26 Mac 2009

UMNO Dan Masa Depan

Salam,

Pemilihan UMNO telah pun selesai. Ada keputusan yang mengejutkan dan ada keputusan seperti yang dijangka. Keputusan yang mengejutkan ramai pihak ialah kemenangan Khairy Jamaluddin. Ramai yang menjangkakan Mukhris yang akan memenangi jawatan Ketua Pemuda. Namun jangkaan itu ternyata meleset bahkan undian Mukhris paling rendah.

Keputusan lain seperti Timbalan Presiden, Ketua Wanita memang kena dengan jangkaan ramai.

Apa sudah jadi dengan pemuda UMNO? Adakah undian itu betul-betul datang daripada kehendak ahli akar umbi atau hanya dari perwakilan yang tidak ada kena-mengena dengan kehendak akar umbi. Apa pun, keputusan adalah muktamad. Apa sahaja keputusannya, perwakilan dan ahli UMNO mesti patuh.

Mungkin ada sebabnya kenapa Mukhris mendapat undian yang paling rendah. Ada yang mengatakan amalan rasuah masih berleluasa dalam pemilihan kali ini. Ada juga pendapat yang mengatakan kekalahan Mukhris adalah disebabkan kelantangan bapanya Tun Mahathir. Apa pun alasan, apa pun pendapat orang, yang pasti perwakilan masih berkehendakkan Khairy menerajui pergerakan pemuda UMNO.

Dari segi ketokohan, penulis nampak Khairy memang ada karisma sebagai seorang ketua. Walaupun pun ramai yang mengaitkan Khairy dengan peribadi yang agak kurang menyenangkan, namun perkara itu ibarat asam garam politik yang lahir daripada golongan yang tidak sukakan Khairy.

Persoalannya ialah adakah calon-calon yang menang daripada pemilihan kali ini boleh membantu Datuk Najib mengubah persepsi masyarakat terhadap UMNO yang telah tercalar.

UMNO sekarang dianggap sebagai lubuk kekayaan. Perlumbaan mengejar jawatan dalam UMNO sebenarnya bukanlah hendak berbakti kepada bangsa dan negara sebaliknya untuk mengaut sebanyak mana kekayaan yang bakal diperoleh. Ini tanggapan masyarakat, ini persepsi khalayak sekarang. Bolehkah Datuk Najib "and the geng" mengubah persepsi tersebut, mengikis tanggapan masyarakat yang mengatakan UMNO adalah lubuk kekayaan.

Kejayaan Datuk Najib akan menghidupkan kembali UMNO, sebaliknya kegagalan Datuk Najib akan menjadikan "TEORI RAHMAN" satu realiti. Sama-samalah kita menyaksikan kesudahan polemik politik negara kita ini yang ramai mengatakan sampai ke penghujungnya.