14 Februari 2009

Adakah BN Sudah Diterima Rakyat.

Salam,

Dalam dua pilihanraya kecil yang diadakan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, ternyata rakyat masih tidak dapat menerima BN. Di Parlimen Permatang Pauh memang ramai menjangkakan bahawa Anwar Ibrahim akan menang mudah memandangkan di situ adalah kawasan Anwar Ibrahim.Tetapi di Parlimen Kuala Terengganu tidak ada siapa yang berani meramal calon mana yang akan menang. Mejoriti berkata 50-50.

Pihak pembangkang meramalkan 50-50, tetapi merasakan calon mereka boleh menang memandangkan situasi pada masa itu yang berpihak kepada pembangkang. Lagipun mereka menang di tiga DUN dan tewas satu sahaja iaitu di DUN bandar yang dikuasai oleh pengundi Cina. Daripada teori, andaian dan cakap-cakap orang kampung, mereka merasakan calon mereka boleh menang.

Pihak kerajaan pula meramalkan juga 50-50, tetapi mersakan calon mereka boleh menang memandangkan kerusi tersebut dimenangi oleh BN sebelum ni. Lagipun mereka mengandaikan rakyat sudah dapat melihat kelemahan pakatan pembangkang. Tetapi ternyata pihak kerajaan tidak peka dengan kehendak dan keinginan penduduk tempatan dalam menetukan calon pilihan mereka bertanding di Parlimen tersebut.

Akhirnya calon PR memenangi pilihanraya Parlimen Kuala Terengganu. BN berputih mata.

Sekarang situasi di Perak telah menggegarkan lagi politik negara. BN telah berjaya merampas kerajaan Perak dengan kemenangan "simple mejoriti"hasil daripada proses lompat parti. 3 ADUN PR telah keluar parti dan 1 bekas ADUN UMNO yang lompat parti menyertai PKR telah kembali melompat ke dalam UMNO.Walaupun proses lompat parti ini tidak demokratik namun kesempatan ini telah dipergunakan oleh BN untuk kembali memerintah Perak. Situasi gelora dan panas ini telah mengundang beberapa kenyataan yang begitu mengejutkan masyarakat. PERTAMA: Karpal Singh telah meminta Anwar Ibrahim melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang kerana beliau tak layak memegang jawatan tersebut. KEDUA: Karpal Singh telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan menyaman Sultan Perak.

Kenyataan pertama Karpal mungkin telah menunjukkan bahawa dalam pakatan pembangkang telah ada bibit-bibit perpecahan walaupun telah lama diwar-warkan oleh UMNO. Kenyataan kedua Karpal telah menaikkan kemarahan orang Melayu walau dalam parti mana pun tak kira yang pro kerajaan ataupun pro pembangkang. Ini mungkin memberi kelebihan kepada BN.

Namun untuk mengukur sejauh mana penerimaan rakyat terhadap BN dan sejauh mana kebencian rakyat kepada pakatan pembangkang hanya akan terlihat melalui pilihanraya kecil yang bakal diadakan di Bukit Gantang dan Bukit Selambau pada 7 April nanti. Jika kemenangan berpihak kepada BN, itu membuktikan bahawa rakyat telah boleh menerima kembali BN yang telah tercalar teruk dalam pilihanraya umum lepas. Namun jika kemenangan berpihak kepada PR, sekali lagi membuktikan bahawa rakyat masih tidak dapat menerima BN.