Salam,
Pagi ini saya buka blog doktrinisasi dan baca artikelnya yang bertajuk "Arabisasi Atau Islamisasi". Bagus tulisannya. Saya ambil dan pastekan di blog saya agar semua dapat membacanya. Artikel ini boleh dibaca di http://doktrinisasi.blogspot.com/2009/10/arabisasi-ataupun-islamisasi.html atau baca saja di bawah.
Kitab-kitab serta fatwa-fatwa keagamaan dari Arab-Timur Tengah sering kali menjadi kiblat dan rujukan kebanyakan orang-orang yang mengaku Islam, mereka mentaklid pendapat-pendapat yang datang dari sana, tetapi wacana-wacana keagamaan yang dikreasikan oleh para ilmuwan 'ajam (non Arab) agak sukar untuk memasuki percaturan intelektual di dunia Islam. Perkara ini mungkin kerana ada yang mengidentikkan diantara Islam dan Arab. Pemahaman demikian secara tidak langsung telah menjadikan kita kultus kepada agama orang Arab. Sedangkan persoalan adakah orang-orang Arab itu benar-benar memahami kitab Allah, telah dijawab oleh al-Quran itu sendiri.
Terjemahan al-Quran ayat (Q9:97) "Orang-orang Arab itu paling keras dalam keingkaran, dan munafiknya, dan lebih wajar mereka tidak mengetahui batas-batas yang Allah menurunkan kepada RasulNya; dan Allah Yang Mengetahui, Yang Bijaksana."
Sebenarnya Islam di Malaysia dibawa pedagang India dan Arab datang ke tanah Melayu dahulu dengan fahaman mazhab-mazhab mereka. Oleh itu orang Melayu hanya menumpang sahaja mazhab-mazhab dari orang Arab dan tiada kaitan langsung dengan sejarah perjuangan mazhab-mazhab dari Arab. Orang Melayu di Satu Malaysia hanya menerima apa yang kita faham mengenai Islam. Tetapi sekarang ini nampaknya kebanyakan orang Melayu begitu taksub dengan mazhab-mazhab orang Arab, mengagung agungkan budaya Arab kononnya kerana Islam.
Islam bukan agama khusus hanya untuk orang Arab sahaja, walaupun al-Quran berbahasa Arab, tetapi tafsirannya tidak semestinya menurut konteks orang Arab. Al-Quran memang diturunkan dalam bahasa Arab, itu penulis tidak nafikan dan menganggapnya sebagai ketentuan Tuhan, dimana al-Quran diturunkan kepada Nabi yang berbangsa Arab adalah kehendak Tuhan, sebab kenapa al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab hanya Tuhan lebih mengetahui. Tetapi agama orang Arab adalah tafsiran al-Quran dari orang Arab, bukan dari tafsiran al-Quran orang Melayu atau konteks tanah Melayu. Wallahu'Alam.