21 Disember 2008

Masjid Di Bandar Jertih

Salam,

Negeri Terengganu memang terkenal dengan masjidnya. Paling menarik dan menerima ramai kunjungan pelancong ialah masjid Kristal yang terletak di bandar raya Kuala Terengganu. Walaupun menerima banyak pujian daripada ramai pelancong namun ia juga tak lepas daripada kritikan terutama pihak pembangkang yang menganggap pembinaan ini satu pembaziran. Mungkin ada betulnya.

Tapi apa yang aku nak ceritakan ni bukanlah mengenai masjid Kristal tetapi mengenai masjid yang baru siap dibina yang terletak di bandar Jertih dalam daerah Besut. Masjid ini memang cantik, besar, dua tingkat dan ada lif lagi untuk ke tingkat 1. Dengar cerita perbelanjaannya lebih kurang 12 juta, tak tahulah betul ker tidak. Tetapi kalau dilihat daripada senibina dan reka bentuknya, memang memerlukan belanja yang besar. Satu pembaziran atau tidak? Tak tahulah dan bukan itu yang aku nak sentuh di sini.

Apa yang aku nak katakan di sini ialah tentang keselamatan kepada anak-anak kecil yang bermain-main di tingkat satu. Dalam perjalanan pulang dari Penang pada 17.12.2008, aku sempat singgah di masjid tersebut untuk solat asar dan zohor. Aku dapati bahagian dinding yang aku bulatkan dalam gambar sangat berbahaya kepada kanak-kanak yang bermain-main di tingkat satu semasa ibu bapa mereka sedang solat. Lubangnya sangat luas tanpa ada apa-apa halangan. Ini boleh menyebabkan kanak-kanak terjatuh ke bawah kalau tak diawasi dengan betul.


Kepada semua ibu bapa yang singgah untuk solat di sini harap berhati-hati dengan anak-anak mereka. Dan kepada mereka yang bertanggungjawab terhadap masjid ini moga-moga mengambil perhatian yang serius dalam hal ini.
Sekian.

20 Disember 2008

Jeram Pasu

Salam,

Boleh dikatakan setiap kali balik ke Kelantan, aku tidak lepaskan peluang membawa anak-anak mandi di Jeram Pasu. Kedudukannya tak berapa jauh daripada rumah orang tuaku iaitu lebih kurang 7 kilometer sahaja. Jeram ni boleh dikatakan antara jeram yang tercantik di negeri Kelantan. Kedudukannya yang dekat dengan bandar Pasir Puteh (3 kilometer), jalannya yang cantik, airnya yang jernih dan dalam, kawasanya yang luas telah berjaya menarik minat ramai pengunjung untuk datang ke sini.

Sekali fikir baik juga negeri Kelantan diperintah oleh parti pembangkang. Tak banyak pembangunan material dilakukan. Masih kekal dengan alam semulajadi yang cantik, bersih dan menyegarkan. Kalau jeram ni terletak di Selangor atau pun Kuala Lumpur, aku rasa airnya dah pasti tak seperti dalam gambar ni lagi.


Walaupun dikuasai pembangkang, nampaknya kawasan ini masih terjaga dengan baik. Tandas untuk kemudahan awam, tempat menukar pakaian, tempat mandi terjaga dengan baik walaupun tak ada pekerja yang ditugaskan menjaga kawasan ini. Dan satu lagi yang aku respek ialah tandas awam tak ada orang jaga, tapi duit dalam tabung duit tak ada siapa yang curi. Malah tabung tersebut sentiasa terisi walaupun tiada penjaga. Kalau semua rakyat begini, alangkah bertuahnya negeri dan negara ini.

Kepada semua pembaca yang berminat untuk mandi jeram, silalah berkunjung ke negeri Cik Siti Wan Kembang ni. Banyak lagi jeram lain selain Jeram Pasu ini.

09 Disember 2008

Banjir Di Kemaman

Salam,

Boleh dikatakan setiap tahun daerah Kemaman di Terengganu dinaiki air pada musim tengkujuh. Antara laluan atau jalan utama yang selalu ditutup kepada semua kenderaan ialah jalan Chukai- Air Puteh. Tempat yang paling dalam ditenggelami air ialah kawasan pembinaan jambatan Sungai Pinang.


Tempat ini agak rendah dan merupakan laluan utama air ke sungai Kemaman. Sebab itu kawasan tersebut dibina jambatan supaya jalannya tinggi dan air boleh mengalir dengan cepat melalui jambatan tinggi tersebut. Malangnya, projek membina jambatan tersebut telah diberi kepada kontraktor yang tidak bertanggungjawab. Akibatnya sudah tiga tahun jambatan tersebut tergendala pembinaannya. Beginilah akibatnya apabila rasuah berleluasa dalam pemberian kontrak. Kontraktor atau pemaju yang tak sepatutnya mendapat projek tersebut telah berjaya memperoleh projek hasil rasuah.



Yang menghairankan, setelah tiga tahun projek tersebut dihentikan, YB yang baru langsung tidak mengambil apa-apa tindakan. Bukankah ini menyusahkan rakyat. Jalan ini merupakan laluan utama ke Air Puteh. Akibat daripada banjir tersebut penduduk yang menggunakan jalan ini terbatas pergerakannya kerana terpaksa menggunakan jalan alternatif yang sempit dan agak jauh. Inilah padahnya jika YB bukan dari kawasan tersebut.

Kepada penduduk DUN Air Puteh, saya menyarankan supaya pilihlah pemimpin yang betul dalam pilihanraya akan datang. Gunakanlah kuasa yang ada untuk membuat pilihan yang tepat tak semestinya pemimpin dari kalangan pembangkang tetapi pemimpin yang betul-betul prihatin tentang masalah rakyat dan kalau boleh biarlah pemimpin tersebut tinggal di kawasan tersebut. Barulah dia tahu keadaaan sekitarnya.

07 Disember 2008

Sekolah Satu Aliran

Salam,

Negara kita Malaysia memang terkenal dengan keamanan, keharmonian dan kerukunan yang dinikmati oleh masyarakat berbilang kaum atau dengan perkataan lain masyarakat majmuk. Banyak negara luar mengagumi dan menjadikan negara kita sebagai model atau contoh bagaimana sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dapat hidup aman damai. Mungkin ada benarnya dan mungkin ada salahnya. Benar mungkin kerana tidak berlaku rusuhan, peperangan dan saling membunuh antara kaum kecuali 13 Mei. Salah mungkin kerana dalam setiap sanubari rakyat masih terselit perasaan benci, marah, cemburu, iri hati, tak puas hati dan sebagainya antara satu sama lain. Keadaan ini memang tidak dinafikan.

Buktinya, apabila bekas PM Tun Mahathir mencadangkan supaya ditubuhkan sekolah wawasan, kaum Cina dan India banyak yang membantah kerana akan bimbang penggunaan bahasa Ibunda mereka akan terhakis. Di sini nampak bahawa semangat perkauman masih menebal di negara kita. Keadaan menjadi gempar sekali lagi apabila anak bekas PM, Datuk Mukhris Mahathir sekali lagi mencadangkan agar sekolah satu aliran dilaksanakan bagi menyatupadukan masyarakat yang berbilang kaum. Saranan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati terutamanya di kalangan orang Cina dan India dan meminta Datuk Mukhris menarik balik kenyataan tersebut. Sebahagian daripada orang Melayu juga tidak berapa setuju dan menganggap idea Datuk Mukhris tersebut sebagai satu umpan untuk menarik sokongan terhadap beliau dalam pemilihan ketua pemuda UMNO nanti.

Sebagai seorang bekas guru(bersara awal), saya merasakan sekolah satu aliran memang ada kebaikan dan merupakan satu cara yang terbaik untuk merapatkan hubungan antara kaum. Keadaan terbukti apabila kita melihat orang Cina dan India yang lahir dari sekolah jenis kebangsaan dan sekolah kebangsaan. Memang ketara perwatakan, cara hidup, pergaulan dan sebagainya. Orang Cina dan India yang belajar di sekolah kebangsaan tidak kekok untuk bergaul dengan orang Melayu, makan bersama, main bersama, belajar bersama dan sebagainya. Tapi bagi mereka yang belajar di sekolah jenis kebangsaan, kelihatan agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat lain. Keadaan ini memang ketara terutama ketika belajar di universiti. Ini pengalaman yang saya lalui sendiri.

Oleh itu, ketiga-tiga masyarakat utama negara ini iaitu Melayu, Cina dan India harus memandang serius perkara ini. Terus-terang saya rasakan sekolah jenis kebangsaan patut dihapuskan. Mana ada sekolah jenis kebangsaan di Singapura, Indonesia dan Thailand. Bahasa ibunda boleh diajar di sekolah kebangsaan. Kawan Cina saya ada yang menjadi pensyarah bahasa Cina tapi mereka tak belajar di sekolah jenis kebangsaan.

Jadi kalau ada yang mengatakan bahawa bahasa ibunda mereka akan terhakis dengan terhapusnya sekolah jenis kebangsaan, saya rasa pendapat itu tidak tepat. Sama-samalah kita fikirkan demi kebaikan anak cucu kita semua.

06 Disember 2008

Ketuanan Melayu

Salamun alaikum,

Apabila kita bercakap tentang "ketuanan Melayu", boleh dikatakan semua pihak melenting, tak kira Melayu, Cina mahupun India. Kenapa mereka melenting, tak siapa yang tahu. Apabila orang Cina dan India bercakap tentang ketuanan Melayu, Melayu dengan marahnya mengatakan bahawa orang Cina dan India mahu menghapuskan ketuanan Melayu. Apabila orang Melayu bercakap tentang ketuanan Melayu, Cina dan India pula dengan beraninya mengatakan orang Melayu nak menjadi "Tuan". Inilah yang berlaku dulu, kini dan mungkin buat selama-lamanya.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan frasa ketuanan Melayu ini? Betulkah Melayu ingin menjadi tuan atau melayu sudah menjadi tuan? Saya sendiri pun tidak pasti apakah yang dimaksudkan dengan ketuanan Melayu. Kalau nak dikatakan ketuanan Melayu ini membawa maksud tuan dan hamba, saya rasa tidak tepat. Dalam ekonomi, Melayu bukan tuan. Dalam politik, walaupun kuasa pentadbiran dikuasai oleh Melayu namun Melayu tidak berkuasa.

Saya pernah bekerja di sekolah swasta yang dipunyai oleh bangsa Cina. Gaji saya lebih rendah jika dibandingkan dengan gaji kawan saya dari bangsa Cina walaupun mempunyai kelulusan dari universiti yang sama dan dalam jurusan yang sama. Isteri saya bekerja di salah sebuah syarikat yang juga dipunyai oleh orang Cina. Gajinya juga lebih rendah jika dibandingkan dengan kawanya yang berbangsa Cina yang berkelulusan SPM, sedangkan isteri saya berkelulusan Universiti. Seorang kawan saya berbangsa Melayu, mempunyai syarikat sendiri. Beliau membayar gaji kepada pekerja Cina lebih tinggi berbanding dengan pekerja Melayu. Daripada tiga contoh di atas, saya tak pasti siapa tuan, siapa hamba sebenarnya.

Dalam politik, memang kuasa tertinggi dipegang oleh Melayu, tetapi apabila Melayu menimbulkan isu-isu yang berkaitan dengan bangsa lain, ia dianggap telah menimbulkan isu perkauman yang boleh membawa kemarahan rakyat dan orang tersebut disuruh menarik balik kata-kata tersebut atau memohon maaf. Tetapi jika ada orang Cina yang menimbulkan sesuatu isu berkaitan Melayu, ia langsung tidak ada apa-apa tindakan. Siapakah tuan sebenarnya?

02 Disember 2008

Bisnes: Modal Kecil Untung Besar

Salam,

Nak join bisnes tak? Silalah klik di sini http://www.igetworld.com/zukeriy, Modal hanya rm50 sahaja. Silalah, takkan bangkrap punya bermodalkan rm50 tapi keuntungan sudah pasti.