semua,

Tulisan yang bakal disajikan kali ini berdasarkan pendapat penulis semata-mata, tidak ada sumbangan daripada mana-mana pihak, tidak ada bias kepada mana-mana pihak dan tidak bertujuan memburuk-burukkan mana-mana pihak, sekadar luahan hati daripada seorang yang boleh dianggap daripada golongan akar umbi yang tidak berpihak kepada mana-mana pihak.Namun begitu, jika ada mana-mana pihak yang tersinggung dengan tulisan ini, penulis mohon kemaafan.

Apabila kita menyebut tentang UMNO, semua orang tahu bahawa parti ini merupakan parti orang Melayu yang terbesar. Parti ini bertanggungjawab menjaga kepentingan dan survival orang Melayu.Tanpa UMNO, Melayu akan merempat di tanah air sendiri. Tanpa UMNO, orang Melayu akan menjadi hamba di tanah air sendiri. Tanpa UMNO juga, orang Melayu akan kehilangan semuanya. Betulkah begitu? Inilah anggapan,pegangan dan sentimen yang ada dalam fikiran kita semua dan inilah juga senjata bangsawan-bangsawan UMNO untuk mengekalkan kekuasaan UMNO.

Pada zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir(TDM) semuanya terserlah. Kebaikan terserlah dan keburukan juga terserlah. TDM terkenal dengan pemikiran doktornya. Dalam pentadbiran dan pemerintahannya juga, beliau telah menerapkan pemikiran dan prinsip kedoktorannya. Alhamdulillah, boleh dikatakan semua ideanya berjaya dilaksanakan. Negara Malaysia begitu pesat sekali membangun. Beliau terkenal bukan sahaja di Asia malah dunia mengenali siapa TDM.

Namun begitu, lumrah manusia, apabila nama kita dijulang, negara kita menjadi sebutan, maka ramailah kawan dan lawan cuba mendekati kita. Sebagai kawan, mereka datang untuk untuk berkongsi idea. Sebagai lawan, mereka datang untuk menjatuhkan kita. Begitulah juga dengan TDM, kehebatannya telah mendatangkan rasa cemburu di kalangan kuasa-kuasa besar dunia.

Dalam negara pula, pembangunan yang pesat berlari seiring dengan amalan yang kurang sihat. Amalan mengkayakan diri sendiri dan sedara-mara mengatasi kepentingan kepada bangsa dan negara. Amalan rasuah begitu berleluasa. Parti dijadikan tempat untuk mengaut kekayaan.

Kehebatan TDM tidak dapat mengatasi ini semua. Dicampur dengan sumbangan daripada kuasa-kuasa luar,akhirnya TDM mengalah dan menyerahkan kuasa kepada orang yang dianggap boleh menyelesaikan masalah ini, boleh menyelamatkan UMNO daripada terus berkubur. Sebab itu TDM mencari penggantinya yang bersih dari segala perkara. Pak Lah yang terkenal dengan imej bersih dan anak ulama telah menjadi pilihan TDM untuk menggantikan tempat beliau.

Kehadiran Pak Lah betul-betul boleh merubah keadaan UMNO. Keadaan ini terbukti dengan kemenangan yang luar biasa dalam pilihan raya umum pertama semasa Pak Lah menjadi PM. TDM begitu terkejut dengan prestasi Pak Lah.Ada pendapat di kalangan penganalisis politik mengatakan yang TDM begitu cemburu dengan pencapaian Pak Lah itu.

Ingatkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari. Rakyat merasakan Pak Lah juga tidak mampu menangani masalah yang melanda UMNO. Walaupun ada usaha ke arah itu, namun kejayaannya tidak ada. Tambahan pula kritikan-kritikan pedas daripada TDM yang selalu mengeluarkan kenyataan yang tidak berapa sesuai kepada Pak Lah(mungkin kerana cemburu dengan kejayaan Pak Lah sebelum ini) telah menyebabkan pandangan khalayak kepada Pak Lah semakin diragui. Akhirnya kehendak rakyat telah dijelmakan dalam pilihan raya umum berikutnya. UMNO dan komponen BN yang lain telah mengalami kekalahan yang teruk. Tak pernah berlaku dalam sejarah, enam negeri dimenangi oleh pembangkang.

TDM dan pengikut-pengikutnya mendesak Pak Lah meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO dan PM. Pak Lah akur dengan meletakkan tarikh tertentu untuk peralihan kuasa kepada Datuk Seri Najib(DSN). Namun begitu TDM dan kuncu-kuncunya masih lagi tak berpuas hati dan mendesak Pak Lah mempercepatkan tarikh peralihan kuasa tersebut. Sebagai seorang yang beriman dan penyabar, Pak Lah mempercepatkan tarikh tersebut agar UMNO dapat dipulihkan.

DSN mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Pak Lah dengan harapan UMNO dapat dipulihkan. Adakah rakyat yakin bahawa DSN dapat melakukan ini semua? DSN mempunyai tanggungjawab yang sangat besar. Bukan sahaja keadaan politik negara yang tidak stabil, keadaan ekonomi dunia yang begitu meruncing sekarang telah menyulitkan lagi tugas DSN.

Adakah DSN juga seperti Pak Lah? Dipuja pada mula dan akhirnya dikeji. Beginilah sifat manusia.

Yang pasti UMNO tak bersalah. Yang bersalah ialah pemimpin-pemimpin UMNO yang menjadikan UMNO sebagai mata pencarian untuk mengenyangkan mereka anak-beranak. Mereka lupa pada bangsa mereka, mereka lupa pada orang yang menaikkan mereka, mereka lupa semuanya. Yang mereka ingat ialah wang...wang...wang.

Kepada DSN, kalau ingin melihat UMNO terus bernafas, bersihkanlah UMNO daripada lumpur rasuah yang merosakkan bangsa ini. Jadikanlah bangsawan-bangsawan UMNO mesra rakyat. Berkongsilah kekayaan negara bersama-sama rakyat jelata. Insyaallah UMNO akan terus kekal memerintah negara yang tercinta ini.